Thursday, October 10, 2013

CERPEN : MATA

*ps : kali ni, saja aku nak buat cerpen yang berunsur seram. ni percubaan pertama ni. tak tahulah jadi ke tak. still, aku tetap gak nak tambah bab bercinta tu. haha. tak leh nak lari le pulop. and as always, aku tahu aku seorang je yang baca blog aku ni. haha. aku bukan ada followers pun. tapi bagus gak kalau ada orang nak isi masa terluang diorang dengan baca cerpen-cerpen aku dan beri komen. nak upload kat peulisan2u pula banyak masalah. aduhai... lantaklah labu... enjoy (Self-talk)


cerpen: MATA

   'Cahaya.' Tangan kecil itu dihulur ke luar jendela. Sesekali tangan itu bergerak-gerak menikmati cahaya matahari petang. Terasa kehangatan sinaran mentari. Bibir merah gadis kecil itu mengukir senyuman.
   "Ariana." Lembut Artika memanggil nama anak gadisnya. Mata comel itu bulat memandangnya. Ariana tersenyum sebelum berlari-lari anak ke arahnya. Ariana anaknya yang berumur sepuluh tahun. Satu-satunya anak miliknya dan Hairi, suaminya. Pipi gebu Ariana diusap lembut. "Jom keluar makan." Ajak Artika. Ariana mengangguk laju lalu berlari ke almari merah jambu bercorak hello kitty itu bagi menukar baju. Artika tersenyum sebelum berlalu keluar dari bilik tidur sederhana besar itu.
   Satu demi satu pakaian yang disangkut itu dibelek. Pergerakan tangannya yang ligat menolak pakaian ke dinding almari terhenti. Matanya tertancap pada satu tubuh kecil yang bercangkung menghadapnya dalam almari itu. Tubuh kanak-kanak lelaki yang kelihatan sebaya dengannya itu kelihatan agak kebiruan. Ariana memandang tajam budak itu yang hanya menunduk tidak menampakkan wajahnya.
   "Pergi! Aku tak kacau kau! Jangan kacau aku!" Marah Ariana dengan nada keras. "Aku tak takutlah!" Ujar Ariana lagi saat telinganya menangkap bunyi ketawa kecil. Perlahan dan menyeramkan. Seketika kemudian tubuh itu hilang dari pandangan. Ariana menarik nafas lega.
   Dia menyarung blaus hijau muda ke tubuh kecilnya. Baru dia hendak melangkah keluar dari biliknya, langkahnya mati. Telinganya menangkap bunyi ketawa kecil itu lagi. Tanpa menoleh ke belakang, Ariana bersuara. "Suka hati kau lah. Jangan fikir aku nak layan." Habis sahaja bicaranya, dia melangkah keluar.

.........

   Ariana termenung di tempat duduknya. Kebingitan rakan-rakan sekelasnya bermain tidak sedikitpun menarik minatnya untuk menyertai mereka. Matanya hanya terarah di satu tempat iaitu sudut di tepi pintu. Gadis kecil itu menongkat dagunya dengan sebelah tangan. Tidak berkelip matanya melihat sudut itu sejak guru subjek matematik meninggalkan kelas tahun 4 mawar itu.
   Sehelai kapal terbang kertas jatuh betul-betul di atas mejanya. Ariana langsung tidak mempedulikan Aman, rakan sekelasnya itu yang semakin mampir dengannya. Tangan kecil Aman mencapai kapal terbang kertas yang sengaja dia baling ke arah Ariana.
   Aman memandang sekilas wajah comel Ariana sebelum matanya terarah ke sudut yang sedari tadi menerima panahan mata Ariana. "Hantu mana pula yang kau nampak duduk dekat situ?" Soalan Aman mengalih perhatian Ariana. Ariana hanya diam tanpa jawapan. Dia memandang wajah Amar dengan pandangan yang sukar ditafsir.
   "Aman... Jomlah. Takut aku tengok dia pandang macam tu. Nanti tak pasal-pasal kau kena kejar dengan hantu dia." Rahimin, rakan Aman sudah menarik-narik tangan Aman dengan wajah yang dibayangi kerisauan. Aman menarik semula tangannya.
   "Apa nak takut? Kau percaya sangatlah yang dia boleh nampak hantu... Dia ni sebenarnya gila. Takkan kau tak ingat, mak saudara dia tu pun gila. Penyakit keturunan." Sindir Aman. Rakan-rakan sekelas yang lain sudah tertawa kecuali Ariana dan Rahimin.
   Ariana bingkas dari duduknya. Dia berhadapan dengan Aman yang telah mati tawanya. Matanya mencerlung tajam ke arah Aman yang mula kelihatan pucat. Dia terus berlalu dari situ. Bahunya sengaja dilaga kuat dengan bahu Aman. Dari luar kelas dia dapat mendengar suara rakan-rakan sekelasnya menggelarnya gila. Suara yang paling kuat sekali adalah suara Aman.

..........

   Ariana melepaskan keluhan perlahan. Rambutnya yang semakin panjang itu disisir dengan jari sebelum diikat satu. Matanya kembali merenung syiling. Kejadian dia dibuli sepuluh tahun yang lalu masih segar diingatan. Dia dibuli hanya kerana dia menceritakan kelebihannya yang bisa melihat melangkaui hijab. Ariana melepaskan keluhan panjang. Meski dia sudah menjejak menara gading, mentaliti rakan-rakannya masih seperti budak sekolah rendah. Dia masih lagi disisih kerana sikapnya yang sesekali terlihat pelik.
   Cermin bulat kecil yang diletakkan di atas meja di capai. Dia menilik wajahnya dicermin itu sambil menyapu krim malam. Pergerakan tangannya terhenti saat matanya menangkap kelibat sesuatu berdiri membelakanginya di cermin itu. Baju putih labuh itu di cemari darah. Rambut benda itu mengurai hingga ke punggung. Mata Ariana beralih pula ke tangan kotor benda itu yang dihiasi kuku yang cukup tajam dan berwarna hitam 
   Ariana meletakkan cermin itu dengan kasar di atas meja. Dia berpaling sambil membuat wajah tidak puas hatinya. Waktu itu juga pintu biliknya terbuka. Terjengul wajah rakan sebiliknya Fariha. Ariana berpaling semula. Tidak jadi dia hendak mengherdik benda itu. Dia yakin Fariha tidak dapat melihat benda itu. Dia tidak mahu Fariha berasa takut. Lagipun Fariha satu-satunya rakan yang tidak pernah cuba menjauhkan diri darinya hanya kerana sikapnya yang terkadang bisa menaikkan bulu roma orang di sekelilingnya.
   Ariana hanya memerhati gerak laku Fariha yang meletakkan bungkusan di tangan ke atas meja belajar bersebelahan dia tanpa berminat untuk menegur. Ariana menyambung kerjanya menyapu krim malam di mukanya yang tergendala tadi.
   "Ari..." Suara Fariha membuat Ariana berpaling. Dia memandang tanpa perasaan. Fariha hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat sikap dingin Ariana, tapi dia tahu hati gadis itu baik.Fariha mendekat lalu menghulurkan sekeping kertas padanya. Ariana menyambut. Lama matanya tertumpu pada kertas hebahan itu. Program 'Jungle Tracking'....
   "Apa-apa ajelah." Ujar Ariana sambil mencampak kertas itu ke atas meja Fariha semula. Dia bangkit lalu merebahkan diri di atas katil empuk itu. Seketika kemudian dia berbisik perlahan agar tidak didengari Fariha. "Kau pergi! Tak payah nak tercongok dekat sini. Aku tak takut." Bayang yang baru tadi bertinggung di hujung katilnya hilang begitu sahaja. Ariana terus melelapkan matanya.

...........

   Ariana menepuk nyamuk di lengannya. Peluh yang merecik di dahi di lap dengan hujung tudung. Matanya meliar ke sekeliling kawasan hutan itu. Beberapa rakan sekuliahnya masing-masing tenggelam dalam aktiviti mereka. Ada yang sedang memasak air, ada yang merehatkan tubuh yang kepenatan setelah seharian meredah hutan. Dia? Seperti biasa duduk menyendiri melayan perasaan.
   "Jom semua... Berkumpul dekat unggun api ni." Suara prof Johan menerobos pendengaran Ariana. Gadis itu melangkah malas. Sebaik melabuhkan punggung, rakan di kiri dan kanannya menjauhkan sedikit diri mereka. Ariana membuat muka tidak berperasaannya. Sudah selalu sangat dia dipencilkan. Bukan setakat itu sahaja, malah ada yang menggelarnya gilalah, perempuan sihirlah. Gelaran itu lekat kerana sikapnya juga. Kalau dia merenung tajam seseorang dengan lama, berkemungkinan besar orang itu dirasuk. Ada yang pengsan, tidak kurang juga yang menjerit histeria. Alih-alih dia yang dituduh menyihir orang. Apa yang mereka tahu? Yang dia renung bukan calon-calon mangsa rasukan itu, tetapi yang direnung 'benda' yang mendampingi mereka.
   "Kita nak mulakan aktiviti malam ni dengan... " Meleret suara prof Johan mendatangkan saspens dalam diri semua yang ada. "Cerita hantu!" Jelas suaranya teruja. Ariana tahu mata-mata rakan sekuliahnya terhala ke arahnya. Ah! Apa dia peduli.
   "Prof... Saya tak nak lah join. Saya ni lemah semangat." Ariana memandang ke sebelah kanannya. Ada getar pada suara Alissa.
   "Betul Prof... Apa-apa jadi susah. Kita kan tengah hutan ni." Doktor Asnizam yang sedari tadi hanya diam turut menyuarakan pendapatnya pada rakan sekerjanya. Keluhan panjang dilepaskan dari bibir prof Johan. Kecewa ideanya tidak diterima.
   "Habis tu, kita nak buat apa?" Suara prof Johan sudah tidak seceria tadi. Seorang lelaki tiba-tiba bangun membuat semua mata tertumpu ke arahnya kecuali Ariana yang hanya menekur tanah. Semakin bosan pastinya.
   "Kita menyanyi." Ujar Hakim ceria. Beberapa rakan kuliahnya sudah bersorak. Majoriti bersetuju dengan cadangan lelaki tadi. Apa lagi, lelaki tinggi lampai itu segera bergerak ke khemahnya. Beberapa minit kemudian dia muncul bersama sebuah gitar.
   "Larat kau angkut gitar redah hutan." Tegur seorang rakannya yang agak berisi. Hakim hanya tersengih mendengar komen Arman itu.
   Bunyi indah hasil petikan Hakim mengalun melodi seiring indahnya dengan simfoni semulajadi alam. Kesemuanya tertegun dengan bakat yang ditonjolkan Hakim terutamanya gadis-gadis. Ariana pula. Hmm... Masih memandang sepi. Harmoni sekali suara mereka menyanyikan lagu 'Kau Ilhamku'.
   Ariana langsung tidak berminat untuk menyertai mereka. Setelah memaksa dirinya lebih kurang setengah jam tercongok di situ seperti patung cendana mendengar alunan suara rakan-rakannya, Ariana akhirnya angkat punggung. Dia bergerak menuju ke khemah miliknya yang dikongsi bersama Alissa dan Salbiah tanpa menyedari mata Hakim yang memerhati tingkahnya dengan rasa hampa. Hampa kerana gadis kesayangannya itu tidak menunjukkan sebarang minat terhadapnya.

..........

   Hakim melangkah keluar dari khemahnya sambil menggosok matanya berkali-kali. Eryl yang memintanya menemaninya membuang air sudah menarik-narik baju Hakim yang masih mamai. Hakim hanya mampu mengeluh dengan sikap Eryl yang penakut itu.
   Eryl menghilang ke dalam semak berhampiran sungai manakala Hakim yang menunggu sudah bertinggung di tebing sungai. Sesekali kepalanya tersengguk menahan rasa mengantuk yang semakin kuat.
   'Ooooo.... Ooooo....' Mata Hakim yang tadinya layu menjadi bulat. Dia mengamati suara gemersik yang menyapa telinganya. Dup! Dup! Dup! Dia dapat mendengar bunyi jantungnya sendiri. Tidak salah lagi! Itu adalah suara merdu beberapa gadis yang menyanyikan irama melankolik yang dia belum pernah dengari. Suara gemersik itu sungguh indah kedengaran di halwa telinganya ditambah pula bunyi sungai mengalir yang seolah menjadi alat muzik alam menemani suara-suara itu. Hakim terpesona.
   Dia mula melangkah menyusuri tebing sungai itu, mahu mencari arah datangnya suara-suara itu. Sampai sahaja Hakim di kawasan air terjun, dia bagai dipukau. Di bawah sinaran purnama penuh, dia menyaksikan tujuh orang gadis berdiri di atas batu-batuan di tengah sungai sambil mengalunkan lenggok tubuh dan tangan dengan gemalai mengikuti rentak nyanyian mereka. Pakaian mereka kelihatan seperti pakaian puteri jawa yang berhias indah sekali. Hanya, mereka membelakanginya. Hakim terus-terusan memerhati. Dia benar-benar terpukau.
   Lelaki itu juga melangkah lebih dekat dan.... Prakk! Bunyi ranting dipijak menghentikan suara-suara itu mendadak. Pergerakan gadis-gadis itu turut terhenti. Hakim pula bagai terjaga dari mimpi yang panjang. Dia menelan liur. Peluh sejuk membasahi tubuhnya. Jantungnya sudah bergerak tidak sekata. Dia tahu apa yang di depan matanya kini. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat kursi sambil hatinya tidak berhenti berdoa agar gadis-gadis di depannya itu tidak berpaling. Ikutkan logik akalnya, dia sudah mahu membuka langkah seribu tapi tubuhnya seolah-olah melawan kehendaknya. Akhirnya...
   Zap! Ketujuh-tujuh gadis itu berpaling serentak. Hakim dapat melihat jelas wajah mereka yang terlalu buruk dan membengis di hadapannya. Tanpa amaran, tubuhnya rebah menyembah bumi.


..................

   Kepala Ariana terteleng ke kiri dan kanan. Keningnya berkerut seribu seolah sedang mengalami mimpi yang maha dasyat. Selepas beberapa ketika, mata gadis itu terbuka luas. Nafasnya menderu laju. Bibir nipisnya yang mula kelihatan pucat melafaskan kalimah suci Allah berulang kali. Dia bangkit dari pembaringannya setelah detak kencang jantungnya beransur reda. Peluh di dahinya di seka. Keningnya bertaut. Apa maksud mimpinya sebentar tadi? Mainan tidur atau Hakim benar-benar mengalaminya. Siapa tujuh puteri berpakaian jawa itu? Minda Ariana ligat mencari jawapan namun hanya sebentar cuma. Dia terganggu mendengar bunyi bising di luar khemahnya. Segera dia mencapai tudung hitamnya yang di bentang menutupi beg galasnya lalu disarung ke kepala sebelum menjenguk keadaan di luar khemah.
   Tapak perkhemahan itu gempar dengan kehilangan Hakim. Eryl sudah menangis risau akan nasib kawannya. Sangkanya, Hakim sengaja meninggalkan dia dan pulang ke khemah dahulu untuk mempermainkannya namun sangkaannya meleset dengan ketiadaan Hakim.
   "Kita kena cari dia." Cadang Doktor Asnizam. Wajahnya turut telakar kecemasan.
   "Tak boleh." Satu suara garau mencelah. Semua yang berada di situ menjatuhkan pandangan ke atas lelaki bertubuh sasa itu. "Sekarang ini tengah malam. Kita kena tunggu esok baru kita mulakan pencarian. Esok juga kita boleh minta bantuan." Tenang sahaja nada suara itu.
   "Tapi, Abang Man..." Doktor Asnizam masih mahu membantah namun bahunya diramas lembut oleh prof Johan.
   "Abang Man lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Kita ikut sahaja. Sekarang ni kita berdoa agar Hakim selamat." Ujar prof Johan. Ada keluhan berat dari bibirnya. Dia juga dirempuh kerisauan, namun dia harus percayakan pemandu arah mereka, Abang Man. Dia lebih berpengalaman.
   Baru sahaja situasi mahu reda, kedengaran suara jeritan nyaring seorang gadis. Alissa rebah setelah itu. Keadaan menjadi hingar-bingar semula. Ariana pula sudah mencerlung matanya melihat apa yang orang lain tidak mampu melihat.
   Baru abang Man mahu mendapatkan Alissa, Sherlis yang berdiri berhampiran Arman pula ketawa mengilai. Arman dan rakan-rakan berhampiran terus menjarakkan diri melihat perubahan Sherlis. Rambutnya yang panjang menambah ketakutan mereka.
   Suara hilaian Sherlis yang awalnya perlahan menjadi semakin lantang. Mereka yang berada di tapak perkhemahan itu sudah berkumpul. Abang Man terkumat-kamit membaca ayat kursi, namun saat Sherlis mengajuk bacaan abang Man dengan suara mengejek, mereka semakin dihimpit ketakutan. Masing-masing pucat wajahnya. Berdiri bulu roma mereka saat Sherlis sudah merangkak di tanah cuba mendekati mereka. Tapak perkhemahan itu bingit dengan jeritan.
   Sherlis yang merangkak semakin hampir dengan Fariha membuat gadis itu menjerit ketakutan. Pipinya sudah basah dengan air mata. Kelam-kabut mereka dibuatnya. Namun Ariana yang tiba-tiba berdiri dihadapan Fariha menghadap Sherlis yang masih merangkak seperti kanak-kanak yang tidak reti berjalan itu membuat keadaan kembali senyap. Mereka menumpukan pandangan pada dua gadis itu.
   Yang anehnya, Ariana tidak menunduk memandang Sherlis di tanah, terapi matanya lurus menentang sesuatu yang tidak mereka nampak turut berdiri menentang gadis itu.
   "Kau nak apa?" Soal Ariana dengan suara tenang. Terdengar hilaian suara Sherlis. Tidak! Itu bukan suara Sherlis sebaliknya suara itu kedengaran seperti suara nenek tua. Agak lama Ariana terdiam. "Kau fikir aku bodoh?" Ujar Ariana dengan nada yang sedikit dikeraskan. Abang Man yang mulanya memerhati mendekati Ariana. Dia berdiri di belakang gadis itu bagi menyokongnya. Dia kini mengerti dan dapat melihat kelebihan Ariana.
   "Jangan sangka aku takut." Sindir Ariana tiba-tiba. Cara Ariana bercakap seolah ada perbualan yang tidak kedengaran dari pihak yang satu lagi. Ariana tiba-tiba berpaling ke arah abang Man dan semua yang sudah berlindung di belakangnya. "Iblis ni nak tunjukkan diri dia. Aku nak kau orang bersedia. Jangan sesekali tumbang. Aku tak nak dia rasa yang ada antara kita yang takut." Ujar Ariana. Sebentar kemudian, gadis itu membisikkan sesuatu di telinga abang Man yang kemudiannya berlalu mendapatkan semua yang berada di belakang.

...............

   Seketika kemudian, semua rakan-rakan sekuliah Ariana termasuk pensyarah-pensyarahnya sudah duduk dalam bulatan mengelilingi Ariana dan Sherlis. Mata Sherlis meliar melihat satu persatu wajah takut itu. "Apa yang kau pandang? Tunaikan apa yang kau cakap tadi." Arah Ariana tenang.
   Sebaik habis bicara Ariana angin mula bertiup kencang seperti mahu ribut. Dedaun gugur ditampar angin kencang. Cuaca yang mendadak berubah membuat semua yang berada di situ jadi semakin cemas. Tapi, bagi Ariana dan abang Man perkara seperti ini sudah dijangka.
   Dalam keributan itu, muncul satu makhluk yang sangat menyeramkan terapung di atas Sherlis yang masih bercangkung di situ. Dia menyeringai ke arah Ariana menampakkan barisan giginya yang tajam. Ada dua taring di bahagian rahang bawahnya. Matanya yang memerah seolah terjojol keluar melawan renungan tajam Ariana. Kepala dan tubuhnya ditutupi bulu hitam yang lebat.
   Saat itu juga bau yang begitu memualkan menyucuk lubang hidung semua yang menyaksikan kewujudan makhluk ngeri itu. Ada antara rakannya yang rebah tidak sedarkan diri, ada yang termuntah malah ada yang sudah kaku tidak mampu bereaksi kerana ketakutan.
   Waktu itu juga Ariana memberi isyarat kepada abang Man. Abang Man yang memahami, melaungkan azan sekuat mungkin supaya suaranya tidak tenggelam dibawa angin kencang. Arman yang pada mulanya terpinga-pinga turut melaungkan azan diikuti beberapa mahasiswa lain. Rakan-rakan perempuan Ariana pula mula menggagahkan diri berzikir pada Allah. Segala-galanya berjalan mengikut arahan Ariana.
   Ternyata laungan azan dan alunan zikrullah itu menyeksa makhluk tersebut. Kedengaran raungan kesakitan yang cukup nyaring keluar dari mulut makhluk itu yang terbuka luas. Ariana tidak bertangguh lagi, dia tunduk lalu mengambil segenggam tanah yang masih basah disirami embun malam. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. "Auzubikalimatillahitammatiminsyarrimakhalak... Allahuakbar!" Serentak itu, tangannya membaling kasar tanah di tangannya ke tubuh lembaga itu. Diiringi jeritan yang menggegar hutan itu, makhluk itu memudar dari pandangan. Angin yang bertiup kencang sebentar tadi semakin reda meninggalkan tiupan bayu malam yang lembut menampar pipi. Sherlis terkulai di atas tanah dengan nafas yang lemah.
   Ariana melepaskan keluhan lega. Hatinya mensyukuri kejayaannya dalam pertempuran tadi dengan izin Allah.

...........

   Nafas Ariana terhenti tiba-tiba. Dia menoleh ke sekeliling arah seperti mencari sesuatu. Rakan-rakannya yang lain sudah tidak senang duduk melihat perlakuan Ariana. Bimbang berlaku pertempuran dasyat seperti tadi.
   "Ari... Ada apa?" Fariha memberanikan diri bertanya dengan teman sebiliknya itu. Ariana diam buat beberapa ketika sebelum bersuara.
   "Tuan rumah datang menjenguk." Kata-kata Ariana mengundang kerutan di wajah semua kecuali abang Man meski dia tidak mempunyai keistimewaan seperti Ariana.
   Sebentar kemudian, kelihatan kepulan asap putih berarak dari celahan pepohon hutan. Dari kepulan asap itu keluar seorang lelaki tua tetapi bertubuh tegap sambil memegang tongkat kayu. Di bahagian pemegang kayu itu terukir kalimah Allah yang memancarkan warna keemasan. Ariana menarik nafas lega. Lega kerana makhluk ini juga islam sepertinya. Ariana memerhati lelaki tua itu. Seraut wajah tua itu kelihatan tenang dihiasi jambang yang panjang beruban. Serban dan jubah serba putih yang membaluti tubuh lelaki itu berkibar ditiup angin yang Ariana tidak rasai. Mungkin angin didunia mereka.
   Ariana menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. "Assalamualaikum tuk." Ariana membuka bicara. Fariha yang berdiri di sebelah Ariana sudah pucat. Apa lagi yang Ariana nampak yang mereka tidak dapat melihat dengan mata kasar. Dia menggoncangkan tubuh Ariana perlahan namun Ariana hanya memandang sekilas ke arahnya.
   "Waalaikumussalam, cu." Balas suara itu tenang. Lelaki tua itu merenung wajah-wajah yang berada di sisi Ariana satu persatu sebelum matanya dipejamkan dan mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang jelas. Kemudian bibir tua itu dimuncungkan seolah meniup ke arah mereka. Sebaik lelaki tua itu membuka matanya, semua yang ada di situ tersentak. Kini mereka melihat apa yang Ariana lihat. Mereka semakin merapat sesama sendiri melihat wujud yang muncul entah dari mana.
   "Assalamualaikum, tuk." Ujar abang Man pula setelah bayangan telus wajah itu jelas di matanya.
   "Waalaikumussalam..." Lelaki tua itu berjeda. "Panggil hamba Tuk Pujangga. Tuk adalah ketua di kampung bunian ini. Kampung yang tidak terlihat di mata kalian sepertimana kalian yang tidak terwujud di mata penduduk tuk kerana hijab yang Allah S.W.T tabirkan antara kita." Ariana mengangguk. Mata Tuk Pujangga terarah pada Ariana. "Namun ada antara kamu yang punya anugerah. Bisa melangkau tabir hijab sepertimana tuk." Ariana tersenyum mendengarnya.
   "Mungkin ini anugerah. Namun mungkin juga ini ketidaksempurnaan. Kerana ini bukan fitrah asal kejadian." Perkataan Ariana berjaya membawa senyuman di bibir Tuk Pujangga.
   "Kamu bijak bermadah bicara, cucu." Puji Tuk Pujangga.
   "Puji-pujian hanya bagi Allah. Apa yang terfikir di akal ini dan yang terlafaz di bibir ini semuanya kurniaan Allah." Lembut suara Ariana merendah diri. Rakan-rakannya yang lain sudah memandang kagum ke arahnya. Adakah ini Ariana yang sama? Gaya percakapannya berubah. "Tuk... Maaf cucu bertanya. Adakah tuk tahu di mana Hakim, sahabat kami?" Soal Ariana.
   "Itu jugalah yang membawa tuk kemari. Tuk melangkaui hijab ke duniamu kerana sahabatmu itu telah melangkaui hijab ke dunia tuk. Puteri ratna bertujuh yang telah membawanya." Kata-kata Tuk Pujangga jelas membuat Ariana merasa gelisah.
   "Puteri ratna bertujuh? Bukankah mereka dari kalangan tuk yang punya kuasa hitam? Saya pernah mendengarnya dari guru saya, Ratna Seri Dewi. Ibu mereka." Ariana terbayang wajah Ratna Seri Dewi yang bercahaya. Itulah kali pertama dia bertemu makhluk lain yang seindah ciptaan. Kelembutan yang ditunjukkan telah membantu diri Ariana memanfaatkan kelebihan yang dia ada sebaiknya. Kelebihan matanya yang wujud sejak dari lahir lagi. Kelebihan yang semakin diasah berikutan peredaran masa.
   "Benar, mereka tersasar kerana sikap haloba mereka. Menginginkan kecantikan abadi dan kuasa yang tiada tertanding." Ariana sudah menghela nafas sedalamnya.
   "Apa tujuan mereka membawa Hakim?" Walau Ariana sudah mengetahui jawapannya, dia tetap menggagahkan diri bertanya.
   "Sebagai korban pemujaan mereka."
   "Saya akan berentap dengan mereka." Ariana sudah melurutkan pelukan Fariha di lengannya. "Mulai saat ini, akan ku jadikan nyawa Hakim di bawah tanggungjawabku. Amanahku!" Selesai kata-kata itu, Ariana berlari laju ke arah kabus dan tidak semena-mena batang tubuhnya hilang ditelan kabus yang semakin pekat.
   "Ada darah srikandi sepertimana Ratna Dewi." Tuk Pujangga bersuara sebelum kelibatnya juga hilang dari situ.
   Fariha sudah melorot di tanah dengan esakan yang pecah. Yang lain-lain seperti masih terkedu memandang kehilangan Ariana. Bagaimana mereka mahu membantu? Akhirnya masing-masing dirudum duka. Hanya di hati tidak habis berdoa untuk keselamatan dua sahabat mereka.

...........

   Ariana melangkah laju. Setiap langkah kakinya diiringi alunan zikrullah. Meski sekelilingnya gelap pekat, di hatinya tetap tiada walau sekelumit rasa takut. Dia terus melangkah dan melangkah. Perjalannya terasa seperti tiada penghujungnya. Dia kini seperti si buta. Tiada cahaya yang menerangi jalannya.
   "Cucu..." Ariana menangkap suara Tuk Pujangga. Dia berpaling mengikut arah suara itu. Saat itu dia melihat pancaran cahaya putih seperti membentuk satu lorong. Dengan lafaz basmallah, Ariana melangkah ke arah cahaya itu.
   Ariana menutup matanya. Kedua-dua tangannya menutup cahaya yang terlampau menyilaukan. Seketika kemudian, Ariana membuka semula matanya. Terbentang satu perkampungan di hadapan matanya. Perkampungan itu persis perkampungan yang jauh jarak zamannya. Kesemua penduduk di situ memakai baju serba putih. Yang lelaki memakai jubah dan yang perempuan memakai kurung dan di kepala mereka tersangkut selendang putih bersih menutupi aurat selayaknya.
   Ariana berpaling ke kanannya saat menyedari kehadiran Tuk Pujangga. "Tuk... Di mana saya boleh cari Ha..." Belum sempat Ariana menghabiskan kata-katanya, Tuk Pujangga mencelah terlebih dahulu.
   "Mari ke rumah tuk dahulu. Akan kita selesaikan bersama. ulah ini dimulakan dari kaum tuk sendiri. Tuk turut memikul amanahnya." Ariana mengangguk. Dia membontoti langkah Tuk Pujangga. Selama ini Ariana belum pernah melangkaui hijab dengan jasadnya. Hanya matanya yang berjalan jauh memerhati kehidupan di alam lain. Dia dapat rasakan perbezaan berada di alam ini. Tubuhnya terasa ringan dan bertenaga.
   Sepanjang perjalanan, Ariana amati suasana perkampungan bunian itu. Penduduk kampung itu rata-rata merenung Ariana dengan wajah yang berkerut. Kehairanan mungkin dengan kedatangan manusia. Tambah pula dengan cara Ariana berpakaian. Dia hanya mengenakan seluar track adidas berwarna biru gelap dan baju t-shirt hitam berlengan panjang serta tudung bawal yang juga berwarna hitam.
   Tidak semena-mena langkah Ariana dihalang seorang pemuda bertubuh sasa. Tersentak Ariana dibuatnya hingga gadis itu terundur selangkah ke belakang. Tuk Pujangga yang awalnya berjalan di hadapan berpatah balik mendapatkan mereka.
   Ariana mengerutkan kening melihat lelaki itu yang langsung tidak mengangkat wajahnya. Tuk Pujangga menghampiri mereka lalu memegang bahu pemuda tersebut. "Apa tujuanmu Hasbullah?" Soal Tuk Pujangga.
   Lelaki muda itu mengangkat wajahnya berbalas pandang dengan Tuk Pujangga. Ariana hanya diam memerhati. "Tuk membawa ancaman ke perkampungan kita." Lembut suaranya namun bernada tegas.
   "Dia bukan ancaman. Ancaman datang dari kaum kita sendiri." Tuk Pujangga memandang Ariana sekilas. "Manusia ini ke sini atas kehendak takdir. Dia kini amanahku." Sambung Tuk Pujangga. Terdengar keluhan halus dari bibir lelaki itu. Saat itu Ariana mengerti lelaki itu tidak menyenangi kehadirannya di dunia ini. "Tidak baik mengeluh, Hasbullah... Nanti selepas isyak, datang ke rumahku. Assalamualaikum." Tuk Pujangga memberi isyarat pada Ariana untuk mengekorinya.
   "Waalaikumussalam." Ariana sempat menangkap suara pemuda itu sebelum berlalu.

.............
   
   Cempaka, cucu Tuk Pujangga duduk bersimpuh di sebelah Ariana. "Jemputlah minum." Sopan dan lembut sekali tingkah Cempaka. Ariana membalas senyuman manis gadis jelita itu seadanya. Hatinya masih risau memikirkan keadaan Hakim.
   Tuk Pujangga bangun dari duduknya menuju ke luar rumah setelah mendengar salam. Ariana turut bangkit. Dia mengintai dari sebalik dinding berdekatan pintu utama. Cempaka turut mengekorinya.
   "Hasbullah itu elok rupanya, bukan?" Ariana berpaling saat mendengar suara Cempaka di belakangnya. Ariana hanya tersenyum hambar. Dia sebenarnya tidak berminat dengan bicara Cempaka.
   Ariana kembali menjatuhkan pandangannya ke laman rumah yang menjadi kawasan perbualan Tuk Pujangga, Hasbullah dan enam pemuda lagi. Dia dapat menangkap butir bicara mereka dengan jelas.
   "Bertempur dengan puteri Ratna bertujuh? Kita tidak punya kekuatan, tuk." Bantah seorang lelaki yang agak tinggi lampai. Juga bertubuh sasa. Jika diperhatikan, kesemua pemuda itu mempunyai raut wajah yang kacak dan tubuh yang sasa.
   "Barangkali kau takut, ya Megat?" Usik pemuda yang berdiri di sebelah Megat. Megat kelihatan tersenyum.
   "Mengapa perlu aku takut pada mereka. Aku hanya menyatakan kebenaran. Jangan kau lupa apa yang diajarkan pada kita. Takut itu hanya pada Allah." Terang Megat.
   "Bagaimanapun, Puteri Ratna bertujuh telah melanggar peraturan. Mereka sudah melampaui batas. Ulah mereka telah mendatangkan kesusahan pada manusia. Kita harus membantu apa yang termampu." Tuk Pujangga berpaling. Ariana yang sedang mencuri dengar agak terkejut melihat pandangan Tuk Pujangga terarah padanya. Dia memberanikan diri turun dari rumah papan beratap nipah itu dan menyertai mereka di laman.
   Entah bagaimana mata Ariana bertaut lama dengan pemuda yang berdiri di sebelah Megat tadi. Ariana hanya memandang kosong tapi riak wajah pemuda itu sukar ditafsir. Ariana segera mengalihkan pandangannya pada Tuk Pujangga namun melalui ekor matanya, dia tahu pemuda itu masih memerhatinya.
   "Arjuna, jaga pandanganmu." Tegur satu suara. Ariana kenal suara itu. Pemiliknya adalah Hasbullah.
   'Oh... Nama dia Arjuna.' Bisik hati Ariana. "Namaku Ariana. Aku datang ke mari untuk menuntut semula sahabatku." Ariana berhenti berbicara saat ada suara garau yang mencelah.
   "Hebat sungguh kamu wahai kaum hawa. Tahukah kamu apa yang kamu tempah dengan ke mari?" Sinis sekali nadanya. "Janganlah kamu cuba menjadi ketua, kami laki-laki jauh lebih layak darimu. Tahulah kamu di mana layaknya kamu." Suara itu menyindir lagi.
   "Aku tahu. Aku perempuan yang lemah. Tapi tidak bermakna aku tidak bisa berjuang. Jangan kamu lupa dalam kelembutanku ada ketegasan. Tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia." Bantah Ariana dengan tegas membuat pemuda tadi terdiam. Arjuna menyinggung siku pemuda tadi.
   "Sudah kelukah lidahmu yang petah itu setelah bicaramu dipatahkan kaum hawa ini, Mikhail?" Arjuna kemudiannya tertawa kecil berjaya mengusik rakannya itu.
   Tuk Pujangga sudah menggelengkan kepalanya. Senyuman kecil menguntum di bibir. "Kamu masih dengan kenakalanmu, Arjuna." Rumus Tuk Pujangga. Dia kemudiannya berbalas pandang dengan Ariana. "Cucu, tujuh pemuda ini merupakan anak didikku yang paling aku percaya. Tuk kenalkan dari kanan, Hasbullah, Megat, Arjuna, Mikhail, Luqman, Saifullah dan Firdaus." Ariana mengangguk perlahan. "Mereka akan menemanimu. Mereka juga sudah cukup bersedia untuk berentap dengan Puteri Ratna bertujuh. Tuk juga akan membantu apa terdaya." Ariana sudah berkerut keningnya.
   "Tuk... Saya ke mari dengan satu niat. Membawa pulang sahabat saya. Selagi saya mampu elakkan pertempuran, saya..." Belum sempat Ariana menghabiskan bicara, Tuk Pujangga sudah mencelah.
   "Pertempuran ini telah Tuk jangka. Kamu tidak akan dapat mengelak lagi. Tuk yakin gurumu ada menitipkan pesan padamu samada kamu sedar ataupun tidak." Ariana memerah otaknya.
   Keningnya sedikit terangkat mengingatkan kata-kata akhir Ratna Seri Dewi sebelum menghilang dari hidupnya. 'Ingat Ariana... Takdir Allah itu sangat teliti. Takdir kita terikat kemas. Ariana pula mempunyai takdir besar yang menanti. Saat itu tiba, maka berserahlah sepenuhnya pada Allah.' Ariana sudah mengetap bibirnya. 'Inikah takdir aku yang Ratna Seri Dewi maksudkan?' Getus hati kecilnya.

..........

   "Min! Mujur kau sampai juga." Abang Man segera mendapatkan Ustaz Rahimin yang baru tiba di tapak perkhemahan.
   "Ya, sebaik dapat pesanan Man, aku terus berkejar ke sini. Apa yang dah berlaku?" Soal Ustaz Rahimin sambil melilar matanya memerhati wajah muram mereka yang berada di situ.
   "Terlalu panjang untuk diceritakan. Tapi, yang penting sekarang dua ahli sudah hilang ke dunia lain. Dunia bunian..." Ujar abang Man. Dia memerhati riak tenang di wajah Ustaz Rahimin yang sedikit pun tidak berkocak. "Yang hilang adalah Hakim dan.... Ariana." Perlahan suara abang Man. Ustaz Rahimin tersentak.
   "Ariana?" Dia menelan liur. "Kau pasti Aman?" Kejutan yang diterima membuat ustaz Rahimin menyebut nama penuh abang Man. Lelaki itu kelihatan mengangguk. "Subhanallah... Inilah takdir Allah." Ustaz Rahimin memuji Allah. Peristiwa sepuluh tahun lalu menjengah mindanya dan Aman atau dikenali abang Man. "Dia kenal kau, Man?" Soal Ustaz Rahimin lagi. Kali ni Aman menggeleng. Mungkin kerana panggilan orang sekeliling tidak kira lapisan umur menggelarkan dia sebagai abang Man yang membuatkan gadis itu tidak mengenalinya atau mungkin dia sudah tiada dalam kotak ingatan gadis itu.
   "Kita mulakan." Ustaz Rahimin menepuk lembut bahu rakannya. Abang Man pantas mengangguk. Mereka tiada masa untuk dibuang.

...........

    Ariana mengintai dari sebalik pohon hutan. Matanya diarah pada sungai yang mengalir deras. Saat itu dia menangkap kelibat sekujur tubuh terbaring di atas batu sungai besar betul-betul di tengah sungai berdekatan air terjun. Suram malam menyebabkan Ariana sukar untuk mengecam pemilik tubuh itu.
   "Megat, aku ke sana." Ariana berbisik perlahan pada Megat yang berada di sebelahnya.
   "Jangan! Biar aku dan Saifullah yang ke sana." Tegah Megat. Ariana terdiam sejenak sebelum akhirnya mengangguk.
   Ariana memerhati Megat dan Saifullah yang melangkah laju ke tebing sungai. Langkah mereka ringan dan sukar didengari. Kagum Ariana melihat kebolehan mereka. Seketika kemudian Megat dan Saifullah melompat tinggi dan terus mendarat di batu besar itu. Melopong juga Ariana melihatnya. Masakan tidak, sekali lihat kedua-dua pemuda itu kelihatan seperti terbang.
   Megat dan Saifullah sudah memapah tubuh itu, namun belum sempat tubuh itu dibawa ke tebing, bagai ada sesuatu menyerang mereka lebih pantas dari kilat. Gedebush! Tahu-tahu sahaja, Saifullah sudah tercampak ke dalam sungai.
   "Subhanallah!" Suara Hasbullah dan rakan-rakannya yang juga diam memerhati memalu gegendang telinga Ariana. Dia sendiri terkedu melihat serangan mendadak itu. Belum pun sempat Ariana bertindak, Hasbullah dan rakan-rakannya yang lain sudah berkejar ke batu itu bagi membantu Megat. Tuk Pujangga sudah bersila di tebing sambil memejamkan mata. Berlawan secara batin mungkin.
   Ariana melihat jelas pertarungan sengit di hadapan matanya. Enam gadis sudah menyerang enam pemuda itu. Namun mereka tidak mudah dikalahkan. Setiap seorang bijak menangkis setiap serangan. Mereka kelihatan setanding.
   Ariana berlari mendekati sungai. Dia berdiri berdekatan tebing. Hatinya ragu melihatkan jarak antara tebing itu dengan batu besar yang masih menampung tubuh longlai yang dijumpai mereka tadi. Matanya melirik ke arah Megat yang sudah tergolek di tanah sebelum bangkit semula menyerang salah seorang puteri itu. Dia menjenguk pula ke dalam sungai yang mengalir deras. Mana Saifullah? Adakah lelaki itu telah hanyut dibawa arus?
    Gadis itu menghela nafas sedalamnya. Dia mempunyai peluang untuk menyelamatkan pemilik tubuh di atas batu itu. Dia lantas berundur sedikit ke belakang sebelum memecut dengan pantas. Kaki kanannya menolak kuat tanah hingga tubuhnya terbang tinggi sebelum mendarat dengan sempurna di atas batu itu. Dia sendiri terkejut dengan kekuatannya. Saat itu dia teringat kembali kata-kata Sari, kakak segurunya yang sama-sama menuntut ilmu dengan Ratna Seri Dewi.

...............

   "Tahukah Ariana...." Belum sempat Sari menghabiskan bicaranya, Ariana yang duduk di tunggul kayu bersebelahan Sari memintas.
   "Tak tahu." Ariana kemudiannya tertawa kecil saat bahunya ditepuk lembut oleh Sari. Matanya yang merenung wajah jelita Sari kembali melihat Ratna Seri Dewi yang turut menguntum senyuman di hadapan mereka. Mereka melepaskan lelah mereka di tunggul kayu itu sebaik habis latihan mereka tadi.
   "Iyalah, kakak mahu ceritalah ni." Balas Sari yang selesa menggelarkan dirinya sebagai kakak. Ariana mengangguk lalu meneguk air embun yang dihulurkan Dewi Seri Ratna menggunakan sehelai daun lebar. Terasa dingin air itu membasahi tekak. Hilang penatnya sebentar. "Di dunia kami, sungguh kami gentar akan kehadiran manusia."
   Terjungkit sebelah kening Ariana mendengarnya. "Gentar? Mengapa?" Soalnya kehairanan.
   "Kerananya, manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna. Jika ada manusia yang tersesat di dunia kami maka kekuatannya melebihi apa yang dia sendiri jangka." Sari menarik tangan Ariana. "Itulah ketentuan Allah. Atas izinnya, seorang manusia sahaja mampu mendatangkan ancaman besar ke dunia kami." Katanya lagi.
   Ariana mengangguk kagum sebelum matanya memandang dada langit yang sudah semakin terang. Dia sememangnya berguru dengan Ratna Seri Dewi beberapa jam selepas Isya'. Waktu itu dia akan menyelinap keluar dari rumahnya tanpa di kesani ibu bapanya. Dia akan berguru dan berjemaah subuh bersama Ratna Seri Dewi dan Sari sebelum berlatih lagi dan akhirnya pulang sebelum matahari terbit.
   "Eh... Sudah terang. Ariana pulang dulu." Ujar Ariana sebelum bersalaman dengan kedua-dua insan yang berlainan dunia dengannya namun sudah dianggap seperti keluarganya sendiri.

...............

    "Ariana..." Suara lemah itu menyapa gegendang telinga Ariana. Lamunannya terencat di situ. Samar-samar dia dapat melihat wajah tubuh yang terbaring itu. Seperti yang dia sangka, Hakim...
   Baru dia ingin membantu Hakim, Ariana dapat merasakan satu aura yang sangat kuat berbaur hitam kejahatan yang amat pekat. Ariana berpaling dan mendongak. Matanya menangkap kelibat seorang gadis berpakaian jawa berdiri di atas batu betul-betul di kawasan kepala air terjun. Walaupun dia tidak dapat melihat wajah itu dengan jelas, dia dapat merasakan tajam renungan itu menujah dadanya.
   Belum sempat Ariana berbuat apa-apa, kelibat itu menghilang namun Ariana tidak dapat menarik nafas lega kerana dia yakin kelibat tadi berada betul-betul dibelakangnya. Dia dapat merasakan jari runcing bermain dengan tengkuknya di sebalik tudung. Dia terkaku di situ.
   "Kau istimewa. Mahukah kau mendampingi aku. Keistimewaanmu dan kekuatanku mampu menjanjikan apa sahaja." Gemersik suara itu berbisik di telinga Ariana. Ariana berzikir di dalam hati meminta agar Allah memelihara jiwanya dari ditakhluki syaitan ini.
   "Aku berpegang hanya pada janji Allah." Tegas suara Ariana. Dia masih tidak berpaling ke belakang. Tawa halus kedengaran. Sinis sekali bunyinya.
   "Apa ada pada janji tuhan kamu itu... Lihat itu." Jemari runcing itu menghala tepat ke hadapan Ariana. Ariana mengekori arah itu dengan bebola matanya. Dia melihat jelas Hasbullah yang sedang bertempur dengan salah seorang puteri itu. Nampaknya pertempuran itu didominasi oleh pemuda gagah itu. Tiba-tiba tubuh puteri itu melangkah beberapa tapak ke belakang mendapat tendangan padu Hasbullah. Tangan Hasbullah tangkas mencapai kayu tajam berhampiran kakinya lantas.... Zapp! Kayu panjang itu menikam tengkuk puteri tadi. Tubuh itu rebah ke bumi. Namun, baru Hasbullah ingin meninggalkan tubuh itu bagi membantu rakan yang lain, puteri tadi bangkit semula. Dia menyeringai memandang ke arah Hasbullah yang sudah terkedu melihat mayat tadi kembali hidup. Tangan puteri itu mencabut perlahan kayu yang terpacak di tengkuknya. Darah pekat membuak keluar dari luka di tengkuknya dan mulutnya. Ariana sudah pucat melihat aksi ngeri itu. Seketika kemudian luka puteri itu sembuh begitu sahaja meninggalkan darah yang mengotori baju dan anggota tubuhnya. Puteri itu kembali berentap dengan Hasbullah.
   "Kamu lihat kan?" Suara gemersik itu rapat di kuping telinga Ariana membuatkan gadis itu sedikit tersentak. "Kami abadi. Kami takkan mati. Kuasa itu... Tidakkah kau terpesona?" Tawanya kedengaran lagi. Ariana sudah mengerutkan dahinya. Tidak! Itu kuasa syaitan. Jangan merasa takut, Ariana...
   "Itu semua permainan syaitan! Aku takkan tunduk pada yang namanya syaitan. Hanya Allah yang hidup kekal. Kau!" Ariana berpaling serta merta melihat puteri di belakangnya. "Akan jatuh juga..." Ariana bersuara tegas. Matanya sempat menangkap kilauan emas terkalung di leher jinjang puteri itu. Kalung itu lain dari kalung yang dipakai enam puteri yang lain. Malah ada keris hitam tersisip di pinggang puteri itu.
   "Kau akan menyesal." Suara itu mula meninggi. "Dasar manusia bodoh." Puteri itu melompat ke tebing meninggalkan Ariana yang terpinga-pinga. Namun sebentar cuma. Ariana berjaya menghidu rancangan puteri itu untuk menyerang Tuk Pujangga. Setangkas Kilat Ariana mengejar langkah puteri itu. Keris yang dihayun pada Tuk Pujangga menghiris lengan kiri Ariana. Gadis itu menyeringai kesakitan. Belum dia mampu membalas serangan, kaki puteri itu sudah hinggap diperutnya. Penangan yang kuat menyebabkan tubuh Ariana tercampak ke tepi tebing. Saat itu Saifullah muncul dari sungai dengan tubuh yang kuyup dengan air lalu mengambil alih tugas Ariana bagi melindungi Tuk pujangga.
   Ariana bangkit. Mindanya ligat berputar. Dia pusing. Bagaimana mahu menewaskan ketujuh-tujuh puteri itu. Seketika kemudian, ada suara halus dan tidak jelas hinggap di telinganya. Dia melilarkan anak matanya mencari pemilik suara itu, tapi tidak dia ketemu.

.........

   "Ariana...." Ustaz Rahimin menyeru lagi nama itu. Abang man dan yang lain hanya diam memerhati. Ustaz Rahimin kembali membuka kelopak matanya yang sedari tadi terkatup rapat. Matanya redup sekali. "Ariana cedera." Dia memakukan pandangannya pada rakannya, abang Man. "Kita salurkan pertolongan kita setakat yang mampu." Ujar Ustaz Rahimin lagi.
    abang man kelihatan mengangguk perlahan sebelum membentangkan sejadah yang dibawanya ke atas tanah menghadap kiblat. Yang lain turut meniru perbuatan lelaki itu. Mereka juga mahu membantu Ariana setakat yang mereka mampu.
    "Doa! Itu senjata yang paling utama." Ujar abang Man. Ustaz Rahimin mula mengangkat takbir dan mereka memulakan solat sunat mereka di imami oleh ustaz Rahimin dengan ikhlas hati dan khusyuk serta bersama harapan agar Ariana dan Hakim selamat.

.................

   Ariana mengerutkan dahinya. Suara yang menyerunya berhenti begitu sahaja. Ariana menekan lengan kirinya yang luka menggunakan tangan kanannya. Menyeringai wajahnya menahan kesakitan.
   Puteri bertujuh cantik rupawan
   Sayang hati dihasut syaitan
   Jiwa si ibu dirasuk rawan
   Melihat puteri-puterinya tersesat jalan
   Nyawa manusia menjadi korban
   Puteri sulung kunci kemenangan
 
   Ariana berpaling mendengarkan suara syahdu seseorang mengalunkan syair. Dia kenal suara itu. Bulat matanya memandang kehadiran Ratna Seri Dewi dan Sari beberapa meter dari tempat mereka bertempur. Ariana berpaling semula saat dia mendengar jeritan Saifullah. Puteri tadi sudah mencengkam batang leher Saifullah. Kuatnya dia hingga tubuh sasa Saifullah terawang-awang tanpa menjejak bumi. Saat itu juga Sari berlari menghulurkan bantuan. Serangan Sari membuatkan puteri tadi mencampak tubuh Saifullah. Tubuh sasa itu tercampak ke arah Ariana dan kesan dari rempuhan itu membuatkan tubuh kecilnya pula tercampak ke dalam sungai.
    Ariana membuka matanya. Sejuk yang dirasakan menggigit hingga ke tulang hitam. Dia cuba berenang ke permukaan, namun tiba-tiba tubuhnya ditarik pusaran air yang kuat. Dia tidak mampu melawan. Dia meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang pantas dengan harapan dia berjaya naik ke permukaan. Dia dapat rasakan dadanya semakin sesak tanpa udara.
    Keadaan itu seketika cuma. Dia seperti mendengar suara ramai-ramai mendoakan dia. Waktu itu dia merasakan dadanya tidak lagi sesak. Dia berhenti meronta. Matanya tertancap pada sesuatu yang berkilau di dasar sungai. Pusaran air itu berhenti mendadak. Ariana menyelam lebih dalam. Barang yang berkilau tadi dicapai dan dibelek. Keris? Keris berwarna putih. Ketika itu kotak ingatannya tentang keris hitam yang digunakan salah seorang puteri tadi terbuka. 'Hitam lawannya putih!' Hatinya terdetik. Dia berenang ke permukaan. Dengan payahnya dia memanjat ke tebing. Namun, ada sesuatu yang terlintas difikirannya. Lukanya masih berdarah, tetapi sakitnya tidak seteruk tadi. Tangannya yang memegang keris itu dibelek. Dari mana datangnya tenaga yang dia rasakan kini?
    "Ariana!" Jeritan Sari menyedarkan Ariana. Gadis itu tidak menunggu lama untuk menghulurkan bantuannya pada Sari. Kerjasama mereka sangat sempurna tetapi kekuatan puteri itu sukar ditewaskan.
    Tuk Pujangga membuka matanya. Dia dapat mengesan kehadiran keris putih di tangan Ariana. Dia tersenyum penuh makna. Seketika dia bangkit dari duduknya. Telapak tangannya menghala ke arah Ariana, Sari dan Puteri tadi. Tiba-tiba akar-akar kayu keluar dari tanah. Akar-akar itu kelihatan hidup dan menerpa ke arah tujuh-tujuh puteri itu sebelum mengunci pergerakan mereka.
   "Sekarang Ariana! Tuk tidak dapat bertahan lama!" Arah Tuk Pujangga. Ariana mengangguk sekali. Namun belum sempat dia menghunus keris putih itu ke arah lawannya, keris hitam milik puteri tadi terbang sendiri menikam belakangnya. Ariana menyeringai kesakitan. Rasa menyengat di belakang membuat dia hampir putus nafas. Matanya mula berpinar. Tak boleh! Dia harus kuat! Ini sahaja peluang yang tinggal... Tapi kakinya terasa berat mahu melangkah. Dia menangkap suara kuat mentertawakannya.
    Ariana, jangan kalah. Allah ada bersamamu. Jangan jadi lemah. Sekuat tenaga yang tinggal, Ariana melempar keris itu dengan laungan Takbir dan aneh sekali kerana laungan takbir itu juga dilaungkan bukan hanya suaranya tetapi ramai. Keris itu tepat terpacak di dada kiri puteri itu. Nyaring raungannya sebelum akhirnya dia longlai. Ariana memandang puteri-puteri yang lain yang juga longlai dalam cengkaman akar itu dengan pandangan hairan.
   Tubuh ketujuh-tujuh puteri itu mengeluarkan wap berwarna hitam. Tuk Pujangga mendekat lalu membacakan sesuatu. Akar-akar itu bergerak perlahan membawa jasad-jasad itu ke dalam bumi. Segalanya telah selesai....
    Ariana rebah. Kakinya tidak mampu menanggung berat badannya. Sari memapahnya bangun. Sempat Ariana melihat sekilas Ratna Seri Dewi yang berwajah duka. Kain batik yang menutupi kepala Ratna Seri Dewi di tarik perlahan menutupi wajahnya. Mungkin mahu menyembunyikan air matanya. Tubuh itu berpaling sebelum menghilang dari situ. Ariana cuba memanggil tapi dia tidak berdaya. Akhirnya dia longlai begitu sahaja.

.........

    Ariana termenung di pangkin di luar rumah Tuk Pujangga. Dia tersentak saat ada suara menegurnya lembut. "Assalamualaikum...." Ariana berpaling ke kanan. Kelihatan Arjuna berdiri tidak jauh darinya.
   "Waalaikumussalam...." Arjuna meneliti Ariana yang mengenakan kurung putih dan selendang putih. Persalinan penduduk dunia bunian. Dia tersenyum manis.
   "Bagaimana dengan Hakim?" Soalnya berbasa-basi.
   "Sudah semakin sembuh. Mereka akan pulang sebaik Hakim sembuh sepenuhnya dari penangan kuasa hitam. Tak sangka bahawa puteri berkalung dan berkeris hitam itu merupakan puteri sulung. Malah dia memegang nyawa enam puteri yang lain. Pantas sahaja kuasanya luar biasa dan mereka semua tumpas saat Ariana mencabut nyawa puteri sulung itu." Ujar Sari yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu rumah. Dia turun ke tanah lalu duduk di sebelah Ariana. Ariana mengukir senyuman manis. Arjuna mengerutkan dahi. Ada riak tidak selesa di wajah bersihnya.
   "Kau mahu pulang?" Soal Arjuna lagi. Sari menahan tawa. Hanya perkataan pulang itu yang lekat di kotak ingatan pemuda itu. Ariana hanya mengangguk perlahan dengan senyuman nipis di bibir. "Bagaimana dengan aku?" Soal Arjuna lagi. Ariana dan Sari berpandangan. Ariana menunduk. Tahu sangat perasaan pemuda itu padanya. Dia dapat membaca dari renungan lelaki itu.
   "Kau di sini dan aku di sana. Dunia kita berbeza. Kita bukan makhluk yang sama. Aku suka kalau kau ingin menjadi sahabatku tapi untuk menyambut huluran cintamu, sama sekali tidak." Ujar Ariana tegas.
   "Andai sahaja aku manusia...." Keluh Arjuna.
   "Tdak baik mengeluh Arjuna. Masih ramai gadis rupawan di perkampunganmu." Ariana menegur.
   "Tapi, kalau sahaja aku manusia..." Arjuna masih tidak berhenti. Ariana menghela nafas sedalamnya.
   "Ya, mungkin kalau kau manusia, aku akan menjadi hawamu. Tapi ingat Arjuna! Kita berbeza!" Arjuna kelihatan tersenyum lebar. Akhirnya pecah tawanya membuat Ariana dilanda persoalan. Ariana mengalihkan pula pandangannya pada Sari yang hanya tersenyum penuh makna.
   "Suatu hari nanti kau akan faham Ariana." Sampuk Sari sambil menepuk-nepuk perlahan paha adik segurunya itu.

.........

   Saat perpisahan sudah tiba. Ariana melindungi rasa sebak di sebalik senyumannya. Tangan Sari dan Cempaka di genggam erat. Baru dia tahu bahawa Sari dan Cempaka merupakan adik-beradik. Kedua-duanya adalah cucu Tuk Pujangga. Hanya Sari membawa diri berguru dengan Ratna Seri Dewi. Merantau demi ilmu. Itulah takdir kurniaan-Nya. Indah sekali.
   "Mungkinkah kita akan bertemu lagi?" Soal ariana.
   "Andai ada jodoh, pasti kita bertemu lagi." Sari merenung anak mata Ariana. Dia tahu apa yang ada di fikiran gadis itu. "Biarlah guru mengubat hatinya yang lara. Masa akan mengurangkan kesakitannya. Tapi, yakinlah bahawa tiada dendam di sebalik kesedihannya. Dia bersedih layaknya seorang ibu." Sari menguntum senyuman melihat anggukan Ariana. "Silaturrahim yang terbina ini takkan mudah putus. Percayalah..." Ujarnya lagi.
    Ariana mendapatkan Hakim yang sedang bersalaman dengan Tuk Pujangga dan anak-anak murid Tuk Pujangga itu. Mereka berbalas senyuman. Ariana sempat melihat Arjuna yang tersenyum ke arahnya sebelum pandangan mereka dilindungi kabus tebal.

.........

   "Ariana!" Fariha memeluk tubuh Ariana sebaik sahaja gadis itu muncul dari sebalik kabus. Ariana memerhati rakan-rakannya yang masih di tikar sejadah. Kesemuanya bangkit dan mengelilinginya dan Hakim. Gamat kawasan itu dengan pertanyaan tanpa henti dari rakan-rakannya. Selama beberapa hari Ariana dan Hakim di dunia bunian, selama itulah rakan-rakannya kekal di situ berdoa dan terus berdoa.
   "Ariana." Ariana menoleh ke arah abang Man sebaik mendengar namanya dipanggil. Matanya tertancap pada seraut wajah tenang di sebelah abang Man. "Kenalkan. Ini ustaz Rahimin." Ujar abang Man. Ariana mula merasa sesuatu. Dia seperti pernah melihat wajah itu. Seketika dia merenung wajah abang Man dan Ustaz Rahimin silih berganti.
   "Aman? Rahimin?" Kenangan sepuluh tahun lalu mendarat di mindanya. Abang Man dan ustaz Rahimin tersenyum nipis lalu menganggukkan kepala mereka. Mata Ariana melilar pula pada tikar-tikar sejadah yang terbentang menghadap kiblat. "Suara ramai-ramai tu..." Ingatannya beralih pula pada suara-suara takbir yang menemaninya saat dia melemparkan keris putih itu ke arah puteri sulung. Bebola matanya kembali terarah pada dua lelaki itu.
   "Itu suara kami, Ariana." Ustaz Rahimin bersuara. "Mungkin awak tak perasan, tapi sepanjang pertempuran itu, kami turut berjuang di sisi awak. Doalah senjata yang kami bekalkan." Ujarnya lagi. Ariana mengangguk lama. Barulah dia faham dari mana keris putih itu datang dan dari mana tenaga tiba-tiba meresap masuk ke tubuhnya. Pusaran air itu petunjuk dari Allah. Petunjuk yang membawanya ke arah senjata yang dibekalkan rakan-rakannya iaitu doa yang terzahir dalam bentuk sebilah keris putih di dunia sana bagi mengiringinya dalam pertempuran. Betapa besarnya kuasa Allah.

................

    "Mama! Kuih hangus..." Adu Ariana dengan muka cemberut. Artika segera mengangkat kuali yang sudah berasap itu lalu diletakkan ke dalam singki. Hairi yang kebetulan masuk ke dapur ketawa besar melihat kuih karipap yang sudah rentung itu.
    "Anak papa ni goreng karipap ke batang kayu?" Usiknya sebelum ketawanya lepas lagi. Artika turut ketawa.
   "Nasib baik mama ada. Kalau tak, terbakar dapur ni." Ketawa kedua-dua ibu bapanya meletus lagi ditemani hilaian halus dari tepi pintu dapur. Ariana mencerlung ke arah benda yang kelihatan separuh sahaja tubuhnya manakala separuh lagi terlindung di sebalik dinding. Wajah itu ditutupi rambut yang panjang. Ariana sudah memeluk tubuh. 'Kurang ajar punya syaitan. Kau ketawakan aku. Siap kau.' Marah ariana dalam hati sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca potongan ayat al-Quran dan benda itu hilang begitu sahaja bersama jeritan kesakitan.
    Jeritan kesakitan meletus lagi. Tapi kali ini jeritan itu keluar dari mulut Ariana. Kesakitan kerana pipinya dicubit oleh Hairi. "Apa anak dara membebel sorang-sorang." Tegur Hairi dengan nada marah yang dibuat-buat. Ariana mencebik.
   Gurauan mereka terhenti saat mendengar suara orang memberi salam.

..........

   Ariana mengurut dadanya yang dilanda debar. Biar betul?! ada orang masuk meminangnya. Takkan Hakim, sedang dia sudah menolak cinta lelaki itu dengan baik. Dia yang sedari tadi bersembunyi di dapur menjenguk ke ruang tamu. Yang mana satulah yang juling mata sampai masuk meminangnya.
   "Sekodeng siapa tu?" Satu suara berbisik rapat di telinganya membuat gadis itu terlompat dan melatah.
   "Oi mak aku nak kahwin anak raja." Ariana menekup mulutnya. Dia memandang ke kiri. Macam mana boleh melatah macam ni sekali? Kalau kat dapur tak apa juga. Ni habis jadi tontonan tetamu di ruang tamu. Suara ketawa membuat Ariana memandang semula ke hadapan. Bulat matanya melihat lelaki yang sedang ketawa itu. Biar betul? "Arjuna?" Nama itu meniti di bibir merahnya.
   Seorang wanita separuh abad mendekati mereka. Telinga Arjuna yang masih ketawa itu ditarik kuat hingga lelaki itu mengaduh. "Nakal betul dia ni. Pandai menyelinap cari anak dara orang. Jaga adab sedikit." Dia melepaskan telinga Arjuna. Merah telinga lelaki itu. Namun dia masih ketawa kecil.
   Wanita itu menarik pula tangan Ariana. Pipi gadis itu dibelai lembut. "Cantiknya Ariana." Pujian itu membuat Ariana tertunduk malu.
   "Mestilah. Tengok bakal isteri siapa?" Ujar Arjuna. Ariana kembali terpinga-pinga. Apa semua ni?????

........

   Arjuna memeluk pinggang isterinya dari belakang. "Apa ni? Lepas..." Marah Ariana sambil menolak tangan sasa Arjuna. Arjuna ketawa mengekek.
   Dia kembali duduk di meja makan. Geli hatinya melihat Ariana yang sudah berpeluh-peluh cuba menyiapkan gulai ayam yang nampak.... Hmmm.... Tak sedap langsung. Patutnya gulai tu berwarna kuning, macam mana boleh jadi warna coklat?
   "Hah?!" Arjuna tersentak mendengar suara jeritan Ariana. Dia bingkas mendapatkan isterinya yang sebelah tangan memegang senduk, sebelah lagi memegang satu balang.
   "Kenapa sayang?" Soalnya cemas. Ariana sudah membuat muka mahu menangis membuatkan Arjuna bertambah cemas.
   "Serbuk kunyit tertukar dengan serbuk kari." Adu Ariana sambil menunjukkan balang di tangannya dan periuk di dapur. Arjuna tahan ketawa melihat reaksi isterinya itu.
   "Patutlah coklat." Akhirnya pecah ketawanya. Ariana sudah hampir mengetuk kepala suaminya itu dengan senduk di tangannya, tapi Arjuna lebih tangkas mengelak. "Amboi, isteri abang! Ilmu bertempur punya hebat. Sekali ilmu memasak, isyk! Isyk! Isyk..." Usik Arjuna lagi. Dia menarik tangan isterinya setelah menutup api dapur.
    Mereka duduk di meja dapur. Arjuna tersenyum melihat isterinya yang masih mencuka. Telatah ariana yang terkadang manja mencuit hatinya. Sejak dua bulan mereka bergelar suami isteri, berbagai sifat comel dan manja isterinya telah dia lihat.
   "Apa abang ni? Termenung pula. Dekat alam bunian dah ke?" Ariana menepuk bahu suaminya.
   Arjuna ketawa perlahan. Pipi gebu isterinya dikucup. "Terima kasih tunaikan janji sayang untuk jadi Hawa abang andai abang manusia walaupun abang bukan anak raja." Sempat lagi dia mengusik isterinya. Ariana tersenyum sebelum mengerutkan dahinya.
   "Yelah! Mati-mati kena tipu dengan abang. Apasal abang tak beritahu awal-awal yang abang manusia, bukan bunian?"
   "Abang ingat sayang dah tahu. Abang tahu je Ariana manusia." Ariana mencebik.
   "Memanglah abang tahu. Ariana punya pakaian pun lain. Abang? Nampak macam bunian je." Arjuna ketawa lagi.
   "Nak buat macam mana. Abang dah berguru dengan Tuk Pujangga dari kecil lagi. Alam bunian tu dah macam rumah kedua abang. Tu yang abang pun dah jadi macam bunian." Kini giliran Ariana tertawa halus. Mereka punya kisah hidup yang sama tapi tak serupa. Kedua-duanya punya keistimewaan yang sama. Mereka berguru dengan makhluk dari dunia yang sama. Bunian.
   Arjuna mengucup kedua-dua belah mata isterinya. Kerana keistimewaan yang mereka ada, mereka dipertemukan. Arjuna bersyukur seikhlas hatinya. "Sayang... Jom pergi honeymoon." Ariana sudah berlapis dahinya.
   "Mana?"
   "Alam bunian." Mereka berbalas senyuman. Ariana mengangguk. Hingga kini mereka masih berhubung dengan penduduk perkampungan bunian itu. Malah hubungan Ariana dan rakan-rakannya terjalin dengan baik selepas kejadian itu. Termasuk persahabatannya dengan abang Man dan Ustaz Rahimin. Benar kata Sari, silaturrahim yang terbina ini takkan mudah putus. Hubungan yang terjalin melalui mata miliknya dan Arjuna. Jalinan tanpa batas hijab.








  

   

CERPEN : SEMANIS MADU

cerpen : semanis madu

   Suraya terduduk di sofa hitam empuk itu. Dia benar-benar terkejut dengan berita yang disampaikan ayahnya itu. Kahwin? Kepalanya menjadi berat. Kalau dia berkahwin dengan pilihan ayahnya, dimana dia mahu meletakkan kekasih hatinya Irfan. Mungkin mereka tidak pernah merasmikan hubungan mereka sebagai sepasang kekasih. Tapi, dia mengerti benar mata yang bermain bicara. Lelaki itu mengasihinya. Dan dia? Hanya Irfan yang dia harap menjadi imam hidupnya.
   "Ayah... Su sedang menunggu seseorang." Lembut Suraya berbicara. Encik Sufian merenung wajah anak gadis kesayangannya itu. Puan Nursyida memeluk bahu anaknya.
   "Su... Ayah bukan hendak memaksa. Tapi, Rusdi itu kawan baik ayah. Sepuluh tahun persahabatan kami terlalu berharga. Dan dia benar-benar mengharapkan Su menjadi menantu dia." Encik Sufian memeluk tubuh. Dia tersepit antara anak dan rakan. Rusdi itulah sahabatnya dunia akhirat. Entah apa yang membuatkan rakan baiknya itu sehingga merayu padanya demi menjadikan Suraya sebagai menantunya.
   "Tapi, bang. Kan Su dah ada pilihan dia sendiri." Puan Nursyida cuba memujuk suaminya itu. Encik Sufian melepaskan keluhan halus. Dia melabuhkan punggung di sebelah Suraya. Suraya yang diapit kedua-dua ibu bapanya itu diam menunduk.
   "Su anak yang baik. Ayah tahu. Ayah memang tak berguna sebab ayah lukakan hati Su. Tapi, Su tak bolehkah penuhi permintaan ayah ni? Selama ni ayah tak pernah minta apa-apa dari Su. Segala keputusan hidup Su ayah serahkan sepenuhnya pada Su. Tak bolehkah Su cuba memberikan apa yang ayah minta ni? Mana tahu ini sajalah permintaan pertama dan terakhir ayah." Perlahan suara itu menyapa telinga Suraya. Wajah ayahnya dipandang hiba. Hatinya luluh mendengar bicara ayahnya. "Su fikirlah dulu. Ayah terima keputusan Su. Ayah tak akan paksa Su." Encik Sufian bangkit meninggalkan anak dan isterinya di ruang tamu.
   Suraya memandang wajah ibunya. Air mata yang membasahi pipinya disapu dengan telapak tangan ibunya yang terasa sedikit kasar. Mereka berpelukan.

●●●●●

   Suraya termenung melihat jalan tar yang agak sibuk dengan kenderaan yang bersimpang siur. Suasana gamat di warung tepi jalan itu sedikitpun tidak menarik minatnya. Mindanya masih melayang memikirkan permintaan ayahnya di kampung seminggu yang lepas. Selama seminggu itu juga dia tidak berhenti mendirikan solat istikharah dengan harapan Allah memberikan dia hidayah. Agar dia dapat memilih jalan yang tepat. Tapi, hampa. Dia masih belum dapat membuat keputusan.
   "Su... Aku tengok kau lain je semenjak dua menjak ni. Kau okay tak?" Suara Aini, rakan baiknya memanggil fikiran Suraya kembali ke alam nyata. Dia melemparkan senyuman hambar pada Aini, Gadis kecil molek berwajah cina itu.
   "Aku okay. Masalah aku bukan besar sangat pun." Ujar Suraya bersahaja. Yalah tak besar. Kalau tak besar, masakan tidurnya terganggu, seleranya mati, fikirannya kusut.
   "Eh, itu Irfan dengan Syam tu." Suraya tersentak. Seminggu ini dia mengelakkan diri dari jejaka itu. Nampaknya sudah terikat takdirnya untuk bertemu dengan lelaki itu hari ini. Suraya hanya memerhati Aini yang menjemput Irfan dan Syamsul duduk di meja yang sama menjamu selera. Aini beralih tempat duduk ke sebelah Suraya manakala Irfan dan Syamsul mengambil tempat duduk bertentangan dengan mereka.
   "Lama tak jumpa." Ujar Irfan. Matanya bertaut sebentar dengan Suraya sebelum gadis itu mejatuhkankan pandangan.
   "Itulah... Nama sahaja satu pejabat." Sampuk Syamsul. Aini hanya tersengih. Suraya pula sudah serba tidak kena. Dia tahu mata Irfan masih tertancap di wajahnya.
   "Macam ada yang sengaja tak mahu berjumpa." Terus Suraya yang sedang menyedut minuman tersedak mendengar luahan Irfan. Serkap jarang atau lelaki itu memang terasa akan perubahan sikapnya. Aini sudah menggosok-gosok belakang gadis itu sambil mulutnya tidak berhenti membebel.
  
●●●●●

   Mereka berempat beriringan balik ke pejabat. Aini begitu rancak berbual dengan Syamsul. Mereka itu jika diteliti seperti pasangan bercinta. Tetapi Aini berhabis menafikannya. Katanya dia hanya berkawan. Jika mahu bercinta, dia kurang berkenan dengan Syamsul yang agak terkenal dengan sikap kasanovanya. Lelaki itu bukannya bercinta dengan ramai wanita. Tetapi gelaran itu lekat kerana sikapnya yang terlebih ramah.
   Irfan memperlahankan langkah agar seiring dengan Suraya yang agak ketinggalan. "Awak ada masalah ke?" Soal Irfan. Wajah jernih itu ditenung sebelum dia mengalihkan pandangan. Tidak mahu terlalu hanyut dengan rasa cinta buat gadis itu. Batas harus dijaga.
   Suraya diam. Dia harus berterus-terang dengan Irfan. Mana tahu masalah yang memberat di kepalanya sedikit berkurang. "Ayah nak jodohkan saya dengan anak kawan baik dia." Langkah Irfan terhenti mendadak. Dia memandang wajah itu dengan rasa tidak percaya. Suraya turut menghentikan langkahnya.
   "Awak terima?" Soal Irfan lagi. Hatinya berkocak hebat. Janganlah dia kehilangan gadis ini. Dia tidak sanggup. Meski gadis ini bukan kekasihnya, tapi hatinya sudah mengukir nama itu. Diam Suraya menambah lagi gelisah di jiwa. Suraya kembali mengatur langkah membiarkan soalan Irfan berlalu di bawa angin. Dia sendiri masih belum ada jawapan.

●●●●●

   "No, papa! I've already have someone." Bentak Lutfi. Dia mengetap bibir saat mata Encik Rusdi mencerlung ke arahnya.
   "Someone? Siapa? Amelia?" Sinis nada suara Encik Rusdi. Tidak! Hatinya secuit pun tidak berkenan dengan gadis berdarah campur itu. Mata tuanya berbulu melihat penampilan gadis itu yang seksi.
   "Yes, pa! And I love her." Lutfi masih tidak mahu mengalah. Masakan dia mahu dijodohkan dengan anak kawan baik papanya sedangkan hatinya sudah diserahkan kepada Amelia. Sudahlah gadis yang mahu dijodohkan dengannya itu tidak pernah dia temui. Macam mana mahu jumpa jika dari kecil dia tinggal bersama mamanya di London.
   Encik Rusdi mengeluh. Mustahil dia akan biarkan Lutfi bersama gadis seperti itu. Sudahlah iman si Lutfi itu pun turun naik. Disuruh solat pun liat mengalahkan dodol terlebih masak. Nanti kedua-duanya hanyut dengan keduniaan hingga akhirat dilupakan.
   "Suraya tu budak yang baik. Beriman. Pandai menjaga aurat dan diri. Sopan santun. Semua sikap baik ada pada dia." Rusdi cuba memujuk. Moga anaknya ini menerima.
   "Amelia pun boleh berubah. Lutfi boleh bimbing dia." Encik Rusdi sudah tersenyum sinis mendengar bicara anaknya.
   "Bimbing? Awak tu sendiri terumbang-ambing. Solat pun entah ke mana. Ada hati nak membimbing si Amelia tu? Silap hari bulan dengan awak-awak jadi sosial!" Marah Encik Rusdi. Lutfi terdiam. "Sudah! Ini keputusan muktamad papa. NO EXCUSES!" Tekan Encik Rusdi lagi sebelum berlalu meninggalkan Lutfi terpinga-pinga seorang diri di ruang tamu.

●●●●●

   "Kasih ibu membawa ke syurga... Kasih ayah sepanjang masa..." Suraya membaca bait-bait mutiara kata yang dia baca di laman facebook. Dia mengeluh perlahan. Janganlah terlalu ikutkan hati, nanti merana diri. Cinta si ayah mampu memadam cinta si kekasih. Lagipun, kasih antara mereka tak pasti. Apalah yang diharapkan? Kalau telah tertulis Irfan bukan jodohnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan bersatu.
   Suraya memejamkan mata. Kasih yang dipendam bukannya sedikit. Rindu yang ditanggung bukannya ringan. Tapi, dia harus lepaskan. Demi menunaikan hasrat ayahnya. Walau ayahnya tidak pernah memaksa, namun sinar di mata tua itu dia tidak dapat pedulikan.
   Suraya nekad! Keputusan yang dibuat adalah bulat! Demi si ayah, seribu Irfan mahupun sejuta Irfan sanggup dia lupakan.

●●●●●

   Encik Sufian memandang wajah anaknya itu. Dia tahu wajah gembira anaknya itu hanyalah lakonan semata. Namun, terselit rasa bangga seorang ayah di hati bila si anak memilih kasihnya melebihi segala-galanya. Dahi anaknya dikucup lama.
   "Anak ayah dah jadi isteri orang. Jalankan tanggungjawab dengan baik." Suraya mengangguk laju. Sebak yang memalu dada cuba di tahan. Kini wajah menantunya dipandang. "Lutfi jaga anak ayah ni baik-baik. Sekarang amanah ini sudah bertukar tangan menjadi amanah Lutfi." Bahu Lutfi di tepuk lembut.
   "Baik ayah." Ringkas dan mendatar jawapannya. Entah ikhlas entahkan tidak. Namun dia terkedu saat Encik Sufian menariknya ke dalam pelukan. Papanya sendiri sudah lama tidak memeluknya. Apatah lagi mereka sering berselisih pendapat. Pelukan itu turut di balas erat. Ada rasa terharu terbit di hatinya.
   Suraya pula turut memeluk tubuh ibu dan ayahnya. Berat rasanya memikirkan tanggungjawab yang bakal dia pikul sebagai seorang isteri. Dia bukannya tidak tahu bahawa Lutfi turut terpaksa menikahinya. Dia bukannya buta dan bodoh untuk menilai layanan lelaki itu sepanjang kenduri di rumah pihak lelaki.
   "Su..." Aini muncul. Suraya mendapatkan Aini sambil tersenyum manis. "Bestlah kau dah kahwin. Aku juga yang single memanjang." Suraya tertawa. "Kahwin atur sweet tahu? Macam dalam novel." Suraya menarik hidung Aini yang sudah berangan itu. Dia yang kahwin, Aini pula yang melebih-lebih.
   Ketawa mereka bersatu sebelum mereka berpelukan. "Aku balik dulu, ya?" Ujar Aini tersenyum lebar. Suraya mengangguk dan menghantar Aini dengan pandangan mata.
   "Mak dengan ayah pun nak balik." Puan Nursyida menepuk bahu Suraya.
   "Tak nak tidur sini, Pian?" Soal Encik Rusdi yang tiba-tiba muncul.
   "Tak payahlah. Rumah kita kan satu kampung je. Jalan kaki pun boleh sampai." Balas Encik Sufian. Encik Rusdi mengangguk. Mereka berbalas senyuman. Gembira persahabatan yang selama ini mereka jaga kini berakhir sebagai satu keluarga.

●●●●●

   Suraya menutup novel 'Andai itu Takdirnya' karya Siti Rosmizah. Janganlah nasibnya seperti Aliya yang didera Syed Aizril. Tapi, kalau itu yang terjadi dia tidak akan teragak-agak menuntut cerai. Dia bukanlah gadis yang bodoh. Baru Suraya mahu melelapkan mata, pintu bilik itu dikuak. Terjengul wajah masam Lutfi di situ. Dia terus menuju ke katil lalu merebahkan tubuh membelakangi Suraya.
   Suraya yang melihat sudah berkerut keningnya. Takkan masuk-masuk terus tidur? Solat Isya' pun belum ni. Bahu Lutfi disentuh sebelum tangannya di tepis membuatkan Suraya tersentak. Lutfi duduk bersandar di birai katil sebelum merenung tajam wajah Suraya.
   "Perkahwinan ni bukan atas kerelaan aku. Jadi jangan harap aku akan sentuh kau." Marahnya melulu namun suaranya direndahkan. Mungkin takut Encik Rusdi terdengar. "Aku sudah ada seseorang dan aku takkan mengkhianati dia. Dan dia jauh lebih cantik dari kau." Suraya sudah terpinga-pinga. Aik? Sebiji macam dalam novel. "Dan kau..."
   Belum sempat Lutfi menghabiskan kata-katanya, Suraya sudah mengangkat tangan. Telapak tangannya di hala ke arah Lutfi agar lelaki itu berhenti berbicara. Bulat mata lelaki itu memandang wajah Suraya yang nampak seperti menahan tawa. Akhirnya pecah juga tawa gadis itu. Bertambah bulat mata lelaki itu yang sememangnya bulat.
   "Awak... Ayat awak fotokopi novel." Ujar Suraya setelah tawanya sedikit reda. "Kelakar pula rasanya." Ujarnya lagi yang masih dengan sisa tawa.
   Dahi Lutfi sudah berlapis melihat reaksi Suraya. Ada pula gadis ini bantai gelak. Punyalah penat dia menghafal ayat-ayat pedas itu. Hati kayu jiwa batu ke apa? Kalau perempuan normal mesti dah bersedih mendengar kata-katanya.
   "Awak terpaksa kahwin? Okay, check! Awak dah ada awek? Double check! Kalau ada apa-apa lagi awak nak beritahu, saya sudi dengar. Tapi, sekarang ni awak pergi solat Isya' dulu." Arah Suraya sambil membuat isyarat tangan seperti menghalau lagaknya. Lutfi masih ternganga di situ. Gila selamba isterinya ini. Aik? Dah mengaku isteri?
   Melihatkan Lutfi yang masih terkaku di situ, Suraya menampar lembut bahu suaminya itu. "Pergilah... Baik awak sembahyang sebelum saya sembahyangkan awak." Marah Suraya. Marah yang dibuat-buat. Lutfi bagai dipukau, menurut sahaja kata-kata isterinya.

●●●●●

   "Sampai hati you buat I macam ni." Lirih suara Amelia. Air matanya sudah mengalir laju membasahi pipi. Lutfi sudah tidak terkata apa. "You bagi telefon you sekarang!" Arah Amelia. Suaranya kedengaran serak. Lutfi segera menghulur telefon samsung miliknya. "Siapa nama bini you?" Soal Amelia dengan wajah menyinga.
   "Suraya..." Lambat-lambat Lutfi menjawab. Dia melihat jari runcing Amelia lincah bermain di skrin telefon itu sebelum ia dilekapkan di telinganya.
   "Hello? Suraya. I'm Amelia, girlfriend Lutfi. We need to talk." Amelia diam sejenak sebelum bersuara. "Garden Cafe. Right now!" Amelia kemudian mematikan panggilan. Lutfi melopong. Ganas juga aweknya ini.

●●●●●

   Suraya melangkah laju sebaik memarkirkan keretanya berhampiran Garden Cafe. Dia melangkah masuk ke kafe itu. Lega sedikit rasa bahang mentari di luar sebaik pendingin hawa kafe itu menyapa tubuhnya. Dia memanjangkan leher mencari suaminya. Matanya tertancap di satu sudut. Kelihatan suaminya sedang duduk bersama seorang gadis berambut lurus perang membelakanginya. Dia menghela nafas panjang sebelum mendapatkan mereka.
   "Assalamualaikum..." Sapa Suraya. Hanya Lutfi yang menjawab salamnya. Dia mengambil tempat di sebelah Lutfi. Manakala gadis berwajah pan asia itu memandangnya dengan pandangan yang sukar di tafsir.
   Lutfi memegang tengkuk sambil matanya meliar ke seluruh kawasan kafe. Agak penuh juga dengan pelanggan di waktu rehat ini. Janganlah berlaku perang dunia kedua pula di sini. Malu gamaknya.
   Amelia yang sudah bersedia dengan peluru untuk mengeluarkan berdas-das kata-kata pedas pada suraya seperti tertelan kembali tujahan kata-katanya. Dia sendiri tersentak melihat gadis ayu dihadapannya. Mereka bagaikan langit dan bumi. Dia yang memakai dress berwarna krim tanpa lengan digandingkan dengan jeans hitam paras lutut sangat berbeda dengan Suraya yang berjubah ungu pekat dengan tudung labuh ungu muda. Dia jadi malu sendiri. Patutlah Encik Rusdi memilih Suraya sebagai menantunya.
   Lama meja itu sepi tanpa bicara. Lutfi yang memerhati menjadi pelik melihat Amelia yang diam kaku ditempatnya. 'Cat got her tounge or what?' Bisik hati Lutfi. Wajah Amelia yang tadinya seperti naga yang mahu menyembur api kini tinggal asap semata.
   Suraya berdehem seketika menghilangkan rasa kekok. "Amelia... Lutfi ada beritahu tentang Amelia. Saya minta maaf, tapi bukan niat saya untuk lukakan hati Amelia. Tapi, sudah tertulis yang saya sebagai isteri Lutfi Zulkarnain." Lembut suara Suraya meluahkan apa yang dia rasa. Lutfi dan Amelia sama-sama mendiamkan diri. "Semua ini adalah jodoh ketentuan Allah. Kalau ada jodoh antara Amelia dan Lutfi pula, saya tak dapat nak halang."
   Lutfi dan Amelia sama-sama tersentak. Suraya berpura-pura melirik jam di tangannya. "Alamak... Waktu rehat saya dah nak habis. Nanti lambat pula saya masuk pejabat." Suraya bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amelia. Lambat-lambat Amelia menyambut huluran salam itu. Senyuman ikhlas Suraya benar-benar membuatnya terpana. "Nice to meet you." Ujar Suraya ikhlas sebelum tangan Lutfi pula dicium penuh hormat. Niatnya untuk mencium pipi suaminya seperti sebelum berangkat ke tempat kerja terbantut memikirkan Amelia yang masih memerhati.
   Lutfi memerhati isterinya yang semakin menjauh. Isterinya itu tidak ada perasaan cemburukah? Memang betullah gadis itu berhati kayu berjiwa batu. Dia memegang pipi kanannya yang dikucup lembut isterinya pagi tadi. Berkocak juga hati lelakinya. Tapi, melihatkan sikap isterinya itu dia jadi keliru. Ada cinta atau tidak dalam hati Suraya buatnya?

●●●●●

   Suraya sedaya upaya menahan tubuhnya yang menggigil. Bibirnya mengukir senyuman namun terasa sumbing. Baru beberapa hari berkahwin, dia bakal mendapat madu. Hati wanita mana yang tak terluka. Hati isteri mana yang tak tercalar saat kasih suami terpaksa dikongsi. Benar, dia masih dalam proses belajar mengenali dan mencintai suaminya namun mustahil jiwa wanitanya tidak tercuit dengan kejadian tadi. Walaupun tidak terlalu parah namun rasa kecewa itu ada. Rasa kecewa dan takut kerana dia tahu pada siapa hati suaminya. Mampukah Lutfi berlaku adil antara dia dan Amelia sedang cinta Lutfi buat Amelia. Dia tidak mahu bahu suaminya senget di akhirat nanti disebabkan dia. Tapi, dia juga tidak mahu kerana dia suaminya dan Amelia mungkin terperangkap dalam lembah zina. Ah! Susah menjadi isteri bukan pilihan ini.
   "Su, kau kenapa? Rindu suami ke?" Sergah Aini. Suraya berpaling. Riak wajahnya dikawal. Sempat matanya melirik ke arah Irfan yang sibuk berbual dengan beberapa rakan pejabat yang lain berdekatan mejanya. Maklumlah waktu rehat masih berbaki.
   Seketika, Irfan turut membalas renungannya sebelum melarikan pandangan. Hati Suraya dilanda sebak. Kalaulah dahulu dia memilih Irfan, pasti dia tidak terperangkap dalam masalah ini. Astaghfirullahalazim... Hatinya segera beristighfar. Tak guna kau menyesal, Suraya. Keputusan telah dibuat. Dan kau sendiri telah tekad. Sekarang kau tongkah arus itu dengan hati yang tabah. Pasti ada jalan bahagia buat kau.
   Irfan pula? Pandailah dia mencari bahagia sendiri. Jodoh mereka tiada. Tidak akan ada lagi kisah antara Suraya dan Irfan. Hanya Suraya dan Lutfi. Kini dia milik Lutfi. Sepenuhnya....

●●●●●

   "Apa Su cakap ni?" Encik Rusdi terkejut menerima kunjungan mengejut menantunya. Bertambah terkejut saat Suraya menyuarakan hasrat agar dia masuk meminang Amelia buat lutfi.
   "Amelia dan Lutfi saling bercinta, papa." Encik Rusdi melabuhkan punggung di sebelah Suraya. Dia memeluk bahu menantunya itu.
   "Cinta itu boleh dibuang. Lutfi suami Su. Takkan mahu dia kahwin dengan Amelia? Sudahlah pakaian entah apa-apa. Nanti Lutfi terikut dengan sikap Amelia yang terlalu sosial. Lagipun, Su langsung tak cintakan suami su ke sampai Su sanggup menyerahkan dia pada perempuan lain?" Soal Encik Rusdi. Suraya menentang mata itu.
   "Bukan senang nak buang rasa cinta. Lagi di tegah lagi rasa itu kuat. Lagipun, Su bimbang kalau kita tak halalkan hubungan antara mereka, mereka akan terlanjur." Benar. Semakin ditegah itulah semakin mekar bunga cinta itu. Janganlah hingga berlaku zina hendaknya. "Su masih belajar untuk mencintai Lutfi." Tambah Suraya perlahan. Mungkin kerana rasa cinta itu masih belum ada, dia sanggup berkongsi kasih. Malah jika Lutfi menceraikan dia, dia rasa dia tidak akan dihurung kecewa yang melampau. Tapi, bukan bermakna dia memilih penceraian.
   "Tidak! Papa tidak setuju. Nanti apa kata ayah dan mak Su. Apa kata orang kampung? Baru beberapa hari kahwin dah nak kahwin lagi?" Encik Rusdi berpeluk tubuh. Tegas nada suara lelaki tua itu. Ketegasan seorang bekas askar yang tidak akan luntur.
   "Papa... Apa orang nak kata terserahlah. Penat nanti, tutup juga mulut mereka. Ayah dan mak, biar Su yang terangkan. Yang penting sekarang, cara lebih selamat bagi Lutfi dan Amelia adalah pernikahan. Yang penting, apa yang Allah kata. Mungkin selepas mereka nikah, Lutfi dapat ubah Amelia." Encik Rusdi tersenyum sinis.
   "Nak ubah macam mana kalau dia sendiri pun tak jaga iman. Nanti silap haribulan, dua-dua hanyut." Suraya menggelengkan kepalanya.
   "Su ada. Papa ada. Ayah dan mak pun boleh tolong. Kita sama-sama ubah mereka. Lagipun, papa... Su memang takut tak mampu ubah Lutfi sendiri." Lirih suara Suraya.
   Serta-merta Encik Rusdi diserbu rasa bersalah. Dia khilaf menjadikan Suraya menantunya, isteri kepada anaknya yang lalai itu. Suraya sepatutnya mendapat yang lebih baik. Dia terlalu memikirkan nasib anaknya hingga perasaan Suraya, apa yang selayaknya suraya dapat, dia tidak fikirkan.
   "Su tahu, kan. Hidup bermadu ni susah. Jangan nanti Su yang menjeruk rasa." Suara Encik Rusdi kembali kendur.
   "Insyaallah Su redha. Su akan cuba sedaya Su. Tapi, Su perlukan sokongan papa." Suasana kembali hening. Encik Rusdi diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

●●●●●

   Lutfi sudah resah di kamar. Ke mana pula perginya Suraya? Sudah pukul sebelas malam tapi bayang isterinya pun masih tidak kelihatan. Jiwanya dibalut resah dan bimbang. Tak mungkin isterinya itu merajuk dengan hal petang tadi sehingga melarikan diri? Tapi, segala baju dan barang peribadi isterinya masih tersimpan kemas di rumah ini.
   Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta memasuki kawasan rumahnya. Segera dia menjenguk dari bilik tidur tingkat atas itu. Jelas kereta MyVi merah milik isterinya di ruang garaj. Segera dia melangkah keluar dari bilik untuk turun ke ruang tamu.
   Dia membuka pintu utama. Jelas wajah Suraya sedikit tersentak sebelum gadis itu menyalami tangannya seperti biasa dan pipinya turut dikucup lembut. Namun, hatinya yang mendongkol geram masih belum sejuk. Segala kerisauannya bertukar menjadi kemarahan. "Pergi mana, tengah malam baru jumpa jalan balik rumah?" Soal Lutfi.
   Suraya yang baru sahaja melabuhkan punggung di sofa empuk itu terus angkat wajah mendengar nada suara Lutfi yang kedengaran lain. "Saya balik rumah papa. Kan saya dah mesej awak?" Terang Suraya.
   Alamak! Dia mesej ke? Tapi, telefonnya habis bateri. Patutlah... Eh, nanti! Balik rumah papa? Balik pahang? "Awak biar betul? Ulang-alik Pahang sorang-sorang." Lutfi turut duduk di sebelah Suraya. Nada suaranya sedikit tinggi. Suraya diam tidak menjawab. "Lain kali, jangan buat macam ni. Memandu jauh-jauh sorang-sorang. Sampai lewat malam pula tu. Saya tak benarkan. Bahaya!" Bebel Lutfi.
   Suraya tersenyum. Bimbang juga Lutfi akan dirinya. Lengan sasa Lutfi dipeluk lalu kepalanya yang masih dibalut tudung disandarkan di bahu suaminya itu.
   "Ni kenapa pula ni?" Soal Lutfi tidak selesa. Mana nak selesa, tergugat iman...
   Senyuman Suraya makin melebar. "Terima kasih bimbangkan saya. Terharu..." Ucap Suraya sambil ketawa kecil. Lutfi menarik lengannya. Terasa darah menyerbu ke wajahnya dengan tindakan selamba isterinya itu.
   "Tak ada mananya saya nak bimbangkan awak. Sa... Ssa... Saya bimbangkan kereta MyVi tu. Buatnya rosak, kan kesian kereta tu." Ujar Lutfi kalut. Suraya ketawa lagi mendengar jawapan tidak masuk akal suaminya itu.
   'Alahai... Laki aku ni... Comel!'

●●●●●

   Lutfi terkedu. Benarkah apa yang Encik Rusdi sampaikan melalui panggilan telefon tadi? Dia dan Amelia? Lutfi menelan liur. Suraya! Suraya mana? Mana Suraya? Dia mula mencari isterinya.
   Matanya tertancap pada isterinya yang baru keluar dari bilik dan mahu menuruni anak tangga. Dengan langkah terkocoh-kocoh, dia cuba mendapatkan isterinya. Malang tidak berbau. Kakinya tergelincir di hujung tangga. Mujur batang tubuhnya tidak tergolek jatuh ke bawah. Suraya yang melihat kemalangan itu segera mendapatkan suaminya.
   "Ya Allah! Awak... Awak okay tak ni?" Soal Suraya risau. Bertambah kalut dia melihat wajah Lutfi yang menyeringai kesakitan. Dia membantu suaminya bangun. "Awak boleh jalan tak?" Soalnya lagi. Lutfi cuba melangkah namun sakit yang mencucuk membuat dia hampir jatuh terduduk semula. Mujur Suraya lebih cepat menyambut tubuh itu. Akhirnya tubuh kecil Suraya menjadi tempat berpaut. Buat pertama kalinya Lutfi memeluk isterinya itu. "Kita pergi klinik." Aju Suraya. Lutfi pantas menggeleng.
   "Atas... Papah saya sampai bilik." Lutfi sudah memusingkan tubuh isterinya. Suraya terpaksa menurut. Dipapahnya Lutfi dengan berhati-hati hingga ke bilik. Suraya membaringkan atau lebih tepat, mencampakkan tubuh Lutfi yang jauh lebih berat darinya di atas katil. Dengan dia-dia sekali turut tercampak di atas katil dengan wajahnya tersembab ke dada bidang Lutfi. Baru Suraya mahu bangkit dari terus menghempap tubuh Lutfi, pergerakannya terhenti.
   Alamak! Lekat pula. Suraya cuba meleraikan hujung rambut panjangnya yang terlekat si butang baju melayu Lutfi. "Awak... Lekat." Suraya memberitahu dengan harapan Lutfi membantunya. Matanya masih tertancap pada belitan rambutnya di butang baju melayu itu. Namun pergerakan tangannya terhenti bila dia merasa ubun-ubunnya dibelai lembut. Suraya mengangkat wajah. Lutfi sedang merenungnya dengan pandangan yang sukar ditafsir.
   Terasa lengan Suraya ditarik agar gadis itu mengensot ke atas sedikit setara dengan wajah Lutfi. Mujur hanya hujung rambutnya yang terlekat, jika tidak... Mahu tercabut kulit kepalanya. Lutfi mengucup lama dahi isterinya. Segala ingatannya tentang berita yang disampaikan papanya terbang entah ke mana. Yang ada dalam otaknya kini hanya Suraya. Baru bibirnya mahu singgah ke bibir merah Suraya, deringan telefon membantutkan niatnya.
   Lutfi segera mencapai telefon di meja berdekatan kepala katil. Suraya masih kejap dalam pelukannya. Sedikitpun gadis itu tidak berkutik. Kalau diikutkan suraya, memang dia mahu lari jauh-jauh dari Lutfi, tapi rambutnya masih lagi tersekat menyebabkan dia kaku dalam pelukan lutfi. Jantung pula sudah lama berdegup kencang seolah dia baru menamatkan larian pecut 100 meter.

●●●●●

   Lutfi berdengkur halus. Selesa Suraya di dalam pelukannya. Biarlah dia melayari mimpi indah malam itu. Tapi, tidak bagi Suraya. Gadis itu masih berusaha meleraikan belitan rambutnya itu.
   Lutfi terjaga dengan pergerakan Suraya. "Tak boleh lepas lagi ke?" Soal Lutfi separuh mamai. Suraya menggelengkan kepalanya. Lutfi memincingkan matanya yang bulat. Dia pula cuba membuka belitan itu. Susah!
   Lutfi bangkit dari baringnya, begitu juga Suraya. Namun tindakan Lutfi seterusnya benar-benar membuat jantung Suraya mahu melompat keluar dari jasadnya. Masakan tidak, Lutfi dengan bersahaja menanggalkan bajunya dan tinggallah dia dengan hanya berkain pelekat.
   "Dah! Beres..." Jerit Lutfi teruja saat dia berjaya merungkai belitan itu. Senyumannya sedikit mengendur saat merenung wajah isterinya yang merah. Dia tersenyum nakal. Ingatkan kayu sangat isterinya itu. Rupanya tahu malu juga. "Sambung tidur..." Lutfi terus menarik Suraya ke dalam pelukannya. Erat sekali. Tubuh kaku isterinya membuatkan dia geli hati. Tapi, sungguh dia selesa begitu.
   Suraya pula sudah mahu pengsan menahan debaran. Silap haribulan, boleh kena serangan jantung dia dibuatnya. Panas tubuh Lutfi tidak sepanas wajahnya yang sudah rasa seperti terbakar saat ini. Ingatkan Lutfi ini pemalu. Sekali datang angin nakalnya.... isyk! Isyk! Isyk! Malunya!

●●●●●

   Lutfi tersentak saat pintu bilik pejabatnya dibuka dari luar. Terjengul wajah kalut Amelia. Kerja Lutfi terhenti. Dia menepuk dahi. Macam mana dia boleh lupa dengan berita yang papanya sampaikan?
   Amelia mendekat. Tangannya menepuk meja Lutfi. "You! You tahu tak papa you masuk meminang I?" Soalnya agak keras. Wajahnya benar-benar nampak serabut. Lambat-lambat Lutfi mengangguk. Amelia terduduk di kerusi berhadapan Lutfi. "Suraya punya idea, kan?" Lutfi masih mengangguk. "I tak nak bermadu!" Ujarnya tegas.
   "Lia... I pun tak sangka Su bertindak sejauh tu. You tak nak kahwin dengan I, you tolak sahaja." Ujar Lutfi. Sangkanya Amelia sudah membencinya sejak pernikahannya dengan Suraya. Walaupun dia juga kecewa dengan perakhiran cinta mereka, tapi dia tidak boleh berbuat apa-apa.
   "Siapa kata I tak nak kahwin dengan you? I cuma tak nak bermadu." Lutfi tersentak. Sangkaannya meleset. Dia bahagia jika benar kekasih hatinya itu sudi menjadi suri hidupnya, tapi... Jika Amelia tidak ingin bermadu, bermakna dia terpaksa menceraikan Suraya?
   Sanggupkah dia menceraikan isterinya itu sedang segala tanggungjawab Suraya dijalankan dengan sempurna. Suraya isteri yang baik. Dan kerana tunjuk ajar dan ketegasan suraya juga dia sudah menjaga solatnya. Tapi, adakah di mencintai Suraya? Kalau dia tidak cinta, kenapa dia tidak boleh lepaskan isterinya itu?
   "You!" Amelia membentak melihat Lutfi yang hanya diam tanpa bicara. Gayanya seperti orang berkhayal sahaja. Lutfi menelan liur. Dia tidak dapat memberi jawapan...

●●●●●

   Suraya membelek jubah di butik First Lady itu. Banyak sungguh rekaan yang cantik-cantik dan menawan. Tapi, dia ke sini bukan untuk membeli jubah buat dirinya tetapi sebagai hadiah perkahwinan buat Amelia, bakal madunya. Suraya melepaskan keluhan halus. Hatinya dilanda resah. Kenapa waktu ini baru dia merasakan cinta buat suaminya. Hatinya langsung tidak bersimpati dengan tuannya. Kenapa harus mencinta saat Lutfi sudah mahu menjadi suami kepada Amelia? Kenapa hatinya ini seperti sengaja mahu merasa sakit?
   "Itulah kau. Tak ada pasal cari pasal. Sekarang siapa yang dapat sakit? Kau juga." Aini yang dari tadi setia menemaninya sudah mencebik. Suraya tersenyum hambar.
   "Entahlah Aini, aku bukan apa. Tengok dari cara Lutfi dengan Amelia tu pun, aku dah tahu mereka bercinta bagai nak rak. Aku risau kalau mereka tak dinikahkan..." Sengaja Suraya membiarkan ayatnya tergantung. Aini mendekat.
   "Sampai macam tu sekali kau tak percayakan suami kau?" Soalnya. Suraya menjongketkan bahunya. Dia pun bukannya kenal dengan Lutfi itu. Hari perkahwinan mereka merupakan hari mereka berkenalan. Dan malam pertama itu, dia sudah pun diberitahu tentang kewujudan Amelia di hati suaminya. Jadi, apalah daya dia untuk menghalang. Cinta tak boleh dipaksa. "OMG!" Suara Aini mengejutkan Suraya. Suraya merenung wajah Aini yang sedang menjatuhkan pandangan ke satu arah dalam pusat membeli-belah itu. Suraya turut memakukan pandangan ke arah yang sama.
   "OTK!" Kini giliran Suraya pula terkejut. Kelihatan Syamsul bersama seorang gadis sedang memilih baju juga di butik yang sama berhampiran mereka. Gadis manis bertudung itu memeluk mesra lengan sasa Syamsul.
   "OTK?" Soal Aini bodoh. Suraya kembali memandang wajah Aini yang sudah berkerut itu.
   "Oh Tuhanku..." Jawab Suraya sambil tersengih. Aini mencebik. Namun, suraya perasan wajah kelat Aini? Haih... Cemburu ke?
   "Girls... Tak sangka jumpa dekat sini." Syamsul menegur. Suraya dan Aini tersenyum. Cuma senyuman Aini nampak tawar. Hendak tak hendak sahaja dia memandang Syamsul. Dia berpura-pura sibuk membelek baju. Syamsul pula sudah memandang Aini pelik. Biasanya gadis itu mesra.
   "Siapa ni?" Suraya bertanya sopan. Kening Aini sudah terjongket. Hai lah Suraya.... Soalan cepumas ini juga yang kau tanya. Namun dalam diam, dia tetap memasang telinga.
   "Oh... Kenalkan my one and only sister, Syahirah. Panggil dia Syira je." Suraya dan Syahirah bersalaman. Begitu juga Aini. Suraya menahan tawa melihat wajah aini yang tersengih malu. Itulah... Kalau hati dah cinta, dengan adik pun boleh cemburu gila.

●●●●●

   Suraya menonton drama di televisyen namun mindanya sudah terbang melayang entah ke mana. Rumah banglo dua tingkat ini terasa sepi. Mana tidak sepi kalau dia memang sendiri. Si suami sudah pulang ke kampung di Pahang untuk persiapan kahwin. Dia pula memberi alasan tidak dapat cuti dan akan pulang malam sebelum pernikahan Lutfi dan amelia.
   Segala urusan perkahwinan akan dijalankan di rumah Encik Rusdi memandangkan Amelia sebatang kara. Jika difikirkan semula, logik juga suaminya dan bakal madunya itu serasi sekali. Iyalah, mereka sama-sama kekurangan perhatian. Ibu dan bapa Lutfi bercerai manakala ibu dan bapa Amelia telah lama meninggal. Mungkin kesepian yang mereka kongsi membuatkan hati mereka bertambah dekat.
   Suraya... Tabahlah... Jangan kau jatuh. Ini baru permulaannya. Kau yang memulakannya dan kaulah yang harus menanggung pengakhirannya.

●●●●●

   Suraya sudah bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Tak banyak barang yang perlu dia bawa kerana pakaiannya dan keperluannya telah tersedia di rumah ibu bapanya yang sememangnya satu kampung dengan bapa mertuanya. Apa-apa hal, dia boleh ke sana.
   Telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik melihat nama Lutfi terpampang di skrin telefon itu, dia segera menjawab.
   "Balik malam ni ke?" Soal Lutfi di hujung talian sebaik Suraya menjawab salam. Suraya mengiyakan sahaja. Dia pun sudah bersiap. Dia kalau boleh mahu bertolak selepas maghrib.
   "Tunggu sanalah. Biar saya jemput. Bahaya memandu sorang-sorang malam-malam macam ni." Suraya tersenyum. Dalam tidak cinta pun, suaminya itu masih mengambil berat akannya. Namun sikap prihatin itu yang menambah mekar rasa cinta di hatinya buat suaminya dan secara tidak langsung menambah parah luka di hatinya sebagai seorang isteri.
   "Tak payahlah... Petang esok awak nak nikah. Nanti penat. Kalau awak risau, apa kata kalau saya minta Aini temankan?" Suraya cuba menolak.
   "Kalau Aini teman pun, korang berdua sama-sama perempuan. Bahaya!" Aduhai... Lutfi. Risau sangat nampaknya. Sudah cintakah? Dulu pun dia sudah bagai kucing kehilangan anak bila si isteri lambat balik. Bertambah risau bila Suraya mengatakan yang dia berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pahang seorang diri. Apa lagi namanya kalau bukan sayang. Siapa tak sayang isteri, oooiii....
   "Awak ni risau sangat. Sayang oi, saya okaylah. Dulu waktu bujang pun selalu je saya balik seorang. Tak ada apalah." Lutfi diam di hujung talian. Aik? Putus ke? Memang putus! Bukan putus talian, putus nafas mendengar panggilan 'sayang' keluar dari mulut Suraya. "Awak? Hello?" Suraya memanggil.
   "Err... He.. Hello... Oo... Okay." Tergagap-gagap Suara Lutfi. Hai... Ingatkan tak tahu malu. Sebelum ni boleh sahaja peluk Suraya tiap-tiap malam. Ni, dengar 'sayang' terus tertelan lidah sendiri?
   Hisy! Siapa kata okay, dia sendiri pun naik semput bila dadanya berkocak hebat saat Suraya dalam pelukan. Tapi, waktu itu dia pandai kawal. Ini bila dapat serangan mendadak, tu yang jadi kalut tu. Lutfi... Lutfi...

●●●●●

   Di ruang tamu itu, sanak saudara dari belah Encik Rusdi berkumpul. Ibu mertuanya, Katherine turut sama menyertai. Itu adalah kali kedua Suraya bertemu muka dengan ibu mertuanya. Wajahnya yang berketurunan British itu kelihatan ayu sekali meski umurnya sudah memasuki enam puluhan. Patutlah Lutfi begitu kacak. Sepadan dengan Amelia yang juga berdarah campur.
   Katherine mendekati Suraya yang hanya diam memerhati pasangan pengantin baru yang sedang sibuk membuka hadiah-hadiah yang mereka terima. Suraya tersenyum manis. Dia membalas seadanya. Hati wanitanya memahami gelodak yang menantu pertamanya rasai saat ini. Memang dia sudah lama mengenali Amelia dan berkenan dengan gadis itu namun hari pertama melihat Suraya, hatinya terpaut melihat kesopanan gadis itu. Betapa kasih ibu terus tumpah pada menantunya itu.
   Paha Suraya ditepuk perlahan. "Su... Maafkan anak mama kerana lukakan hati Su." Ujar Khaterine berterus-terang.
   "Su okay, ma. Lagipun ini juga cadangan Su." Mereka berdua terdiam. Suraya sempat mengerling bapa mertuanya yang sedang asyik merenung Khaterine. Suraya memperbetul duduknya. "Ma?"
   "Hmm?" Khaterine merenung wajah manis Suraya.
   "Ma rasa masih ada ruang lagi ke untuk papa kembali dalam hidup mama?" Soalan Suraya nyata membuat wajah Khaterine tertunduk malu. Kulitnya yang putih melepak itu memerah. Segan bila isu itu dibangkitkan secara tiba-tiba. Selama ini tiada siapa yang pernah bertanyakan soalan seperti itu padanya termasuk Lutfi. Dia bertambah kalut saat melihat encik Rusdi sudah mendekat sebaik digamit Suraya. Sebaik Encik Rusdi melabuhkan punggung di sebelah Suraya, gadis itu mengulang persoalan yang sama. "Papa rasa masih ada ruang lagi tak untuk terima mama kembali sebagai suri hidup papa?" Encik Rusdi tersentak. Mahu lari, tidak boleh kerana Suraya memegang erat tangan dia dan bekas isterinya.
   "Papa... Papa..." Tidak tahu mahu menjawab apa. Tipulah kalau dia katakan yang cintanya buat Khaterine sudah pudar kerana dari sehari ke sehari, rindunya pada bekas isterinya semakin menggebu. Tapi mereka tidak pernah ada ruang untuk bertemu kerana sebaik habis edah dan urusan hak penjagaan Lutfi, Khaterine membawa diri ke bumi London. Encik Rusdi merenung wajah Khaterine. Pandangan mereka bertaut. "Kenapa kita jadi macam ni?" Soal Encik Rusdi perlahan.
   Khaterine terdiam. Suraya yang melihat kedua-dua mertuanya seperti sudah mahu menyelami hati masing-masing, dia pergi membawa diri ke dapur. Biarlah mereka berbicara berdua. Itu lebih baik. Bukan dia tidak tahu, punca penceraian mereka hanyalah salah faham. Kerana terlalu ikutkan darah panas, penceraian berlaku tanpa rela. Ego menutup rasa cinta.
   Saat Suraya melalui kawasan sanak saudaranya berkumpul di ruang tamu untuk ke dapur, matanya bersatu dengan renungan Lutfi yang redup. Suaminya tersenyum manis khas buatnya. Dia segera melarikan pandangan bila wajahnya terasa berbahang.

●●●●●

   Suraya memerhati kotak leper berbalut indah di sebelahnya di atas katil itu. Kotak ungu itu dipegang lalu disimpan di dalam almari pakaiannya. Niatnya untuk menyampaikan hadiah itu pada madunya ditangguh dulu.
   Sudah pukul dua pagi. Dia cuba melelapkan mata, namun entah mengapa hatinya gelisah. Gelisah kerana suaminya tiada di sisi. Tanpa dia sendiri sangka air matanya mengalir laju membasahi pipinya.
   Bukankah ini juga cadangannya, kenapa hatinya harus terluka? Kenapa jiwanya mesti tercalar. Dan... Kenapa rasa sakit itu terlalu hebat? Suraya bangkit dari pembaringannya. Saat ini, hanya Allah sahaja yang dapat membantunya. Dia melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk dengan sisa sendunya.


●●●●●

   Lutfi termenung menghadap siling. Wajah Amelia yang lena dipandang sekilas. Entah mengapa jiwanya kacau sejak dia melafaskan akad. Dia mengeluh. Rasa bersalah menunjal-nunjal benaknya. Suraya isteri pertamanya, tapi isteri keduanya yang disentuh dahulu. Bukan dia tidak sayang. Malah cinta itu ada buat Suraya, tapi susah untuknya mendekati Suraya. Dia bimbang Suraya menolak. Tambah pula, dia mendapat tahu dari Aini yang isterinya itu pernah menyimpan rasa terhadap rakan sekerjanya sebelum mereka berkahwin.
   Rasa cemburu tiba-tiba membekas di hati. Dia mengeluh. Bukan dia seorang yang terluka dengan perkahwinan ini, Suraya juga pasti memendam rasa. Dia? Dia sendiri akhirnya berjaya memilik Amelia, tapi Suraya terus melayan kecewa.
   Lutfi bangkit perlahan-lahan. Enggan Amelia terjaga. Rasa rindu pada Suraya menggebu. Sudahlah seminggu tidak bertemu muka dengan Suraya sepanjang persiapan kahwinnya kerana Suraya di Kuala Lumpur, dia di pahang. Bila Suraya balik ke Pahang, masing-masing sibuk melayan tetamu dan sanak-saudara. Dia nekad. Dia mahu melihat wajah suraya malam ini.
   Pintu bilik Suraya ditolak perlahan. Sangkanya Suraya sudah lena dibuai mimpi. Sangkaannya meleset saat melihat Suraya sedang berteleku di tikar sejadah. Segala kekacauan di jiwanya serta-merta hilang begitu sahaja. Kepalanya terasa bagai disimbah dengan air batu. Sejuk hatinya...
   Suraya yang bangun untuk menyangkut sejadah dan kain sembahyangnya terkejut melihat Lutfi yang duduk bersahaja di birai katil. "Awak?" Hampir terjerit Suraya kerana terkejut. Matanya digosok berkali-kali. Mana tahu dia sedang bermimpi.
   Lutfi tersenyum manis. Dia menepuk katil di sebelahnya mengarahkan Suraya duduk di situ. Suraya menurut. "Saya nampak awak dengan papa dan mama tadi. Apa yang awak cakap sampai mereka boleh mesra semula?" Soal Lutfi. Suraya menjongketkan bahunya.
   "Tak ada apa. Saya cuma cucuk sikit je, lepas dua-dua masuk perangkap saya tinggal. Saya boleh nampak diorang masih ada simpan perasaan sayang." Ujar Suraya bersungguh-sungguh. Dia sangat berharap dapat melihat kedua-dua mertuanya bersatu semula.
   Senyuman Suraya mati melihat renungan Lutfi yang sudah menujah jauh ke dasar hati. Kalut dia dibuatnya. Akhirnya dia tertunduk menekur lantai. Suraya berdehem seketika. "Aw.. Awak buat apa dekat sini?" Suraya cuba mengawal nada gugupnya.
   "Saja..." Pelukan erat Lutfi yang mendadak membuat Jantung Suraya semakin hilang rentak. Lutfi berbaring membawa tubuh isterinya turut berbaring. Wajah Suraya disembamkan di dadanya. Dia melepaskan keluhan lega... Hilang sedikit rindunya. "Dah biasa peluk awak masa tidur..." Ujar Lutfi perlahan sambil memejamkan matanya.
   "Awak... Mana boleh macam ni. Amelia macam mana?" Marah Suraya meskipun hatinya berbunga saat ini. Rindu yang berkepuk-berkepuk terasa berkurang sedikit.
   "Dia dah tidur. Esok saya masuk balik bilik tu. Dah tidur." Balas lutfi. Suraya diam tidak terkata apa. Dia membalas pelukan Lutfi sebelum terlena sekali.

●●●●●

   Entah berapa kali Lutfi menguap. Memandu jauh malam-malam sebegini memang mencabar. Dia mengerling ke arah Amelia yang sudah tertidur di sebelahnya. Kemudian matanya tertancap pada Suraya yang lena berbaring di kerusi belakang. Kereta MyVi isterinya, Aini sudah bawa pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi.
   Senyuman terukir di bibir teringatkan Suraya yang selamba sahaja membiarkan Amelia duduk di hadapan. Alasannya pada papanya yang kelihatan tidak puas hati itu, ialah dia mahu berbaring selesa di tempat duduk belakang. Nah! Sekarang memang lena dia di tempat duduk yang luas itu.
   Lutfi menguap lagi. "Abang? Mengantuk ke?" Soal Amelia yang baru terjaga. Isteri keduanya itu menggosok matanya.
   "Sikit je." Lutfi mengurut-urut tengkuknya. Amelia terpandangkan Suraya yang selesa tidur di belakang. Tiba-tiba hatinya rasa terbakar. Bukannya dia tidak sedar yang Lutfi menyelinap keluar dari biliknya ke bilik Suraya pada malam pertama mereka. Panas betul hatinya!
   "Abang... Sampai bila kami nak bermadu? Abang memang takkan lepaskan dia ke?" Soalan Amelia nyata membuat Lutfi tidak selesa. Lepaskan? Tidak... Dia tidak sanggup... Dua-duanya dia cinta. "Abang..." Rengus Amelia bila Lutfi diam tanpa jawapan.
   "Honey, don't ask me to do that." Perlahan Lutfi menjawab. Amelia merengus lagi.
   "One day, you'll have to choose!" Bentak Amelia. Dia memalingkan wajah ke luar tingkap lalu memejamkan mata. Lebih baik menyambung tidur dari terus sakit hati dengan Lutfi yang masih enggan memberikan jawapan yang dia mahu.
   Dalam diam, Suraya menyapu air mata yang mengalir lesu di pipinya. Sudahlah perit mendengar panggilan mesra antara mereka yang dia tidak pernah berpeluang mendengarnya. Dia dan Lutfi hanya ber'saya'-'awak' sahaja. Hatinya bertambah terluka mendengar permintaan kejam Amelia dan menjadi semakin parah dengan jawapan Lutfi. 'Awak... Susah sangatkah untuk awak tegaskan yang awak takkan lepaskan saya? Atau awak memang ada niat itu?' Rintih hatinya.
   Lebih kurang setengah jam, Lutfi memberhentikan kereta di bahu jalan. Matanya terlalu mengantuk. Air botol dicapainya lalu diteguk. Dituang sedikit di tapak tangannya sebelum disapu ke wajahnya.
   "Awak dah tak larat sangat ke?" Tegur Suraya di belakang. Lutfi berpaling. Mata merah dan sembab isterinya diperhati. Macam baru lepas menangis... "Kalau tak larat, kita tukar." Suraya sudah keluar dari kereta. Pintu di belah pemandu dibuka. Lutfi terpaksa menurut, takut juga kerana rasa mengantuknya, mereka bertiga hilang nyawa.

●●●●●

    Suraya memandu dengan berhati-hati. Dia sudah biasa memandu malam seperti ini, jadi kemahiran memandunya tidak dapat disangkal. Lutfi pula sudah berdengkur di kerusi belakang. Penat sangat gayanya.
   Amelia terjaga. Terpinga-pinga dia melihat pemandu sudah bertukar orang. "Eh? Where's abang?" Soalnya kalut. Suraya menahan tawa. Comel pula dia melihat madunya ini. Cemburu mana pun, dia tidak dapat menafikan wajah cantik Amelia yang seperti patung itu.
   "Belakang... Tidur." Ringkas jawapannya. Amelia kembali bersandar. Wajah ayu Suraya direnung. Suraya juga ada daya penarik tersendiri. Wajahnya yang lembut dan kulit sawo matangnya yang bersih. Yang paling menarik adalah bibir gadis itu yang terbentuk elok.
   Kruuuk! Suraya terpempan. Dia melirik ke arah Amelia yang tertunduk malu sebelum kembali menjatuhkan pandangan ke jalan. "Lapar?" Soal Suraya. Amelia mencebik. Mestilah lapar. Kalau dia kenyang, takkan perutnya berbunyi kuat. Suraya ketawa kecil. "Dengar-dengar itu, beduk telah berbunyi. Eh, silap! Perut yang berbunyi." Usik Suraya sambil ketawa kecil dengan lagu raya yang dinyanyikannya itu.
   "Su..." Marah Amelia. Mukanya sudah merah menahan malu.
   "Kejap lagi kita lalu KFC. Nanti kita berhenti situ, makan." Cadang Suraya. Amelia diam tidak menjawab.
   "Su... Pasal kita..." Belum habis Amelia berbicara, Suraya sudah menyampuk.
   "Pasal kita, biar Allah yang tentukan. Andai Lutfi rasa yang dia tidak mampu berlaku adil dan mahu melepaskan saya. Insyaallah saya akan cuba terima dengan baik. Tapi, kalau jodoh saya hingga akhir hayat saya adalah Lutfi which I will be really grateful, Amelia kena belajar untuk terima. Kita adalah keluarga sejak Lutfi melafaskan akad." Panjang lebar Suraya berbicara. Amelia terdiam. Dia yang memang selama ini hidup sebatang kara, merasa terharu dengan bicara Suraya. Hatinya terusik dengan perkataan 'keluarga' itu. "Since I'm older than you, you need to call me kakak or kak Su. Mana-mana yang Lia suka." Sambungnya lagi. Amelia masih membisu. "Amelia..." Meleret nada suara Suraya.
   "Yes, kak Su." Jawab Amelia malas. Suraya tersenyum puas.
   Lutfi hanya mendengar perbualan isteri-isterinya. 'Saya tak akan pernah lepaskan awak, Su.' Bisik hatinya.

●●●●●

   Suraya menyedut Lemon Frizz di hadapannya. Dia hanya memerhati Lutfi yang menyuap ayam goreng yang dicubit ke mulut Amelia. Lutfi menyua pula isi ayam ke arahnya namun dia menggeleng perlahan. Tidak selera dia mahu makan malam-malam sebegini. Dia meliarkan mata ke seluruh kawasan restoran KFC yang agak lengang itu. Lama matanya melekat pada seorang pekerja lelaki yang sedang menyapu berhampiran meja mereka. Saat lelaki itu mengangkat wajahnya, Suraya tersenyum gembira. Tepat sekali tekaannya!
   Lutfi sudah mencuka memerhati tingkah Suraya di tambah pula pekerja lelaki itu sudah mendekati mereka.
   "Kak Su! Tak sangka jumpa dekat sini." Lelaki berwajah cina itu menegur. Suraya tersenyum mesra.
   "Itulah... Kerja sini pula?" Soal Suraya. Lelaki itu mengangguk.
   "Cuti sem... Biasalah nak cari duit. Kak Aini tu, kalau bab duit, kedekut! Jawabnya, sinilah tempat saya." Ujarnya. Suraya ketawa kecil. Sempat lelaki itu melirik ke arah Lutfi dan amelia yang sedari tadi diam memerhati.
   Suraya yang menyedari lirikan mata lelaki itu segera memperkenalkan mereka. "Oh! Sorry, lupa nak kenalkan. Ini Lutfi, suami akak. Yang ni pula Amelia, madu akak." Selamba sahaja Suraya memperkenalkan mereka. Lelaki tadi sudah mengangkat kening. Amelia sudah memandang Suraya dengan mata yang bulat. Lutfi pula? Masih memerhati tajam lelaki tadi. Cemburulah tu... "Ni pula Qayyum, adik Aini." Lutfi dan Qayyum bersalaman. Sempat juga mereka berbual sebelum Qayyum meminta diri untuk menyambung kerjanya.

●●●●●

   Langkah Suraya dan Amelia terhenti. Mereka berpaling melihat wajah Lutfi yang berkerut. "Su... Lia... Nak pergi tandas la pula. Tunggu dalam kereta, ya?" Belum sempat mendengar jawapan isteri-isterinya, Lutfi sudah berlari masuk semula ke dalam restoran KFC sambil menekan perut.
   Suraya dan Amelia berjalan beriringan ke kawasan parkir kereta di belakang restoran itu. Namun langkah Amelia terhenti bila Suraya menarik tangannya. Wajahnya berubah pucat saat dia menyedari sebab perlakuan Suraya tadi. Rupanya ada sekumpulan mat-mat motor yang sedang melepak berhampiran kereta mereka. Di tambah kawasan itu yang agak gelap, bimbang mereka diapa-apakan.
   Baru Suraya mahu menarik tangan Amelia masuk semula ke dalam restoran, kumpulan empat orang lelaki tadi sudah berlari melintasi mereka lalu menghadang jalan mereka. Spontan, Suraya menarik Amelia agar berlindung di belakangnya. Tindakannya persis seorang ibu cuba melindungi anak kesayangannya. Amelia memeluk erat tubuh suraya dari belakang. Kedua-dua gadis itu menggigil ketakutan. Suraya ke kiri, mereka ke kiri. Suraya ke kanan, mereka ke kanan. Ketawa mereka begitu menjengkelkan.
   Suraya menjerit bila salah seorang dari mereka sudah menarik tangannya. Dengan kekuatan yang dia ada, dia menolak keempat-empat lelaki itu bagi memberi ruang untuk Amelia melarikan diri. "Lari Lia! Panggil Lutfi!" Arah Suraya. Dalam keadaan cemas itu, Amelia menurut sahaja.
   Tubuh Suraya tersungkur ditolak salah seorang lelaki itu. Dua lelaki sudah memegang tangannya. Seorang menekup mulutnya dan seorang lagi memegang kakinya. Tubuhnya diangkat dan mahu di bawa ke semak berhampiran. 'Ya Allah! Lindungi aku!' Jerit hatinya.

●●●●●

   Qayyum keluar ke belakang restoran bersama dua plastik besar hitam di tangan. Berderau darahnya melihat Suraya yang sedang dikepung empat orang lelaki. Tanpa berfikir panjang, Dia membaling plastik di tangannya mengenai dua lelaki. Dia menyerang mereka. Suraya pula cuba membantu. Keberanian gadis itu jelas mengikut bapanya dan bapa mertuanya yang merupakan bekas askar.
   Suraya mencapai beg tangannya yang tadi tercampak di atas jalan lalu digunakan untuk memukul belakang lelaki yang sedang bertarung dengan Qayyum itu. Meski Qayyum tangkas menangkis serangan, namun untuk melawan tenaga empat lelaki adalah payah. Qayyum tersungkur. Perutnya ditendang. Suraya sudah dipegang oleh salah seorang lelaki itu.
   Dalam waktu yang genting itu, Lutfi dan Amelia muncul bersama beberapa rakan kerja Qayyum. Mereka segera membantu. Suraya menyiku kuat perut lelaki yang memegangnya dari belakang. Sebaik dia terlepas, Amelia menariknya jauh dari lelaki itu. Lutfi sudah mula menyerang.

●●●●●

   Keempat-empat lelaki samseng tadi melarikan diri. Amelia mendapatkan Lutfi yang sudah termengah-mengah itu dengan bibirnya yang pecah dan dahinya yang lebam. Amelia menyapu darah yang mengalir dari celah bibir Lutfi. Suraya yang melihat Amelia telah membantu Lutfi segera mendapatkan Qayyum yang sedang dipapah oleh dua lagi pekerja lelaki tanpa menyedari mata Lutfi yang sudah mencerlung melihatnya.
   "Qayyum... Ya Allah... Macam mana ni?" Suraya sudah panik melihat Qayyum yang sudah separuh sedar itu.
   "Kami bawa dia pergi hospital." Seorang wanita agak gempal berpakaian seperti pengurus bersuara. Dua lelaki yang memapah Qayyum tadi mengangguk.
   "Biar kami bawa." Suraya memandang ke arah Lutfi. "Kami pun kena dapatkan rawatan." Ujarnya lagi. Dua lelaki tadi memapah Qayyum sebelum diletakkan di tempat duduk belakang kereta Honda milik Lutfi. Amelia pula membantu Lutfi duduk di sebelah Qayyum yang masih separuh sedar itu.
   Suraya memandu kereta ke arah hospital yang berdekatan. Telefon bimbitnya diserahkan pada Amelia. "Telefon Aini." Arahnya. Wajahnya jelas dibalut risau. Mana tidak risau. Qayyum sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Tambah pula, suaminya turut tercedera.

●●●●●

   Suraya mengeluarkan bagasi-bagasi di bonet kereta. Lutfi cuba membantu namun Suraya menegah. "Awak baik masuk berehat. Itupun mujur tak kena tinggal dekat wad." Suraya menyentuh lebam di dahi Lutfi. "Sakit ya?" Ujarnya prihatin. Lutfi tersenyum. Dia perasan pipi isterinya itu turut lebam. Tapi, Suraya masih juga bimbangkannya.
   "Awak pun mesti sakit." Pipi Suraya yang lebam itu diusik lembut. Suraya menggelengkan kepalanya. Dia memandang ke arah Amelia yang diam memerhati.
   "Lia hantar Lutfi masuk bilik and make sure dia tidur." Arah Suraya. "And you, Lutfi. Rehat!" Tegas nadanya. Lutfi hanya tersengih. Kalau sudah keluar suara komander Suraya itu, patuh sahaja dia menurut.
   Amelia menarik lengan Lutfi lalu menghilang ke dalam rumah. Suraya menyambung kerjanya. Telefon bimbitnya yang berbunyi membantutkan kerjanya. "Aini? Macam mana dengan Qayyum?" Tanya Suraya kalut.
   "Qayyum okay. Doktor kata esok dah boleh keluar." Suara Aini di hujung talian membuat Suraya menarik nafas lega.
   "I'm so sorry. Sebab aku, Qayyum cedera." Suraya kesal dengan apa yang menimpa qayyum.
   "Lar... Betul pun apa yang Qayyum buat. Kalau dia tak tolong kau, jangan harap dia selamat. Silap haribulan, mati dia dekat tangan aku." Suraya ketawa kecil mendengar gurauan Aini.
   Dia mematikan telefon setelah menjawab salam. Dua beg pakaian diangkut masuk ke dalam rumah. Di pintu rumah dia bertembung dengan Amelia. "Ada beg lagi, Kak Su?"
   "Satu lagi beg." Ujar Suraya. Dia segera mengangkut beg itu ke tingkat atas. Sempat lagi dia berpesan agar Amelia mengunci pintu rumah.

●●●●●

   Amelia mencapai beg berwarna ungu tersebut sebelum menutup bonet kereta. Entah bagaimana pegangannya terlepas. Isi beg itu terkeluar dari beg yang tidak berzip itu. Hati Amelia tertarik pada sebuah kotak ungu sederhana besar yang jatuh dari beg itu. Setelah mengemaskan semula barang-barang yang berterabur, beg tersebut disangkut di bahunya. Kotak hadiah itu masih di tangan.
   Tertera sehelai kertas kuning yang dilekatkan di bucu kotak itu. "Buat Amelia, ikhlas dari kakak." Tulisan itu dibacanya. Rupanya itu hadiah perkahwinannya dari Suraya. Kotak itu dibuka. Terasa panas matanya melihat hadiah itu. Air mata bergenang di kelopak matanya. Sekeping kad yang disertakan dibuka dan dibaca.

Buat Amelia,
Selamat datang ke dalam keluarga kami. Kakak tahu bukan senang hidup bermadu. Iyalah, nak merasa manisnya madu itu, kita harus menahan bisa sengatan lebah. Tapi akak yakin suatu hari nanti kita akan hidup bahagia bersama.
Terus-terang akak katakan, akak tak dapat lari dari rasa cemburu itu. Berkongsi kasih memang membuat kita menjeruk rasa. Tapi, akak ikhlas terima kehadiran Amelia sebaik mendengar akad yang Lutfi lafaskan. Maafkan akak kerana terkadang hati ini sedih melihat kemesraan Amelia dan Lutfi. Tapi, akak janji rasa ini akan akak usir dari hati akak dan kita akan menjadi satu keluarga yang sakinah.
Akak harap hadiah tidak seberapa akak ini, Amelia hargai. Akak harap Amelia menjaga maruah Amelia. Kehormatan Amelia. Jadilah seorang muslimah sejati dan isteri yang pandai menjaga diri. Moga hubungan kita sampai ke syurga.
Tahniah, Amelia atas perkahwinan ini.
Yang Ikhlas,
SURAYA

   Amelia menyentuh jubah krim berhias labuci indah dan tudung sedondon yang terlipat kemas dalam kotak itu dengan tangan yang menggeletar. Sucinya hati Suraya. Sungguh dia tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan padanya sekarang. "Maafkan Lia, kak..." Rintihnya dalam sendu.

●●●●●

   "Masuk." Suraya menutup al-Quran yang sedang dibacanya saat mendengar bunyi ketukan di pintu biliknya. Amelia muncul sebaik pintu berkuak. "Subhanallah..." Meniti zikrullah di bibir Suraya saat melihat amelia di hadapannya. Dalam keadaan lengkap bertelekung, dia mendekati Amelia. Kedua-dua telapak tangannya memegang pipi mulus madunya itu. "Cantiknya Lia..." Pujinya.
   Sungguh Amelia kelihatan anggun dan sopan dalam persalinan jubah yang dia hadiahi. Air mata yang mula mengalir di tubir mata Amelia, Suraya seka. "Kak Su, maafkan Amelia. Terima kasih kerana anggap Amelia seperti keluarga." Ujarnya dalam sendu.
   Suraya menarik rapat tubuh Amelia ke dalam pelukannya. Masing-masing diam melayan rasa. Insyaallah.... Mereka akan menjadi keluarga yang bahagia.

●●●●●

   Lutfi keluar dari biliknya. Ke mana pula Amelia pergi? Langsung tidak masuk bilik setelah keluar untuk membantu Suraya mengangkat barang. Apa tidur di sofa ke? Lutfi menjenguk ruang tamu dari tingkat atas. Kosong...
   Dia bergerak ke arah bilik Suraya. Berkali-kali pintu diketuk namun tiada jawapan. Ceit! Sebelum ini kalau nak masuk, main rempuh saja. Kenapa pula tiba-tiba hari ini terlebih sopan mengetuk pintu?
   Lutfi memulas tombol pintu. Kelihatan Suraya sedang lena tidur mengiring membelakanginya. Dia melangkah mendekati katil. Keningnya terjongket melihat Amelia lena tidur di sebelah isterinya. Patutlah hilang...
   Lutfi menggelengkan kepala dengan senyuman tersungging di bibirnya. Apa guna kahwin dua? Alih-alih bini tidur sama, laki dibiarkan seorang diri dalam bilik. Macam mogok pula. Namun hatinya lega melihat perubahan positif kedua-dua isterinya itu. Alhamdulillah....

●●●●●

   "Abang... malam ni turn kak Su lah!" Amelia menolak tubuh Lutfi keluar dari bilik. Lutfi tersengih. Pandai pula Amelia menasihatinya. Lutfi mengeraskan badan. Tubuh Amelia dipeluk erat.
   "Abang sayang Lia." Amelia tersenyum mendengar bisikan suaminya.
   "Tahu... Tapi, malam ni abang pergi sayang kak Su." Ujar Amelia sambil meleraikan pelukan suaminya. Lutfi mengangguk. Sebelum meninggalkan Amelia, sempat pula dia memagut bibir merah isterinya itu.
   Dia melangkah menuju ke bilik Suraya. Hingga kini dia masih belum bersama Suraya dalam erti kata sebenar suami isteri. Kalau tiba giliran Suraya, seperti biasa dia hanya akan tidur sambil memeluk erat tubuh Suraya. untuk bertindak lebih jauh, dia risau dengan penerimaan isteri pertamanya itu. Iyalah, kalau diikutkan, mereka baru kenal selama dua bulan iaitu sebaya dengan usia perkahwinan mereka. Buatnya Suraya masih tidak bersedia, dia tidak mahu memaksa.
   Dia melangkah masuk ke bilik. Eh? Mana Suraya? "Su..." Lutfi memanggil nama itu. Kedengaran suara Suraya menyahut dari dalam bilik air. Dia terus berbaring selesa di katil.

●●●●●

   Suraya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nak pakai ke tak? Nak pakai ke tak? Lama matanya merenung gaun tidur satin tanpa lengan dan paras lutut berwarna merah hati itu. "Lia... Kenapa buat akak macam ni..." Omelnya sendirian. Ini semua Amelia punya idea. Gila!
   Suraya mencuba gaun itu di tubuhnya. Alamak! Tidak pernah dia memakai baju tidur seseksi ini. Aduhai... Dah tahap seksa ni. Cardigan hitam yang dibawa masuk ke dalam bilik air sekali tadi turut disarung menutup bahunya yang terdedah.
   Dia melangkah keluar dari bilik air. Lutfi yang sedang membaca langsung tidak mengangkat wajahnya. Suraya, apa lagi. Mencicit dia lari sebelum terus dia merebahkan tubuhnya di atas katil lalu menarik selimut menutupi tubuhnya. Lutfi yang agak terkejut melihat Suraya yang tiba-tiba melompat ke atas katil itu memandang pelik. Dia tidak sempat menangkap pakaian yang sedang di pakai Suraya. Bertambah pelik dia melihat Suraya berkelubung dalam selimut.
   "Awak okay tak ni? Sejuk ke?" Soal Lutfi. Suraya hanya mengangguk perlahan. Melihatkan wajah Suraya yang merah membuat dia semakin risau. "Merah muka awak ni. Demam ke?" Tangannya melekat di dahi Suraya. Hmm... Suam-suam kuku. Demam ke tidak? Sudahlah si Suraya ini langsung tidak bersuara. "Bangunlah, makan ubat." Lutfi menarik kuat tangan Suraya.
   Terduduk Suraya dibuatnya. Selimut itu melorot ke pinggang. Mata coklat Lutfi sudah bulat memandang gaun satin berwarna merah hati yang disembunyikan di sebalik cardigan hitam. Lutfi pantas menarik selimut itu. Terserlah betis bunting padi Suraya dek gaun itu yang hanya separas lutut. Sepantas itu juga Suraya menarik selimut itu kembali menutup tubuhnya. Dia hanya menundukkan wajahnya. Kalaulah dia boleh terjun ke luar tingkap, sekarang juga dia buat.
   Ketawa kecil Lutfi menambah bahang di wajah Suraya. Lutfi menyelit rambut yang menutupi wajah Suraya ke belakang telinga. Dagu Suraya dipegang lalu wajah Suraya diangkat menentangnya. Namun Suraya langsung enggan bertentang mata dengannya.
   "Sayang nak goda abang, ya?" Panggilan yang keluar dari bibir Lutfi membuatkan Suraya membulatkan matanya memandang wajah suaminya.
   Sayang? Abang? Oh... Dia berasa seperti di awangan. Zupp! Suraya yang baru mahu terbang tadi jatuh semula ke bumi. Matanya terkebil-kebil. Bibirnya yang masih terasa panas di sentuh? 'He kiss me?' Jantung Suraya sudah berkerja kuat dari biasa. Dia menyentuh bibirnya lama. Bertambah malu dia melihat senyuman nakal di bibir Lutfi.
   "Well... Sayang berjaya." Bisik Lutfi di telinga Suraya sebelum gadis itu dibawa ke dalam pelukannya.

●●●●●
            Lutfi menguis paha Amelia agar isterinya itu mengensot sedikit ke tepi untuk memberi ruang supaya dia dapat melabuhkan punggung. Malangnya Amelia hanya mengeraskan tubuhnya. Tangannya erat memaut lengan Suraya di sebelahnya. Lutfi menarik wajah cemberut. Dua isterinya ini memang tidak sah kalau tidak mengenakan dia walau sehari. “Tepilah sikit, honey. Abang nak duduk tengah.” Rengak Lutfi. Sesekali tangannya menarik bahu Amelia. Suraya sembunyi senyum melihat gelagat suami dan madunya itu. Amelia buat tidak dengar.
            Lutfi bercekak pinggang di hadapan dua wanita itu. Beberapa saat, senyuman nakal terbit di bibirnya. Tanpa amaran, dia melabuhkan punggungnya di atas riba kedua-dua isterinya.
            “Abang!” Jerit Suraya dan Amelia serentak. “Beratlah abang!” Tegur Suraya. Mahu penyek tubuhnya dikenakan Lutfi.
            “Turun!” Marah Amelia pula. Tangannya menolak-nolak belakang Lutfi, namun kini giliran Lutfi pula menyamar sebagai kayu tunggul. Tidak diendahkan isteri-isterinya yang menguit-menguit di belakangnya akibat dilenyak tubuhnya yang agak berat itu. Tulang besilah katakana. “Okay! Okay! I mengaku kalah.” Akhirnya Amelia mengalah. Lutfi kembali berdiri dengan senyuman kemenangan. Amelia mengensot ke tepi sebelum Lutfi duduk di antara Suraya dan Amelia.
            Deringan telefon yang tiba-tiba berbunyi membuat Lutfi berdecit. Baru sahaja dapat duduk, telefon pula menjerit minta dijawab. Mahu tak mahu, Lutfi bangun juga melangkah ke arah telefon rumah.
            Beberapa ketika, Lutfi kembali ke sofa ruang tengah. Suraya mengalih pandangannya yang sedari tadi melekat di kaca televisyen. “Siapa telefon, bang?” Soal Suraya. Hairan pula melihat wajah suaminya yang sudah berubah riak. Lutfi kelihatan… Hmm… Keliru mungkin.
            “Papa. Dia kata dia nak kahwin semula dengan mama.” Ujar Lutfi sebelum senyumannya melebar. Suraya dan Amelia serentak memanjatkan kesyukuran. Alhamdulillah….

Tujuh bulan kemudian....

   "Sayang..." Balik-balik sahaja dari kerja, Lutfi terus menjerit memanggil isteri pertamanya. Amelia yang sedang membuka kasut itu menggeleng melihat sikap suaminya yang seperti anak kecil baru pulang dari sekolah. Sampai-sampai di rumah, sibuk mencari si ibu. Dia dan Lutfi sememangnya pergi dan balik kerja bersama kerana mereka bekerja satu pejabat manakala Suraya yang berlainan tempat kerja menaiki MyVi merah miliknya sendiri. Selama tujuh bulan ini, mereka bagaikan keluarga yang bahagia.
   "Abang ni... Kak Su mana balik lagi. Nampak tu, mana ada kereta dia." Lutfi menjenguk semula ke luar rumah. Dia tersengih saat menyedari kebenaran kata-kata Amelia.
   "Tak perasanlah, honey..." Ujar Lutfi manja. Kepalanya sudah mengendeng di bahu Amelia yang sedang berehat di sofa. Mulalah tu...
   "Hmm... Tahu sangat dah. Nak air kan? Sejuk ke panas?" Lutfi tersengih.
   "Sejuk..." Amelia segera bangkit menuju ke dapur. Sedang dia membancuh air, kedengaran bunyi enjin kereta memasuki halaman. Dia menjengukkan kepalanya dari dapur. Kelihatan Suraya baru muncul di muka pintu.
   Beberapa minit kemudian, terjengul wajah penat Suraya di dapur. Pucat sahaja... "Akak nak air juga? Amelia buatkan." Suraya mengangguk perlahan. Memang tubuhnya terasa lemah akhir-akhir ini. Tapi, dia buat tidak peduli. Tak perlu dimanjakan sangat diri, lama-lama hilang juga sakitnya.
   Bunyi gelas pecah dilantai membuat Suraya yang sedang membaringkan kepala di meja makan tersentak. Bertambah terkejut melihat Amelia yang sudah terbaring di lantai mozek tidak sedarkan diri.
   "Lia!" Suraya segera mendapatkan Amelia. Bahu madunya digoncang. Tiada reaksi. "Abang!" Suraya menjerit pula memanggil Lutfi.
   Lutfi bergegas ke dapur sebaik mendengar bunyi gelas pecah dan jeritan Suraya. Terasa mahu tercabut tangkai jantungnya melihat Amelia sudah terkulai di lantai dapur. Segera dipangku kepala isteri keduanya itu sambil pipi mulus itu ditepuk lembut. "Honey..." Panggilnya. Melihatkan Amelia yang langsung tidak bergerak, dia menjadi panik. Tubuh itu dicempung.
   "Sayang! Ambil kunci kereta." Arah Lutfi. Amelia segera menurut. Kunci keretanya yang memang dia letak di meja dapur dicapai. Dia membuntuti Lutfi. Namun, tiba di ruang tamu, kepalanya menjadi berat. Imej Lutfi dan Amelia yang berada dalam dukungan Lutfi menjadi berbalam-balam.
   "Sayang! Cepat!" Suara itu sempat menerebos pendengarannya sebelum tubuhnya rebah menyembah bumi.

●●●●●

   "Sayang! Cepat!" Lutfi menyarung sandal. Dia berpaling saat merasakan tiada jawapan dari Suraya. Saat itu juga dia melihat Suraya jatuh terkulai di belakang Sofa. Pecah pembuluh darahnya. Dua-dua isterinya pengsan? Haru! Memang haru!
   Lutfi berpatah balik ke dalam rumah. Tubuh longlai Amelia dibaringkan di sofa sebelum dia mendapatkan Suraya. Deru nafas Suraya yang lemah dan wajahnya yang pucat membuat Lutfi semakin cemas. Keadaan Suraya kelihatan lebih teruk.
   Dia jadi hilang punca. Suraya dan Amelia masih begitu. Dia menaeik nafas. Tidak guna dia terus-terusan di situ. Isteri-isterinya harus dibawa ke hospital. Tangannya pantas mencapai kunci kereta berdekatan tangan Suraya. Baru tubuh Suraya mahu di cempung suara Amelia menghentikan pergerakannya.
   "Abang..." Panggil Amelia. Kepalanya yang masih pusing dipicit perlahan. Matanya yang layu menjadi bulat melihat Suraya yang terbaring lemah. Segera dia bangun mendekati suaminya dan madunya. "Ya Allah... Kak Su!"
   "Alhamdulillah Amelia dah sedar. Jom kita pergi hospital." Amelia mengangguk pantas. Dia segera mengikut langkah Lutfi yang sedang mencempung tubuh Suraya.

●●●●●

   Suraya dan Amelia sama-sama diperiksa. Suraya yang masih tidak sedarkan diri dibiar berehat di katil. Lutfi dan Amelia sudah duduk berhadapan dengan doktor. Doktor lelaki itu tersenyum ke arah mereka.
   "Tahniah Encik Lutfi, Puan Amelia hamil empat minggu." Berita yang dikhabarkan oleh doktor muda itu disambut dengan wajah ceria dan ucapan syukur dari pasangan itu. Namun senyuman Lutfi mengendur semula.
   "Macam mana dengan Suraya pula, doktor?" Serta-merta wajah doktor itu berkerut sebaik mendengar soalan Lutfi. Amelia turut mempamerkan wajah risau.
   "Tentang Puan Suraya...." Meleret ayat doktor tersebut... Wajahnya muram sekali. Lutfi dan Amelia menjadi tidak sabar. Masing-sudah merasa seperti hendak menangis. Janganlah apa-apa perkara buruk terjadi pada Suraya. Itulah doa mereka. Doktor itu melepaskan keluhan panjang.
   "Apa dia, Mir? Terus-terang dengan aku." Punyalah cemas Lutfi hingga nama doktor itu disebutnya. Oh... Rupanya Doktor Amir merupakan kawan baiknya.
   "Suraya.... Dia pun mengandung juga." Doktor Amir tersengih lebar berjaya mengenakan rakannya. "Dasyat kau, Lutfi. Dua-dua sekali mengandung kau kerjakan." Usik Doktor Amir sebelum ketawa besar. Amelia tertunduk malu. Manakala Lutfi masih terkaku dengan mulut yang melopong luas. "Cuma alahan si Suraya tu teruk sikit. Tak apa, ni ubatnya. Kau ambil dekat kaunter nanti. Doktor Amir mencoretkab sesuatu di kertas kuning atas mejanya sebelum dihulur kepada Lutfi. "Encik Lutfi!" Panggil Doktor Amir sedikit kuat.
   Lutfi tersentak. Dia tersengih. "Aku dapat dua anak sekaligus..." Ujarnya teruja. Suraya yang baru sedar, duduk tersenyum di atas katil. Sudah rezeki mereka.
   Bahagia itu ada jika kita pandai mencarinya. Jodoh... Tiada siapa yang tahu siapa yang akan masuk ke dalam hidup kita esok lusa. Lihat sahaja Aini... Akhirnya bersatu juga dengan Syamsul. Itu kisah mereka yang tersendiri.
   Dia bertukar pandang dengan Amelia. Masing-masing tersenyum bahagia. Jodoh itu ketentuan Allah. Tiada kuasa lain yang mampu mengubahnya. Jangan pernah merasa takdir itu suatu yang kejam kerana hikmah di sebaliknya lebih besar dari yang dijangka. Dalam pahit itu akan datang manisnya. Tidak semua kehidupan bermadu menyeksa jiwa. Andai hati itu redha, kebahagian dalam genggaman. Ujian dan duri yang dilalui membawa kita kepada akhir yang lebih bermakna. Tiada lagi pahit hempedu. Yang tinggal, semanis-manis madu...