cerpen: MATA
'Cahaya.' Tangan
kecil itu dihulur ke luar jendela. Sesekali tangan itu bergerak-gerak menikmati
cahaya matahari petang. Terasa kehangatan sinaran mentari. Bibir merah gadis
kecil itu mengukir senyuman.
"Ariana."
Lembut Artika memanggil nama anak gadisnya. Mata comel itu bulat memandangnya.
Ariana tersenyum sebelum berlari-lari anak ke arahnya. Ariana anaknya yang
berumur sepuluh tahun. Satu-satunya anak miliknya dan Hairi, suaminya. Pipi
gebu Ariana diusap lembut. "Jom keluar makan." Ajak Artika. Ariana
mengangguk laju lalu berlari ke almari merah jambu bercorak hello kitty itu
bagi menukar baju. Artika tersenyum sebelum berlalu keluar dari bilik tidur
sederhana besar itu.
Satu demi satu
pakaian yang disangkut itu dibelek. Pergerakan tangannya yang ligat menolak
pakaian ke dinding almari terhenti. Matanya tertancap pada satu tubuh kecil
yang bercangkung menghadapnya dalam almari itu. Tubuh kanak-kanak lelaki yang
kelihatan sebaya dengannya itu kelihatan agak kebiruan. Ariana memandang tajam
budak itu yang hanya menunduk tidak menampakkan wajahnya.
"Pergi! Aku
tak kacau kau! Jangan kacau aku!" Marah Ariana dengan nada keras.
"Aku tak takutlah!" Ujar Ariana lagi saat telinganya menangkap bunyi
ketawa kecil. Perlahan dan menyeramkan. Seketika kemudian tubuh itu hilang dari
pandangan. Ariana menarik nafas lega.
Dia menyarung blaus
hijau muda ke tubuh kecilnya. Baru dia hendak melangkah keluar dari biliknya,
langkahnya mati. Telinganya menangkap bunyi ketawa kecil itu lagi. Tanpa menoleh
ke belakang, Ariana bersuara. "Suka hati kau lah. Jangan fikir aku nak
layan." Habis sahaja bicaranya, dia melangkah keluar.
.........
Ariana termenung di
tempat duduknya. Kebingitan rakan-rakan sekelasnya bermain tidak sedikitpun
menarik minatnya untuk menyertai mereka. Matanya hanya terarah di satu tempat
iaitu sudut di tepi pintu. Gadis kecil itu menongkat dagunya dengan sebelah
tangan. Tidak berkelip matanya melihat sudut itu sejak guru subjek matematik
meninggalkan kelas tahun 4 mawar itu.
Sehelai kapal
terbang kertas jatuh betul-betul di atas mejanya. Ariana langsung tidak
mempedulikan Aman, rakan sekelasnya itu yang semakin mampir dengannya. Tangan
kecil Aman mencapai kapal terbang kertas yang sengaja dia baling ke arah
Ariana.
Aman memandang
sekilas wajah comel Ariana sebelum matanya terarah ke sudut yang sedari tadi
menerima panahan mata Ariana. "Hantu mana pula yang kau nampak duduk dekat
situ?" Soalan Aman mengalih perhatian Ariana. Ariana hanya diam tanpa
jawapan. Dia memandang wajah Amar dengan pandangan yang sukar ditafsir.
"Aman...
Jomlah. Takut aku tengok dia pandang macam tu. Nanti tak pasal-pasal kau kena
kejar dengan hantu dia." Rahimin, rakan Aman sudah menarik-narik tangan
Aman dengan wajah yang dibayangi kerisauan. Aman menarik semula tangannya.
"Apa nak
takut? Kau percaya sangatlah yang dia boleh nampak hantu... Dia ni sebenarnya
gila. Takkan kau tak ingat, mak saudara dia tu pun gila. Penyakit
keturunan." Sindir Aman. Rakan-rakan sekelas yang lain sudah tertawa
kecuali Ariana dan Rahimin.
Ariana bingkas dari
duduknya. Dia berhadapan dengan Aman yang telah mati tawanya. Matanya
mencerlung tajam ke arah Aman yang mula kelihatan pucat. Dia terus berlalu dari
situ. Bahunya sengaja dilaga kuat dengan bahu Aman. Dari luar kelas dia dapat
mendengar suara rakan-rakan sekelasnya menggelarnya gila. Suara yang paling
kuat sekali adalah suara Aman.
..........
Ariana melepaskan
keluhan perlahan. Rambutnya yang semakin panjang itu disisir dengan jari
sebelum diikat satu. Matanya kembali merenung syiling. Kejadian dia dibuli
sepuluh tahun yang lalu masih segar diingatan. Dia dibuli hanya kerana dia
menceritakan kelebihannya yang bisa melihat melangkaui hijab. Ariana melepaskan
keluhan panjang. Meski dia sudah menjejak menara gading, mentaliti
rakan-rakannya masih seperti budak sekolah rendah. Dia masih lagi disisih
kerana sikapnya yang sesekali terlihat pelik.
Cermin bulat kecil
yang diletakkan di atas meja di capai. Dia menilik wajahnya dicermin itu sambil
menyapu krim malam. Pergerakan tangannya terhenti saat matanya menangkap
kelibat sesuatu berdiri membelakanginya di cermin itu. Baju putih labuh itu di
cemari darah. Rambut benda itu mengurai hingga ke punggung. Mata Ariana beralih
pula ke tangan kotor benda itu yang dihiasi kuku yang cukup tajam dan berwarna
hitam
Ariana meletakkan
cermin itu dengan kasar di atas meja. Dia berpaling sambil membuat wajah tidak
puas hatinya. Waktu itu juga pintu biliknya terbuka. Terjengul wajah rakan
sebiliknya Fariha. Ariana berpaling semula. Tidak jadi dia hendak mengherdik
benda itu. Dia yakin Fariha tidak dapat melihat benda itu. Dia tidak mahu
Fariha berasa takut. Lagipun Fariha satu-satunya rakan yang tidak pernah cuba
menjauhkan diri darinya hanya kerana sikapnya yang terkadang bisa menaikkan
bulu roma orang di sekelilingnya.
Ariana hanya
memerhati gerak laku Fariha yang meletakkan bungkusan di tangan ke atas meja
belajar bersebelahan dia tanpa berminat untuk menegur. Ariana menyambung
kerjanya menyapu krim malam di mukanya yang tergendala tadi.
"Ari..."
Suara Fariha membuat Ariana berpaling. Dia memandang tanpa perasaan. Fariha
hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat sikap dingin Ariana, tapi dia tahu
hati gadis itu baik.Fariha mendekat lalu menghulurkan sekeping kertas padanya.
Ariana menyambut. Lama matanya tertumpu pada kertas hebahan itu. Program
'Jungle Tracking'....
"Apa-apa
ajelah." Ujar Ariana sambil mencampak kertas itu ke atas meja Fariha
semula. Dia bangkit lalu merebahkan diri di atas katil empuk itu. Seketika kemudian
dia berbisik perlahan agar tidak didengari Fariha. "Kau pergi! Tak payah
nak tercongok dekat sini. Aku tak takut." Bayang yang baru tadi
bertinggung di hujung katilnya hilang begitu sahaja. Ariana terus melelapkan
matanya.
...........
Ariana menepuk
nyamuk di lengannya. Peluh yang merecik di dahi di lap dengan hujung tudung.
Matanya meliar ke sekeliling kawasan hutan itu. Beberapa rakan sekuliahnya
masing-masing tenggelam dalam aktiviti mereka. Ada yang sedang memasak air, ada
yang merehatkan tubuh yang kepenatan setelah seharian meredah hutan. Dia?
Seperti biasa duduk menyendiri melayan perasaan.
"Jom semua...
Berkumpul dekat unggun api ni." Suara prof Johan menerobos pendengaran
Ariana. Gadis itu melangkah malas. Sebaik melabuhkan punggung, rakan di kiri
dan kanannya menjauhkan sedikit diri mereka. Ariana membuat muka tidak
berperasaannya. Sudah selalu sangat dia dipencilkan. Bukan setakat itu sahaja,
malah ada yang menggelarnya gilalah, perempuan sihirlah. Gelaran itu lekat
kerana sikapnya juga. Kalau dia merenung tajam seseorang dengan lama,
berkemungkinan besar orang itu dirasuk. Ada yang pengsan, tidak kurang juga
yang menjerit histeria. Alih-alih dia yang dituduh menyihir orang. Apa yang
mereka tahu? Yang dia renung bukan calon-calon mangsa rasukan itu, tetapi yang
direnung 'benda' yang mendampingi mereka.
"Kita nak
mulakan aktiviti malam ni dengan... " Meleret suara prof Johan
mendatangkan saspens dalam diri semua yang ada. "Cerita hantu!" Jelas
suaranya teruja. Ariana tahu mata-mata rakan sekuliahnya terhala ke arahnya.
Ah! Apa dia peduli.
"Prof... Saya
tak nak lah join. Saya ni lemah semangat." Ariana memandang ke sebelah
kanannya. Ada getar pada suara Alissa.
"Betul Prof...
Apa-apa jadi susah. Kita kan tengah hutan ni." Doktor Asnizam yang sedari
tadi hanya diam turut menyuarakan pendapatnya pada rakan sekerjanya. Keluhan
panjang dilepaskan dari bibir prof Johan. Kecewa ideanya tidak diterima.
"Habis tu,
kita nak buat apa?" Suara prof Johan sudah tidak seceria tadi. Seorang
lelaki tiba-tiba bangun membuat semua mata tertumpu ke arahnya kecuali Ariana
yang hanya menekur tanah. Semakin bosan pastinya.
"Kita
menyanyi." Ujar Hakim ceria. Beberapa rakan kuliahnya sudah bersorak.
Majoriti bersetuju dengan cadangan lelaki tadi. Apa lagi, lelaki tinggi lampai
itu segera bergerak ke khemahnya. Beberapa minit kemudian dia muncul bersama
sebuah gitar.
"Larat kau
angkut gitar redah hutan." Tegur seorang rakannya yang agak berisi. Hakim
hanya tersengih mendengar komen Arman itu.
Bunyi indah hasil
petikan Hakim mengalun melodi seiring indahnya dengan simfoni semulajadi alam.
Kesemuanya tertegun dengan bakat yang ditonjolkan Hakim terutamanya
gadis-gadis. Ariana pula. Hmm... Masih memandang sepi. Harmoni sekali suara
mereka menyanyikan lagu 'Kau Ilhamku'.
Ariana langsung
tidak berminat untuk menyertai mereka. Setelah memaksa dirinya lebih kurang
setengah jam tercongok di situ seperti patung cendana mendengar alunan suara
rakan-rakannya, Ariana akhirnya angkat punggung. Dia bergerak menuju ke khemah
miliknya yang dikongsi bersama Alissa dan Salbiah tanpa menyedari mata Hakim
yang memerhati tingkahnya dengan rasa hampa. Hampa kerana gadis kesayangannya
itu tidak menunjukkan sebarang minat terhadapnya.
..........
Hakim melangkah
keluar dari khemahnya sambil menggosok matanya berkali-kali. Eryl yang
memintanya menemaninya membuang air sudah menarik-narik baju Hakim yang masih
mamai. Hakim hanya mampu mengeluh dengan sikap Eryl yang penakut itu.
Eryl menghilang ke
dalam semak berhampiran sungai manakala Hakim yang menunggu sudah bertinggung
di tebing sungai. Sesekali kepalanya tersengguk menahan rasa mengantuk yang
semakin kuat.
'Ooooo....
Ooooo....' Mata Hakim yang tadinya layu menjadi bulat. Dia mengamati suara
gemersik yang menyapa telinganya. Dup! Dup! Dup! Dia dapat mendengar bunyi
jantungnya sendiri. Tidak salah lagi! Itu adalah suara merdu beberapa gadis
yang menyanyikan irama melankolik yang dia belum pernah dengari. Suara gemersik
itu sungguh indah kedengaran di halwa telinganya ditambah pula bunyi sungai
mengalir yang seolah menjadi alat muzik alam menemani suara-suara itu. Hakim
terpesona.
Dia mula melangkah
menyusuri tebing sungai itu, mahu mencari arah datangnya suara-suara itu.
Sampai sahaja Hakim di kawasan air terjun, dia bagai dipukau. Di bawah sinaran
purnama penuh, dia menyaksikan tujuh orang gadis berdiri di atas batu-batuan di
tengah sungai sambil mengalunkan lenggok tubuh dan tangan dengan gemalai
mengikuti rentak nyanyian mereka. Pakaian mereka kelihatan seperti pakaian
puteri jawa yang berhias indah sekali. Hanya, mereka membelakanginya. Hakim
terus-terusan memerhati. Dia benar-benar terpukau.
Lelaki itu juga
melangkah lebih dekat dan.... Prakk! Bunyi ranting dipijak menghentikan
suara-suara itu mendadak. Pergerakan gadis-gadis itu turut terhenti. Hakim pula
bagai terjaga dari mimpi yang panjang. Dia menelan liur. Peluh sejuk membasahi
tubuhnya. Jantungnya sudah bergerak tidak sekata. Dia tahu apa yang di depan
matanya kini. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat kursi sambil hatinya tidak
berhenti berdoa agar gadis-gadis di depannya itu tidak berpaling. Ikutkan logik
akalnya, dia sudah mahu membuka langkah seribu tapi tubuhnya seolah-olah
melawan kehendaknya. Akhirnya...
Zap! Ketujuh-tujuh
gadis itu berpaling serentak. Hakim dapat melihat jelas wajah mereka yang
terlalu buruk dan membengis di hadapannya. Tanpa amaran, tubuhnya rebah
menyembah bumi.
..................
Kepala Ariana
terteleng ke kiri dan kanan. Keningnya berkerut seribu seolah sedang mengalami
mimpi yang maha dasyat. Selepas beberapa ketika, mata gadis itu terbuka luas.
Nafasnya menderu laju. Bibir nipisnya yang mula kelihatan pucat melafaskan
kalimah suci Allah berulang kali. Dia bangkit dari pembaringannya setelah detak
kencang jantungnya beransur reda. Peluh di dahinya di seka. Keningnya bertaut.
Apa maksud mimpinya sebentar tadi? Mainan tidur atau Hakim benar-benar
mengalaminya. Siapa tujuh puteri berpakaian jawa itu? Minda Ariana ligat
mencari jawapan namun hanya sebentar cuma. Dia terganggu mendengar bunyi bising
di luar khemahnya. Segera dia mencapai tudung hitamnya yang di bentang menutupi
beg galasnya lalu disarung ke kepala sebelum menjenguk keadaan di luar khemah.
Tapak perkhemahan
itu gempar dengan kehilangan Hakim. Eryl sudah menangis risau akan nasib
kawannya. Sangkanya, Hakim sengaja meninggalkan dia dan pulang ke khemah dahulu
untuk mempermainkannya namun sangkaannya meleset dengan ketiadaan Hakim.
"Kita kena
cari dia." Cadang Doktor Asnizam. Wajahnya turut telakar kecemasan.
"Tak
boleh." Satu suara garau mencelah. Semua yang berada di situ menjatuhkan
pandangan ke atas lelaki bertubuh sasa itu. "Sekarang ini tengah malam.
Kita kena tunggu esok baru kita mulakan pencarian. Esok juga kita boleh minta
bantuan." Tenang sahaja nada suara itu.
"Tapi, Abang
Man..." Doktor Asnizam masih mahu membantah namun bahunya diramas lembut
oleh prof Johan.
"Abang Man
lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Kita ikut sahaja. Sekarang ni kita berdoa
agar Hakim selamat." Ujar prof Johan. Ada keluhan berat dari bibirnya. Dia
juga dirempuh kerisauan, namun dia harus percayakan pemandu arah mereka, Abang
Man. Dia lebih berpengalaman.
Baru sahaja situasi
mahu reda, kedengaran suara jeritan nyaring seorang gadis. Alissa rebah setelah
itu. Keadaan menjadi hingar-bingar semula. Ariana pula sudah mencerlung matanya
melihat apa yang orang lain tidak mampu melihat.
Baru abang Man mahu
mendapatkan Alissa, Sherlis yang berdiri berhampiran Arman pula ketawa
mengilai. Arman dan rakan-rakan berhampiran terus menjarakkan diri melihat
perubahan Sherlis. Rambutnya yang panjang menambah ketakutan mereka.
Suara hilaian
Sherlis yang awalnya perlahan menjadi semakin lantang. Mereka yang berada di
tapak perkhemahan itu sudah berkumpul. Abang Man terkumat-kamit membaca ayat
kursi, namun saat Sherlis mengajuk bacaan abang Man dengan suara mengejek,
mereka semakin dihimpit ketakutan. Masing-masing pucat wajahnya. Berdiri bulu
roma mereka saat Sherlis sudah merangkak di tanah cuba mendekati mereka. Tapak
perkhemahan itu bingit dengan jeritan.
Sherlis yang
merangkak semakin hampir dengan Fariha membuat gadis itu menjerit ketakutan.
Pipinya sudah basah dengan air mata. Kelam-kabut mereka dibuatnya. Namun Ariana
yang tiba-tiba berdiri dihadapan Fariha menghadap Sherlis yang masih merangkak
seperti kanak-kanak yang tidak reti berjalan itu membuat keadaan kembali
senyap. Mereka menumpukan pandangan pada dua gadis itu.
Yang anehnya,
Ariana tidak menunduk memandang Sherlis di tanah, terapi matanya lurus
menentang sesuatu yang tidak mereka nampak turut berdiri menentang gadis itu.
"Kau nak
apa?" Soal Ariana dengan suara tenang. Terdengar hilaian suara Sherlis.
Tidak! Itu bukan suara Sherlis sebaliknya suara itu kedengaran seperti suara
nenek tua. Agak lama Ariana terdiam. "Kau fikir aku bodoh?" Ujar
Ariana dengan nada yang sedikit dikeraskan. Abang Man yang mulanya memerhati
mendekati Ariana. Dia berdiri di belakang gadis itu bagi menyokongnya. Dia kini
mengerti dan dapat melihat kelebihan Ariana.
"Jangan sangka
aku takut." Sindir Ariana tiba-tiba. Cara Ariana bercakap seolah ada
perbualan yang tidak kedengaran dari pihak yang satu lagi. Ariana tiba-tiba
berpaling ke arah abang Man dan semua yang sudah berlindung di belakangnya.
"Iblis ni nak tunjukkan diri dia. Aku nak kau orang bersedia. Jangan
sesekali tumbang. Aku tak nak dia rasa yang ada antara kita yang takut."
Ujar Ariana. Sebentar kemudian, gadis itu membisikkan sesuatu di telinga abang
Man yang kemudiannya berlalu mendapatkan semua yang berada di belakang.
...............
Seketika kemudian,
semua rakan-rakan sekuliah Ariana termasuk pensyarah-pensyarahnya sudah duduk
dalam bulatan mengelilingi Ariana dan Sherlis. Mata Sherlis meliar melihat satu
persatu wajah takut itu. "Apa yang kau pandang? Tunaikan apa yang kau
cakap tadi." Arah Ariana tenang.
Sebaik habis bicara
Ariana angin mula bertiup kencang seperti mahu ribut. Dedaun gugur ditampar
angin kencang. Cuaca yang mendadak berubah membuat semua yang berada di situ
jadi semakin cemas. Tapi, bagi Ariana dan abang Man perkara seperti ini sudah
dijangka.
Dalam keributan
itu, muncul satu makhluk yang sangat menyeramkan terapung di atas Sherlis yang
masih bercangkung di situ. Dia menyeringai ke arah Ariana menampakkan barisan
giginya yang tajam. Ada dua taring di bahagian rahang bawahnya. Matanya yang
memerah seolah terjojol keluar melawan renungan tajam Ariana. Kepala dan
tubuhnya ditutupi bulu hitam yang lebat.
Saat itu juga bau
yang begitu memualkan menyucuk lubang hidung semua yang menyaksikan kewujudan
makhluk ngeri itu. Ada antara rakannya yang rebah tidak sedarkan diri, ada yang
termuntah malah ada yang sudah kaku tidak mampu bereaksi kerana ketakutan.
Waktu itu juga
Ariana memberi isyarat kepada abang Man. Abang Man yang memahami, melaungkan
azan sekuat mungkin supaya suaranya tidak tenggelam dibawa angin kencang. Arman
yang pada mulanya terpinga-pinga turut melaungkan azan diikuti beberapa
mahasiswa lain. Rakan-rakan perempuan Ariana pula mula menggagahkan diri
berzikir pada Allah. Segala-galanya berjalan mengikut arahan Ariana.
Ternyata laungan
azan dan alunan zikrullah itu menyeksa makhluk tersebut. Kedengaran raungan
kesakitan yang cukup nyaring keluar dari mulut makhluk itu yang terbuka luas.
Ariana tidak bertangguh lagi, dia tunduk lalu mengambil segenggam tanah yang
masih basah disirami embun malam. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
"Auzubikalimatillahitammatiminsyarrimakhalak... Allahuakbar!"
Serentak itu, tangannya membaling kasar tanah di tangannya ke tubuh lembaga
itu. Diiringi jeritan yang menggegar hutan itu, makhluk itu memudar dari
pandangan. Angin yang bertiup kencang sebentar tadi semakin reda meninggalkan
tiupan bayu malam yang lembut menampar pipi. Sherlis terkulai di atas tanah
dengan nafas yang lemah.
Ariana melepaskan
keluhan lega. Hatinya mensyukuri kejayaannya dalam pertempuran tadi dengan izin
Allah.
...........
Nafas Ariana
terhenti tiba-tiba. Dia menoleh ke sekeliling arah seperti mencari sesuatu.
Rakan-rakannya yang lain sudah tidak senang duduk melihat perlakuan Ariana.
Bimbang berlaku pertempuran dasyat seperti tadi.
"Ari... Ada
apa?" Fariha memberanikan diri bertanya dengan teman sebiliknya itu.
Ariana diam buat beberapa ketika sebelum bersuara.
"Tuan rumah
datang menjenguk." Kata-kata Ariana mengundang kerutan di wajah semua
kecuali abang Man meski dia tidak mempunyai keistimewaan seperti Ariana.
Sebentar kemudian,
kelihatan kepulan asap putih berarak dari celahan pepohon hutan. Dari kepulan
asap itu keluar seorang lelaki tua tetapi bertubuh tegap sambil memegang
tongkat kayu. Di bahagian pemegang kayu itu terukir kalimah Allah yang
memancarkan warna keemasan. Ariana menarik nafas lega. Lega kerana makhluk ini
juga islam sepertinya. Ariana memerhati lelaki tua itu. Seraut wajah tua itu
kelihatan tenang dihiasi jambang yang panjang beruban. Serban dan jubah serba
putih yang membaluti tubuh lelaki itu berkibar ditiup angin yang Ariana tidak
rasai. Mungkin angin didunia mereka.
Ariana menundukkan
sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. "Assalamualaikum tuk." Ariana
membuka bicara. Fariha yang berdiri di sebelah Ariana sudah pucat. Apa lagi
yang Ariana nampak yang mereka tidak dapat melihat dengan mata kasar. Dia
menggoncangkan tubuh Ariana perlahan namun Ariana hanya memandang sekilas ke
arahnya.
"Waalaikumussalam, cu." Balas suara itu tenang. Lelaki tua itu
merenung wajah-wajah yang berada di sisi Ariana satu persatu sebelum matanya
dipejamkan dan mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang jelas. Kemudian bibir
tua itu dimuncungkan seolah meniup ke arah mereka. Sebaik lelaki tua itu
membuka matanya, semua yang ada di situ tersentak. Kini mereka melihat apa yang
Ariana lihat. Mereka semakin merapat sesama sendiri melihat wujud yang muncul
entah dari mana.
"Assalamualaikum, tuk." Ujar abang Man pula setelah bayangan
telus wajah itu jelas di matanya.
"Waalaikumussalam..." Lelaki tua itu berjeda. "Panggil
hamba Tuk Pujangga. Tuk adalah ketua di kampung bunian ini. Kampung yang tidak
terlihat di mata kalian sepertimana kalian yang tidak terwujud di mata penduduk
tuk kerana hijab yang Allah S.W.T tabirkan antara kita." Ariana
mengangguk. Mata Tuk Pujangga terarah pada Ariana. "Namun ada antara kamu
yang punya anugerah. Bisa melangkau tabir hijab sepertimana tuk." Ariana
tersenyum mendengarnya.
"Mungkin ini
anugerah. Namun mungkin juga ini ketidaksempurnaan. Kerana ini bukan fitrah
asal kejadian." Perkataan Ariana berjaya membawa senyuman di bibir Tuk
Pujangga.
"Kamu bijak
bermadah bicara, cucu." Puji Tuk Pujangga.
"Puji-pujian
hanya bagi Allah. Apa yang terfikir di akal ini dan yang terlafaz di bibir ini
semuanya kurniaan Allah." Lembut suara Ariana merendah diri.
Rakan-rakannya yang lain sudah memandang kagum ke arahnya. Adakah ini Ariana
yang sama? Gaya percakapannya berubah. "Tuk... Maaf cucu bertanya. Adakah
tuk tahu di mana Hakim, sahabat kami?" Soal Ariana.
"Itu jugalah
yang membawa tuk kemari. Tuk melangkaui hijab ke duniamu kerana sahabatmu itu
telah melangkaui hijab ke dunia tuk. Puteri ratna bertujuh yang telah
membawanya." Kata-kata Tuk Pujangga jelas membuat Ariana merasa gelisah.
"Puteri ratna
bertujuh? Bukankah mereka dari kalangan tuk yang punya kuasa hitam? Saya pernah
mendengarnya dari guru saya, Ratna Seri Dewi. Ibu mereka." Ariana
terbayang wajah Ratna Seri Dewi yang bercahaya. Itulah kali pertama dia bertemu
makhluk lain yang seindah ciptaan. Kelembutan yang ditunjukkan telah membantu
diri Ariana memanfaatkan kelebihan yang dia ada sebaiknya. Kelebihan matanya
yang wujud sejak dari lahir lagi. Kelebihan yang semakin diasah berikutan
peredaran masa.
"Benar, mereka
tersasar kerana sikap haloba mereka. Menginginkan kecantikan abadi dan kuasa
yang tiada tertanding." Ariana sudah menghela nafas sedalamnya.
"Apa tujuan
mereka membawa Hakim?" Walau Ariana sudah mengetahui jawapannya, dia tetap
menggagahkan diri bertanya.
"Sebagai
korban pemujaan mereka."
"Saya akan
berentap dengan mereka." Ariana sudah melurutkan pelukan Fariha di
lengannya. "Mulai saat ini, akan ku jadikan nyawa Hakim di bawah
tanggungjawabku. Amanahku!" Selesai kata-kata itu, Ariana berlari laju ke
arah kabus dan tidak semena-mena batang tubuhnya hilang ditelan kabus yang
semakin pekat.
"Ada darah
srikandi sepertimana Ratna Dewi." Tuk Pujangga bersuara sebelum kelibatnya
juga hilang dari situ.
Fariha sudah
melorot di tanah dengan esakan yang pecah. Yang lain-lain seperti masih terkedu
memandang kehilangan Ariana. Bagaimana mereka mahu membantu? Akhirnya
masing-masing dirudum duka. Hanya di hati tidak habis berdoa untuk keselamatan
dua sahabat mereka.
...........
Ariana melangkah
laju. Setiap langkah kakinya diiringi alunan zikrullah. Meski sekelilingnya
gelap pekat, di hatinya tetap tiada walau sekelumit rasa takut. Dia terus
melangkah dan melangkah. Perjalannya terasa seperti tiada penghujungnya. Dia
kini seperti si buta. Tiada cahaya yang menerangi jalannya.
"Cucu..."
Ariana menangkap suara Tuk Pujangga. Dia berpaling mengikut arah suara itu.
Saat itu dia melihat pancaran cahaya putih seperti membentuk satu lorong.
Dengan lafaz basmallah, Ariana melangkah ke arah cahaya itu.
Ariana menutup
matanya. Kedua-dua tangannya menutup cahaya yang terlampau menyilaukan.
Seketika kemudian, Ariana membuka semula matanya. Terbentang satu perkampungan
di hadapan matanya. Perkampungan itu persis perkampungan yang jauh jarak
zamannya. Kesemua penduduk di situ memakai baju serba putih. Yang lelaki
memakai jubah dan yang perempuan memakai kurung dan di kepala mereka tersangkut
selendang putih bersih menutupi aurat selayaknya.
Ariana berpaling ke
kanannya saat menyedari kehadiran Tuk Pujangga. "Tuk... Di mana saya boleh
cari Ha..." Belum sempat Ariana menghabiskan kata-katanya, Tuk Pujangga
mencelah terlebih dahulu.
"Mari ke rumah
tuk dahulu. Akan kita selesaikan bersama. ulah ini dimulakan dari kaum tuk
sendiri. Tuk turut memikul amanahnya." Ariana mengangguk. Dia membontoti
langkah Tuk Pujangga. Selama ini Ariana belum pernah melangkaui hijab dengan
jasadnya. Hanya matanya yang berjalan jauh memerhati kehidupan di alam lain. Dia
dapat rasakan perbezaan berada di alam ini. Tubuhnya terasa ringan dan
bertenaga.
Sepanjang
perjalanan, Ariana amati suasana perkampungan bunian itu. Penduduk kampung itu
rata-rata merenung Ariana dengan wajah yang berkerut. Kehairanan mungkin dengan
kedatangan manusia. Tambah pula dengan cara Ariana berpakaian. Dia hanya
mengenakan seluar track adidas berwarna biru gelap dan baju t-shirt hitam
berlengan panjang serta tudung bawal yang juga berwarna hitam.
Tidak semena-mena
langkah Ariana dihalang seorang pemuda bertubuh sasa. Tersentak Ariana
dibuatnya hingga gadis itu terundur selangkah ke belakang. Tuk Pujangga yang
awalnya berjalan di hadapan berpatah balik mendapatkan mereka.
Ariana mengerutkan
kening melihat lelaki itu yang langsung tidak mengangkat wajahnya. Tuk Pujangga
menghampiri mereka lalu memegang bahu pemuda tersebut. "Apa tujuanmu
Hasbullah?" Soal Tuk Pujangga.
Lelaki muda itu
mengangkat wajahnya berbalas pandang dengan Tuk Pujangga. Ariana hanya diam
memerhati. "Tuk membawa ancaman ke perkampungan kita." Lembut
suaranya namun bernada tegas.
"Dia bukan
ancaman. Ancaman datang dari kaum kita sendiri." Tuk Pujangga memandang
Ariana sekilas. "Manusia ini ke sini atas kehendak takdir. Dia kini
amanahku." Sambung Tuk Pujangga. Terdengar keluhan halus dari bibir lelaki
itu. Saat itu Ariana mengerti lelaki itu tidak menyenangi kehadirannya di dunia
ini. "Tidak baik mengeluh, Hasbullah... Nanti selepas isyak, datang ke
rumahku. Assalamualaikum." Tuk Pujangga memberi isyarat pada Ariana untuk
mengekorinya.
"Waalaikumussalam." Ariana sempat menangkap suara pemuda itu
sebelum berlalu.
.............
Cempaka, cucu Tuk
Pujangga duduk bersimpuh di sebelah Ariana. "Jemputlah minum." Sopan
dan lembut sekali tingkah Cempaka. Ariana membalas senyuman manis gadis jelita
itu seadanya. Hatinya masih risau memikirkan keadaan Hakim.
Tuk Pujangga bangun
dari duduknya menuju ke luar rumah setelah mendengar salam. Ariana turut
bangkit. Dia mengintai dari sebalik dinding berdekatan pintu utama. Cempaka
turut mengekorinya.
"Hasbullah itu
elok rupanya, bukan?" Ariana berpaling saat mendengar suara Cempaka di
belakangnya. Ariana hanya tersenyum hambar. Dia sebenarnya tidak berminat
dengan bicara Cempaka.
Ariana kembali
menjatuhkan pandangannya ke laman rumah yang menjadi kawasan perbualan Tuk
Pujangga, Hasbullah dan enam pemuda lagi. Dia dapat menangkap butir bicara
mereka dengan jelas.
"Bertempur
dengan puteri Ratna bertujuh? Kita tidak punya kekuatan, tuk." Bantah
seorang lelaki yang agak tinggi lampai. Juga bertubuh sasa. Jika diperhatikan,
kesemua pemuda itu mempunyai raut wajah yang kacak dan tubuh yang sasa.
"Barangkali
kau takut, ya Megat?" Usik pemuda yang berdiri di sebelah Megat. Megat
kelihatan tersenyum.
"Mengapa perlu
aku takut pada mereka. Aku hanya menyatakan kebenaran. Jangan kau lupa apa yang
diajarkan pada kita. Takut itu hanya pada Allah." Terang Megat.
"Bagaimanapun,
Puteri Ratna bertujuh telah melanggar peraturan. Mereka sudah melampaui batas.
Ulah mereka telah mendatangkan kesusahan pada manusia. Kita harus membantu apa
yang termampu." Tuk Pujangga berpaling. Ariana yang sedang mencuri dengar
agak terkejut melihat pandangan Tuk Pujangga terarah padanya. Dia memberanikan
diri turun dari rumah papan beratap nipah itu dan menyertai mereka di laman.
Entah bagaimana
mata Ariana bertaut lama dengan pemuda yang berdiri di sebelah Megat tadi.
Ariana hanya memandang kosong tapi riak wajah pemuda itu sukar ditafsir. Ariana
segera mengalihkan pandangannya pada Tuk Pujangga namun melalui ekor matanya,
dia tahu pemuda itu masih memerhatinya.
"Arjuna, jaga
pandanganmu." Tegur satu suara. Ariana kenal suara itu. Pemiliknya adalah
Hasbullah.
'Oh... Nama dia
Arjuna.' Bisik hati Ariana. "Namaku Ariana. Aku datang ke mari untuk
menuntut semula sahabatku." Ariana berhenti berbicara saat ada suara garau
yang mencelah.
"Hebat sungguh
kamu wahai kaum hawa. Tahukah kamu apa yang kamu tempah dengan ke mari?"
Sinis sekali nadanya. "Janganlah kamu cuba menjadi ketua, kami laki-laki
jauh lebih layak darimu. Tahulah kamu di mana layaknya kamu." Suara itu
menyindir lagi.
"Aku tahu. Aku
perempuan yang lemah. Tapi tidak bermakna aku tidak bisa berjuang. Jangan kamu
lupa dalam kelembutanku ada ketegasan. Tangan yang menghayun buaian bisa
menggegar dunia." Bantah Ariana dengan tegas membuat pemuda tadi terdiam.
Arjuna menyinggung siku pemuda tadi.
"Sudah kelukah
lidahmu yang petah itu setelah bicaramu dipatahkan kaum hawa ini,
Mikhail?" Arjuna kemudiannya tertawa kecil berjaya mengusik rakannya itu.
Tuk Pujangga sudah
menggelengkan kepalanya. Senyuman kecil menguntum di bibir. "Kamu masih
dengan kenakalanmu, Arjuna." Rumus Tuk Pujangga. Dia kemudiannya berbalas
pandang dengan Ariana. "Cucu, tujuh pemuda ini merupakan anak didikku yang
paling aku percaya. Tuk kenalkan dari kanan, Hasbullah, Megat, Arjuna, Mikhail,
Luqman, Saifullah dan Firdaus." Ariana mengangguk perlahan. "Mereka
akan menemanimu. Mereka juga sudah cukup bersedia untuk berentap dengan Puteri
Ratna bertujuh. Tuk juga akan membantu apa terdaya." Ariana sudah berkerut
keningnya.
"Tuk... Saya
ke mari dengan satu niat. Membawa pulang sahabat saya. Selagi saya mampu
elakkan pertempuran, saya..." Belum sempat Ariana menghabiskan bicara, Tuk
Pujangga sudah mencelah.
"Pertempuran ini telah Tuk jangka. Kamu
tidak akan dapat mengelak lagi. Tuk yakin gurumu ada menitipkan pesan padamu
samada kamu sedar ataupun tidak." Ariana memerah otaknya.
Keningnya sedikit
terangkat mengingatkan kata-kata akhir Ratna Seri Dewi sebelum menghilang dari
hidupnya. 'Ingat Ariana... Takdir Allah itu sangat teliti. Takdir kita terikat
kemas. Ariana pula mempunyai takdir besar yang menanti. Saat itu tiba, maka
berserahlah sepenuhnya pada Allah.' Ariana sudah mengetap bibirnya. 'Inikah takdir
aku yang Ratna Seri Dewi maksudkan?' Getus hati kecilnya.
..........
"Min! Mujur
kau sampai juga." Abang Man segera mendapatkan Ustaz Rahimin yang baru
tiba di tapak perkhemahan.
"Ya, sebaik
dapat pesanan Man, aku terus berkejar ke sini. Apa yang dah berlaku?" Soal
Ustaz Rahimin sambil melilar matanya memerhati wajah muram mereka yang berada
di situ.
"Terlalu
panjang untuk diceritakan. Tapi, yang penting sekarang dua ahli sudah hilang ke
dunia lain. Dunia bunian..." Ujar abang Man. Dia memerhati riak tenang di
wajah Ustaz Rahimin yang sedikit pun tidak berkocak. "Yang hilang adalah
Hakim dan.... Ariana." Perlahan suara abang Man. Ustaz Rahimin tersentak.
"Ariana?"
Dia menelan liur. "Kau pasti Aman?" Kejutan yang diterima membuat
ustaz Rahimin menyebut nama penuh abang Man. Lelaki itu kelihatan mengangguk.
"Subhanallah... Inilah takdir Allah." Ustaz Rahimin memuji Allah.
Peristiwa sepuluh tahun lalu menjengah mindanya dan Aman atau dikenali abang
Man. "Dia kenal kau, Man?" Soal Ustaz Rahimin lagi. Kali ni Aman
menggeleng. Mungkin kerana panggilan orang sekeliling tidak kira lapisan umur
menggelarkan dia sebagai abang Man yang membuatkan gadis itu tidak mengenalinya
atau mungkin dia sudah tiada dalam kotak ingatan gadis itu.
"Kita
mulakan." Ustaz Rahimin menepuk lembut bahu rakannya. Abang Man pantas
mengangguk. Mereka tiada masa untuk dibuang.
...........
Ariana mengintai
dari sebalik pohon hutan. Matanya diarah pada sungai yang mengalir deras. Saat
itu dia menangkap kelibat sekujur tubuh terbaring di atas batu sungai besar
betul-betul di tengah sungai berdekatan air terjun. Suram malam menyebabkan
Ariana sukar untuk mengecam pemilik tubuh itu.
"Megat, aku ke
sana." Ariana berbisik perlahan pada Megat yang berada di sebelahnya.
"Jangan! Biar
aku dan Saifullah yang ke sana." Tegah Megat. Ariana terdiam sejenak
sebelum akhirnya mengangguk.
Ariana memerhati
Megat dan Saifullah yang melangkah laju ke tebing sungai. Langkah mereka ringan
dan sukar didengari. Kagum Ariana melihat kebolehan mereka. Seketika kemudian
Megat dan Saifullah melompat tinggi dan terus mendarat di batu besar itu.
Melopong juga Ariana melihatnya. Masakan tidak, sekali lihat kedua-dua pemuda
itu kelihatan seperti terbang.
Megat dan Saifullah
sudah memapah tubuh itu, namun belum sempat tubuh itu dibawa ke tebing, bagai
ada sesuatu menyerang mereka lebih pantas dari kilat. Gedebush! Tahu-tahu
sahaja, Saifullah sudah tercampak ke dalam sungai.
"Subhanallah!" Suara Hasbullah dan rakan-rakannya yang juga
diam memerhati memalu gegendang telinga Ariana. Dia sendiri terkedu melihat
serangan mendadak itu. Belum pun sempat Ariana bertindak, Hasbullah dan
rakan-rakannya yang lain sudah berkejar ke batu itu bagi membantu Megat. Tuk
Pujangga sudah bersila di tebing sambil memejamkan mata. Berlawan secara batin
mungkin.
Ariana melihat
jelas pertarungan sengit di hadapan matanya. Enam gadis sudah menyerang enam
pemuda itu. Namun mereka tidak mudah dikalahkan. Setiap seorang bijak menangkis
setiap serangan. Mereka kelihatan setanding.
Ariana berlari
mendekati sungai. Dia berdiri berdekatan tebing. Hatinya ragu melihatkan jarak
antara tebing itu dengan batu besar yang masih menampung tubuh longlai yang
dijumpai mereka tadi. Matanya melirik ke arah Megat yang sudah tergolek di
tanah sebelum bangkit semula menyerang salah seorang puteri itu. Dia menjenguk
pula ke dalam sungai yang mengalir deras. Mana Saifullah? Adakah lelaki itu
telah hanyut dibawa arus?
Gadis itu menghela
nafas sedalamnya. Dia mempunyai peluang untuk menyelamatkan pemilik tubuh di
atas batu itu. Dia lantas berundur sedikit ke belakang sebelum memecut dengan
pantas. Kaki kanannya menolak kuat tanah hingga tubuhnya terbang tinggi sebelum
mendarat dengan sempurna di atas batu itu. Dia sendiri terkejut dengan
kekuatannya. Saat itu dia teringat kembali kata-kata Sari, kakak segurunya yang
sama-sama menuntut ilmu dengan Ratna Seri Dewi.
...............
"Tahukah
Ariana...." Belum sempat Sari menghabiskan bicaranya, Ariana yang duduk di
tunggul kayu bersebelahan Sari memintas.
"Tak
tahu." Ariana kemudiannya tertawa kecil saat bahunya ditepuk lembut oleh
Sari. Matanya yang merenung wajah jelita Sari kembali melihat Ratna Seri Dewi
yang turut menguntum senyuman di hadapan mereka. Mereka melepaskan lelah mereka
di tunggul kayu itu sebaik habis latihan mereka tadi.
"Iyalah, kakak
mahu ceritalah ni." Balas Sari yang selesa menggelarkan dirinya sebagai
kakak. Ariana mengangguk lalu meneguk air embun yang dihulurkan Dewi Seri Ratna
menggunakan sehelai daun lebar. Terasa dingin air itu membasahi tekak. Hilang
penatnya sebentar. "Di dunia kami, sungguh kami gentar akan kehadiran
manusia."
Terjungkit sebelah
kening Ariana mendengarnya. "Gentar? Mengapa?" Soalnya kehairanan.
"Kerananya,
manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna. Jika ada manusia yang
tersesat di dunia kami maka kekuatannya melebihi apa yang dia sendiri
jangka." Sari menarik tangan Ariana. "Itulah ketentuan Allah. Atas
izinnya, seorang manusia sahaja mampu mendatangkan ancaman besar ke dunia
kami." Katanya lagi.
Ariana mengangguk
kagum sebelum matanya memandang dada langit yang sudah semakin terang. Dia
sememangnya berguru dengan Ratna Seri Dewi beberapa jam selepas Isya'. Waktu
itu dia akan menyelinap keluar dari rumahnya tanpa di kesani ibu bapanya. Dia
akan berguru dan berjemaah subuh bersama Ratna Seri Dewi dan Sari sebelum
berlatih lagi dan akhirnya pulang sebelum matahari terbit.
"Eh... Sudah
terang. Ariana pulang dulu." Ujar Ariana sebelum bersalaman dengan
kedua-dua insan yang berlainan dunia dengannya namun sudah dianggap seperti
keluarganya sendiri.
...............
"Ariana..." Suara lemah itu menyapa gegendang telinga Ariana.
Lamunannya terencat di situ. Samar-samar dia dapat melihat wajah tubuh yang
terbaring itu. Seperti yang dia sangka, Hakim...
Baru dia ingin
membantu Hakim, Ariana dapat merasakan satu aura yang sangat kuat berbaur hitam
kejahatan yang amat pekat. Ariana berpaling dan mendongak. Matanya menangkap
kelibat seorang gadis berpakaian jawa berdiri di atas batu betul-betul di
kawasan kepala air terjun. Walaupun dia tidak dapat melihat wajah itu dengan
jelas, dia dapat merasakan tajam renungan itu menujah dadanya.
Belum sempat Ariana
berbuat apa-apa, kelibat itu menghilang namun Ariana tidak dapat menarik nafas
lega kerana dia yakin kelibat tadi berada betul-betul dibelakangnya. Dia dapat
merasakan jari runcing bermain dengan tengkuknya di sebalik tudung. Dia terkaku
di situ.
"Kau istimewa.
Mahukah kau mendampingi aku. Keistimewaanmu dan kekuatanku mampu menjanjikan
apa sahaja." Gemersik suara itu berbisik di telinga Ariana. Ariana
berzikir di dalam hati meminta agar Allah memelihara jiwanya dari ditakhluki
syaitan ini.
"Aku berpegang
hanya pada janji Allah." Tegas suara Ariana. Dia masih tidak berpaling ke
belakang. Tawa halus kedengaran. Sinis sekali bunyinya.
"Apa ada pada
janji tuhan kamu itu... Lihat itu." Jemari runcing itu menghala tepat ke
hadapan Ariana. Ariana mengekori arah itu dengan bebola matanya. Dia melihat
jelas Hasbullah yang sedang bertempur dengan salah seorang puteri itu.
Nampaknya pertempuran itu didominasi oleh pemuda gagah itu. Tiba-tiba tubuh
puteri itu melangkah beberapa tapak ke belakang mendapat tendangan padu
Hasbullah. Tangan Hasbullah tangkas mencapai kayu tajam berhampiran kakinya
lantas.... Zapp! Kayu panjang itu menikam tengkuk puteri tadi. Tubuh itu rebah
ke bumi. Namun, baru Hasbullah ingin meninggalkan tubuh itu bagi membantu rakan
yang lain, puteri tadi bangkit semula. Dia menyeringai memandang ke arah Hasbullah
yang sudah terkedu melihat mayat tadi kembali hidup. Tangan puteri itu mencabut
perlahan kayu yang terpacak di tengkuknya. Darah pekat membuak keluar dari luka
di tengkuknya dan mulutnya. Ariana sudah pucat melihat aksi ngeri itu. Seketika
kemudian luka puteri itu sembuh begitu sahaja meninggalkan darah yang mengotori
baju dan anggota tubuhnya. Puteri itu kembali berentap dengan Hasbullah.
"Kamu lihat
kan?" Suara gemersik itu rapat di kuping telinga Ariana membuatkan gadis
itu sedikit tersentak. "Kami abadi. Kami takkan mati. Kuasa itu...
Tidakkah kau terpesona?" Tawanya kedengaran lagi. Ariana sudah mengerutkan
dahinya. Tidak! Itu kuasa syaitan. Jangan merasa takut, Ariana...
"Itu semua
permainan syaitan! Aku takkan tunduk pada yang namanya syaitan. Hanya Allah
yang hidup kekal. Kau!" Ariana berpaling serta merta melihat puteri di
belakangnya. "Akan jatuh juga..." Ariana bersuara tegas. Matanya
sempat menangkap kilauan emas terkalung di leher jinjang puteri itu. Kalung itu
lain dari kalung yang dipakai enam puteri yang lain. Malah ada keris hitam
tersisip di pinggang puteri itu.
"Kau akan
menyesal." Suara itu mula meninggi. "Dasar manusia bodoh."
Puteri itu melompat ke tebing meninggalkan Ariana yang terpinga-pinga. Namun
sebentar cuma. Ariana berjaya menghidu rancangan puteri itu untuk menyerang Tuk
Pujangga. Setangkas Kilat Ariana mengejar langkah puteri itu. Keris yang
dihayun pada Tuk Pujangga menghiris lengan kiri Ariana. Gadis itu menyeringai
kesakitan. Belum dia mampu membalas serangan, kaki puteri itu sudah hinggap
diperutnya. Penangan yang kuat menyebabkan tubuh Ariana tercampak ke tepi
tebing. Saat itu Saifullah muncul dari sungai dengan tubuh yang kuyup dengan
air lalu mengambil alih tugas Ariana bagi melindungi Tuk pujangga.
Ariana bangkit.
Mindanya ligat berputar. Dia pusing. Bagaimana mahu menewaskan ketujuh-tujuh
puteri itu. Seketika kemudian, ada suara halus dan tidak jelas hinggap di
telinganya. Dia melilarkan anak matanya mencari pemilik suara itu, tapi tidak
dia ketemu.
.........
"Ariana...." Ustaz Rahimin menyeru lagi nama itu. Abang man
dan yang lain hanya diam memerhati. Ustaz Rahimin kembali membuka kelopak
matanya yang sedari tadi terkatup rapat. Matanya redup sekali. "Ariana
cedera." Dia memakukan pandangannya pada rakannya, abang Man. "Kita
salurkan pertolongan kita setakat yang mampu." Ujar Ustaz Rahimin lagi.
abang man
kelihatan mengangguk perlahan sebelum membentangkan sejadah yang dibawanya ke
atas tanah menghadap kiblat. Yang lain turut meniru perbuatan lelaki itu.
Mereka juga mahu membantu Ariana setakat yang mereka mampu.
"Doa! Itu
senjata yang paling utama." Ujar abang Man. Ustaz Rahimin mula mengangkat
takbir dan mereka memulakan solat sunat mereka di imami oleh ustaz Rahimin
dengan ikhlas hati dan khusyuk serta bersama harapan agar Ariana dan Hakim
selamat.
.................
Ariana mengerutkan
dahinya. Suara yang menyerunya berhenti begitu sahaja. Ariana menekan lengan
kirinya yang luka menggunakan tangan kanannya. Menyeringai wajahnya menahan kesakitan.
Puteri bertujuh
cantik rupawan
Sayang hati dihasut
syaitan
Jiwa si ibu dirasuk
rawan
Melihat
puteri-puterinya tersesat jalan
Nyawa manusia
menjadi korban
Puteri sulung kunci
kemenangan
Ariana berpaling
mendengarkan suara syahdu seseorang mengalunkan syair. Dia kenal suara itu.
Bulat matanya memandang kehadiran Ratna Seri Dewi dan Sari beberapa meter dari
tempat mereka bertempur. Ariana berpaling semula saat dia mendengar jeritan
Saifullah. Puteri tadi sudah mencengkam batang leher Saifullah. Kuatnya dia
hingga tubuh sasa Saifullah terawang-awang tanpa menjejak bumi. Saat itu juga
Sari berlari menghulurkan bantuan. Serangan Sari membuatkan puteri tadi
mencampak tubuh Saifullah. Tubuh sasa itu tercampak ke arah Ariana dan kesan dari
rempuhan itu membuatkan tubuh kecilnya pula tercampak ke dalam sungai.
Ariana membuka
matanya. Sejuk yang dirasakan menggigit hingga ke tulang hitam. Dia cuba
berenang ke permukaan, namun tiba-tiba tubuhnya ditarik pusaran air yang kuat.
Dia tidak mampu melawan. Dia meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang pantas
dengan harapan dia berjaya naik ke permukaan. Dia dapat rasakan dadanya semakin
sesak tanpa udara.
Keadaan itu
seketika cuma. Dia seperti mendengar suara ramai-ramai mendoakan dia. Waktu itu
dia merasakan dadanya tidak lagi sesak. Dia berhenti meronta. Matanya tertancap
pada sesuatu yang berkilau di dasar sungai. Pusaran air itu berhenti mendadak.
Ariana menyelam lebih dalam. Barang yang berkilau tadi dicapai dan dibelek.
Keris? Keris berwarna putih. Ketika itu kotak ingatannya tentang keris hitam
yang digunakan salah seorang puteri tadi terbuka. 'Hitam lawannya putih!'
Hatinya terdetik. Dia berenang ke permukaan. Dengan payahnya dia memanjat ke
tebing. Namun, ada sesuatu yang terlintas difikirannya. Lukanya masih berdarah,
tetapi sakitnya tidak seteruk tadi. Tangannya yang memegang keris itu dibelek.
Dari mana datangnya tenaga yang dia rasakan kini?
"Ariana!" Jeritan Sari menyedarkan Ariana. Gadis itu tidak
menunggu lama untuk menghulurkan bantuannya pada Sari. Kerjasama mereka sangat
sempurna tetapi kekuatan puteri itu sukar ditewaskan.
Tuk Pujangga
membuka matanya. Dia dapat mengesan kehadiran keris putih di tangan Ariana. Dia
tersenyum penuh makna. Seketika dia bangkit dari duduknya. Telapak tangannya
menghala ke arah Ariana, Sari dan Puteri tadi. Tiba-tiba akar-akar kayu keluar
dari tanah. Akar-akar itu kelihatan hidup dan menerpa ke arah tujuh-tujuh
puteri itu sebelum mengunci pergerakan mereka.
"Sekarang
Ariana! Tuk tidak dapat bertahan lama!" Arah Tuk Pujangga. Ariana
mengangguk sekali. Namun belum sempat dia menghunus keris putih itu ke arah
lawannya, keris hitam milik puteri tadi terbang sendiri menikam belakangnya.
Ariana menyeringai kesakitan. Rasa menyengat di belakang membuat dia hampir
putus nafas. Matanya mula berpinar. Tak boleh! Dia harus kuat! Ini sahaja
peluang yang tinggal... Tapi kakinya terasa berat mahu melangkah. Dia menangkap
suara kuat mentertawakannya.
Ariana, jangan
kalah. Allah ada bersamamu. Jangan jadi lemah. Sekuat tenaga yang tinggal,
Ariana melempar keris itu dengan laungan Takbir dan aneh sekali kerana laungan
takbir itu juga dilaungkan bukan hanya suaranya tetapi ramai. Keris itu tepat
terpacak di dada kiri puteri itu. Nyaring raungannya sebelum akhirnya dia
longlai. Ariana memandang puteri-puteri yang lain yang juga longlai dalam
cengkaman akar itu dengan pandangan hairan.
Tubuh ketujuh-tujuh
puteri itu mengeluarkan wap berwarna hitam. Tuk Pujangga mendekat lalu
membacakan sesuatu. Akar-akar itu bergerak perlahan membawa jasad-jasad itu ke
dalam bumi. Segalanya telah selesai....
Ariana rebah.
Kakinya tidak mampu menanggung berat badannya. Sari memapahnya bangun. Sempat
Ariana melihat sekilas Ratna Seri Dewi yang berwajah duka. Kain batik yang
menutupi kepala Ratna Seri Dewi di tarik perlahan menutupi wajahnya. Mungkin
mahu menyembunyikan air matanya. Tubuh itu berpaling sebelum menghilang dari
situ. Ariana cuba memanggil tapi dia tidak berdaya. Akhirnya dia longlai begitu
sahaja.
.........
Ariana termenung
di pangkin di luar rumah Tuk Pujangga. Dia tersentak saat ada suara menegurnya
lembut. "Assalamualaikum...." Ariana berpaling ke kanan. Kelihatan
Arjuna berdiri tidak jauh darinya.
"Waalaikumussalam...." Arjuna meneliti Ariana yang mengenakan
kurung putih dan selendang putih. Persalinan penduduk dunia bunian. Dia
tersenyum manis.
"Bagaimana
dengan Hakim?" Soalnya berbasa-basi.
"Sudah semakin
sembuh. Mereka akan pulang sebaik Hakim sembuh sepenuhnya dari penangan kuasa
hitam. Tak sangka bahawa puteri berkalung dan berkeris hitam itu merupakan
puteri sulung. Malah dia memegang nyawa enam puteri yang lain. Pantas sahaja
kuasanya luar biasa dan mereka semua tumpas saat Ariana mencabut nyawa puteri
sulung itu." Ujar Sari yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu rumah. Dia
turun ke tanah lalu duduk di sebelah Ariana. Ariana mengukir senyuman manis.
Arjuna mengerutkan dahi. Ada riak tidak selesa di wajah bersihnya.
"Kau mahu
pulang?" Soal Arjuna lagi. Sari menahan tawa. Hanya perkataan pulang itu
yang lekat di kotak ingatan pemuda itu. Ariana hanya mengangguk perlahan dengan
senyuman nipis di bibir. "Bagaimana dengan aku?" Soal Arjuna lagi.
Ariana dan Sari berpandangan. Ariana menunduk. Tahu sangat perasaan pemuda itu
padanya. Dia dapat membaca dari renungan lelaki itu.
"Kau di sini
dan aku di sana. Dunia kita berbeza. Kita bukan makhluk yang sama. Aku suka
kalau kau ingin menjadi sahabatku tapi untuk menyambut huluran cintamu, sama
sekali tidak." Ujar Ariana tegas.
"Andai sahaja
aku manusia...." Keluh Arjuna.
"Tdak baik
mengeluh Arjuna. Masih ramai gadis rupawan di perkampunganmu." Ariana
menegur.
"Tapi, kalau
sahaja aku manusia..." Arjuna masih tidak berhenti. Ariana menghela nafas
sedalamnya.
"Ya, mungkin
kalau kau manusia, aku akan menjadi hawamu. Tapi ingat Arjuna! Kita
berbeza!" Arjuna kelihatan tersenyum lebar. Akhirnya pecah tawanya membuat
Ariana dilanda persoalan. Ariana mengalihkan pula pandangannya pada Sari yang
hanya tersenyum penuh makna.
"Suatu hari
nanti kau akan faham Ariana." Sampuk Sari sambil menepuk-nepuk perlahan
paha adik segurunya itu.
.........
Saat perpisahan
sudah tiba. Ariana melindungi rasa sebak di sebalik senyumannya. Tangan Sari
dan Cempaka di genggam erat. Baru dia tahu bahawa Sari dan Cempaka merupakan
adik-beradik. Kedua-duanya adalah cucu Tuk Pujangga. Hanya Sari membawa diri
berguru dengan Ratna Seri Dewi. Merantau demi ilmu. Itulah takdir kurniaan-Nya.
Indah sekali.
"Mungkinkah
kita akan bertemu lagi?" Soal ariana.
"Andai ada
jodoh, pasti kita bertemu lagi." Sari merenung anak mata Ariana. Dia tahu
apa yang ada di fikiran gadis itu. "Biarlah guru mengubat hatinya yang
lara. Masa akan mengurangkan kesakitannya. Tapi, yakinlah bahawa tiada dendam
di sebalik kesedihannya. Dia bersedih layaknya seorang ibu." Sari
menguntum senyuman melihat anggukan Ariana. "Silaturrahim yang terbina ini
takkan mudah putus. Percayalah..." Ujarnya lagi.
Ariana mendapatkan
Hakim yang sedang bersalaman dengan Tuk Pujangga dan anak-anak murid Tuk
Pujangga itu. Mereka berbalas senyuman. Ariana sempat melihat Arjuna yang
tersenyum ke arahnya sebelum pandangan mereka dilindungi kabus tebal.
.........
"Ariana!"
Fariha memeluk tubuh Ariana sebaik sahaja gadis itu muncul dari sebalik kabus.
Ariana memerhati rakan-rakannya yang masih di tikar sejadah. Kesemuanya bangkit
dan mengelilinginya dan Hakim. Gamat kawasan itu dengan pertanyaan tanpa henti
dari rakan-rakannya. Selama beberapa hari Ariana dan Hakim di dunia bunian,
selama itulah rakan-rakannya kekal di situ berdoa dan terus berdoa.
"Ariana."
Ariana menoleh ke arah abang Man sebaik mendengar namanya dipanggil. Matanya
tertancap pada seraut wajah tenang di sebelah abang Man. "Kenalkan. Ini
ustaz Rahimin." Ujar abang Man. Ariana mula merasa sesuatu. Dia seperti
pernah melihat wajah itu. Seketika dia merenung wajah abang Man dan Ustaz
Rahimin silih berganti.
"Aman?
Rahimin?" Kenangan sepuluh tahun lalu mendarat di mindanya. Abang Man dan
ustaz Rahimin tersenyum nipis lalu menganggukkan kepala mereka. Mata Ariana
melilar pula pada tikar-tikar sejadah yang terbentang menghadap kiblat.
"Suara ramai-ramai tu..." Ingatannya beralih pula pada suara-suara
takbir yang menemaninya saat dia melemparkan keris putih itu ke arah puteri sulung.
Bebola matanya kembali terarah pada dua lelaki itu.
"Itu suara
kami, Ariana." Ustaz Rahimin bersuara. "Mungkin awak tak perasan,
tapi sepanjang pertempuran itu, kami turut berjuang di sisi awak. Doalah
senjata yang kami bekalkan." Ujarnya lagi. Ariana mengangguk lama. Barulah
dia faham dari mana keris putih itu datang dan dari mana tenaga tiba-tiba
meresap masuk ke tubuhnya. Pusaran air itu petunjuk dari Allah. Petunjuk yang
membawanya ke arah senjata yang dibekalkan rakan-rakannya iaitu doa yang
terzahir dalam bentuk sebilah keris putih di dunia sana bagi mengiringinya
dalam pertempuran. Betapa besarnya kuasa Allah.
................
"Mama! Kuih
hangus..." Adu Ariana dengan muka cemberut. Artika segera mengangkat kuali
yang sudah berasap itu lalu diletakkan ke dalam singki. Hairi yang kebetulan
masuk ke dapur ketawa besar melihat kuih karipap yang sudah rentung itu.
"Anak papa ni
goreng karipap ke batang kayu?" Usiknya sebelum ketawanya lepas lagi.
Artika turut ketawa.
"Nasib baik
mama ada. Kalau tak, terbakar dapur ni." Ketawa kedua-dua ibu bapanya
meletus lagi ditemani hilaian halus dari tepi pintu dapur. Ariana mencerlung ke
arah benda yang kelihatan separuh sahaja tubuhnya manakala separuh lagi
terlindung di sebalik dinding. Wajah itu ditutupi rambut yang panjang. Ariana
sudah memeluk tubuh. 'Kurang ajar punya syaitan. Kau ketawakan aku. Siap kau.'
Marah ariana dalam hati sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca potongan ayat
al-Quran dan benda itu hilang begitu sahaja bersama jeritan kesakitan.
Jeritan kesakitan meletus lagi. Tapi kali
ini jeritan itu keluar dari mulut Ariana. Kesakitan kerana pipinya dicubit oleh
Hairi. "Apa anak dara membebel sorang-sorang." Tegur Hairi dengan
nada marah yang dibuat-buat. Ariana mencebik.
Gurauan mereka terhenti
saat mendengar suara orang memberi salam.
..........
Ariana mengurut
dadanya yang dilanda debar. Biar betul?! ada orang masuk meminangnya. Takkan
Hakim, sedang dia sudah menolak cinta lelaki itu dengan baik. Dia yang sedari
tadi bersembunyi di dapur menjenguk ke ruang tamu. Yang mana satulah yang
juling mata sampai masuk meminangnya.
"Sekodeng
siapa tu?" Satu suara berbisik rapat di telinganya membuat gadis itu
terlompat dan melatah.
"Oi mak aku
nak kahwin anak raja." Ariana menekup mulutnya. Dia memandang ke kiri.
Macam mana boleh melatah macam ni sekali? Kalau kat dapur tak apa juga. Ni
habis jadi tontonan tetamu di ruang tamu. Suara ketawa membuat Ariana memandang
semula ke hadapan. Bulat matanya melihat lelaki yang sedang ketawa itu. Biar
betul? "Arjuna?" Nama itu meniti di bibir merahnya.
Seorang wanita
separuh abad mendekati mereka. Telinga Arjuna yang masih ketawa itu ditarik
kuat hingga lelaki itu mengaduh. "Nakal betul dia ni. Pandai menyelinap
cari anak dara orang. Jaga adab sedikit." Dia melepaskan telinga Arjuna.
Merah telinga lelaki itu. Namun dia masih ketawa kecil.
Wanita itu menarik
pula tangan Ariana. Pipi gadis itu dibelai lembut. "Cantiknya
Ariana." Pujian itu membuat Ariana tertunduk malu.
"Mestilah.
Tengok bakal isteri siapa?" Ujar Arjuna. Ariana kembali terpinga-pinga.
Apa semua ni?????
........
Arjuna memeluk
pinggang isterinya dari belakang. "Apa ni? Lepas..." Marah Ariana
sambil menolak tangan sasa Arjuna. Arjuna ketawa mengekek.
Dia kembali duduk
di meja makan. Geli hatinya melihat Ariana yang sudah berpeluh-peluh cuba
menyiapkan gulai ayam yang nampak.... Hmmm.... Tak sedap langsung. Patutnya
gulai tu berwarna kuning, macam mana boleh jadi warna coklat?
"Hah?!"
Arjuna tersentak mendengar suara jeritan Ariana. Dia bingkas mendapatkan
isterinya yang sebelah tangan memegang senduk, sebelah lagi memegang satu
balang.
"Kenapa
sayang?" Soalnya cemas. Ariana sudah membuat muka mahu menangis membuatkan
Arjuna bertambah cemas.
"Serbuk kunyit
tertukar dengan serbuk kari." Adu Ariana sambil menunjukkan balang di
tangannya dan periuk di dapur. Arjuna tahan ketawa melihat reaksi isterinya
itu.
"Patutlah
coklat." Akhirnya pecah ketawanya. Ariana sudah hampir mengetuk kepala
suaminya itu dengan senduk di tangannya, tapi Arjuna lebih tangkas mengelak.
"Amboi, isteri abang! Ilmu bertempur punya hebat. Sekali ilmu memasak,
isyk! Isyk! Isyk..." Usik Arjuna lagi. Dia menarik tangan isterinya
setelah menutup api dapur.
Mereka duduk di
meja dapur. Arjuna tersenyum melihat isterinya yang masih mencuka. Telatah
ariana yang terkadang manja mencuit hatinya. Sejak dua bulan mereka bergelar
suami isteri, berbagai sifat comel dan manja isterinya telah dia lihat.
"Apa abang ni?
Termenung pula. Dekat alam bunian dah ke?" Ariana menepuk bahu suaminya.
Arjuna ketawa
perlahan. Pipi gebu isterinya dikucup. "Terima kasih tunaikan janji sayang
untuk jadi Hawa abang andai abang manusia walaupun abang bukan anak raja."
Sempat lagi dia mengusik isterinya. Ariana tersenyum sebelum mengerutkan
dahinya.
"Yelah!
Mati-mati kena tipu dengan abang. Apasal abang tak beritahu awal-awal yang
abang manusia, bukan bunian?"
"Abang ingat
sayang dah tahu. Abang tahu je Ariana manusia." Ariana mencebik.
"Memanglah
abang tahu. Ariana punya pakaian pun lain. Abang? Nampak macam bunian je."
Arjuna ketawa lagi.
"Nak buat
macam mana. Abang dah berguru dengan Tuk Pujangga dari kecil lagi. Alam bunian
tu dah macam rumah kedua abang. Tu yang abang pun dah jadi macam bunian."
Kini giliran Ariana tertawa halus. Mereka punya kisah hidup yang sama tapi tak
serupa. Kedua-duanya punya keistimewaan yang sama. Mereka berguru dengan
makhluk dari dunia yang sama. Bunian.
Arjuna mengucup
kedua-dua belah mata isterinya. Kerana keistimewaan yang mereka ada, mereka
dipertemukan. Arjuna bersyukur seikhlas hatinya. "Sayang... Jom pergi
honeymoon." Ariana sudah berlapis dahinya.
"Mana?"
"Alam
bunian." Mereka berbalas senyuman. Ariana mengangguk. Hingga kini mereka
masih berhubung dengan penduduk perkampungan bunian itu. Malah hubungan Ariana
dan rakan-rakannya terjalin dengan baik selepas kejadian itu. Termasuk
persahabatannya dengan abang Man dan Ustaz Rahimin. Benar kata Sari,
silaturrahim yang terbina ini takkan mudah putus. Hubungan yang terjalin
melalui mata miliknya dan Arjuna. Jalinan tanpa batas hijab.
assalamualaiku...
ReplyDeletesaya baru ja baca karya anda; MATA di penulisan2u... n mmg best... saya biasa baca ttg makhluk dr alam lain,cthnya dr ramli awing murshid.. but inilah 1st karya ttg makhluk lain yg saya baca dlm bentuk cerpen..n terbaik lah!!! terperinci n saya rasa mcm saya plak jd ariana tuu... hehe.. (^^,)
Waalaikumussalam... komen anda sgt sy hargai. Sekrg ni, makin berkobar2 semgt saya nk mencari idea utk garapan seterusnya. Terima kasih byk2 sy ucapkan. Terharu rasanya bila ad org y menyukai cerpen sy walaupn sy tahu sy msih x mempunyai kemahirn y tinggi dlm menulis. Terima kasih
DeleteSgt sukakan cerpen ni...banyak kali baca di penulisan2u...tak jemu baca...akhirnya jumpa blog penulis secara tak sengaja. ..tulis la lg cerpen camni...
ReplyDeleteBest sesangat ... Terasa jadi watak utama pulak ...hahaha (saya puteri bukan anak raja)
ReplyDeleteTeruskan usaha.cerpen2 yg bagus
ReplyDeleteLove the story!!!
ReplyDeleteKeep it up...😊
Dah lama xbce cerpen ni...kalau dulu selalu repeat kat penulisan2u... Tpi penulisan2u dh xley bukak... Bila dah rindu nk repeat bace sbb dah beberapa tahun xley bace balik, tawakal jee laa hari ni nk search balik... Alhamdulillah terubat rindu
ReplyDeleteBest & macam real masa baca cerpen ni.
ReplyDelete