Thursday, September 19, 2013

CERPEN : YANG KETIGA (2)

Yang ketiga (2)
*ps : kali ni seyes ak obses dgn watak julia dlm cerpen 'yang ketiga (1)' dlu. Rase cm x dpt lepas wtk tu mcm tu sj. Kesnye lam cerpen 1st tu, julia end up alone lam cinta tiga segi dia. Kali ni, julia pula y jumpa jodoh lam cinta tiga segi kedua. Tp, somehow ak x puas hati dgn karya ni. Well... nak buat camne kan. Bakat aku memang kurg. Aku lg suka 'yang ketiga' (1) berbanding 'yang ketiga' (2). Dlm y 1st, julia lg cool. Argh whatever. Cri idea len. Nk tulis cerpen len!!!

Beberapa kertas bersaiz A4 berlakarkan wajah beberapa orang lelaki dibentangkan di atas meja kayu sederhana besar itu. Matanya dipicingkan sambil menatap penuh teliti setiap lakaran-lakaran itu. Tangannya juga bergerak mengasingkan kertas itu. "Kanan ni paling dekat. Kiri macam tak sama sangat." Julia menepuk-nepuk kertas yang tersusun itu.
     Dia memandang wajah Detektif Wafi. Keningnya berkerut melihat Detektif Wafi seakan tidak memberi perhatian padanya, sebaliknya mata lelaki itu terarah lurus ke hadapan iaitu di sebelahnya.
     Julia lambat-lambat berpaling ke sebelah kanannya. Di situ, duduk Iki yang sedang khusyuk menyedut air minuman sejuk. Julia memandang ke arah dua lelaki itu silih berganti.
    Wafi merenung tajam ke arah Iki. Sakit pula hatinya bila si Iki ini ikut sama menyibukkan diri dalam penyiasatan kes Julia ini. Kalau bukan sebab Julia, dah lama dihalaunya lelaki ini. Itu pun, dari tadi dia sudah menayang muka tidak puas hatinya di hadapan Iki namun lelaki itu buat tidak peduli sahaja. Dah lah sepanjang dia berbincang dengan Julia, Iki tidak membantu sangat. Hanya menjadi patung hiasan yang menyemakkan mata sahaja di tepi Julia.
     Iki buat-buat tidak faham akan maksud renungan Wafi, yang penting dia berjaya mengelakkan Julia dari berbincang berdua sahaja dengan Wafi. Haha... Ada aku kesah???
     "Wafi!" Panggil Julia. Tangannya digawang-gawangkan di depan muka Wafi. Wafi tersentak sedikit.
     "Huh?" Terkebil-kebil Wafi dibuatnya. Entah lepas ke mana perbincangan mereka.
     "Awak ni berangan ke?" Soal Julia diiringi tawa kecil. Wafi turut tersengih sambil kepalanya digaru laju. Iki pula sudah pandang semacam pada Julia. Takkanlah itu pun mahu cemburu?

=====

"Abah?!" Suara Farhan meninggi. Tidak dia menyangka sampai begitu sekali Dato' Farid sanggup menghina Humairah, kekasih hatinya.
     "Apa?! Han berani naikkan suara depan abah sebab perempuan sial ni? Sebab dia ini sahaja Han nak menderhaka?" Dato' Farid hampir sahaja menunjal kepala Humairah kalau bukan Farhan bertindak tangkas melindungi Humairah di belakangnya. Dato' Farid menjengilkan mata ke arah Farhan. "Han! Abah takkan terima perempuan miskin macam dia ni. Darah keturunan kita lebih mulia dari dia."
     Humairah menangis teresak-esak di belakang Farhan. Dia masih dihina. Maruahnya seperti tiada harga di hadapan Dato' Farid. Hidungnya sudah memerah.
      "Awak!!!" Lengkingan suara itu membuatkan ketiga-tiga insan itu berpaling. Kelihatan Datin Mazriah berdiri tegak di muka pintu besar. Matanya merenung tajam wajah suaminya. "Han... Hantar Humairah balik." Arah Datin Mazriah.
      Farhan tidak menunggu lama, dia berlalu dari situ dengan Humairah yang membuntutinya dari belakang. Datin Mazriah menggelengkan kepalanya beberapa kali sebelum turut mengangkat kaki dari situ sebelum tercetus perang antara dia dan suaminya.

=====

"Aku tak faham betul dengan abah aku tu. susah sangat ke dia nak terima Maira? Apa sangat yang ada pada keturunan?" Rungut Farhan. Steak di pinggannya ditonyoh berkali-kali dengan pisau dan garfu di tangan.
    Apa yang Farhan rungutkan dari setengah jam tadi langsung tidak lekat di kepala Julia. Perhatiannya sepenuhnya terarah pada kertas di tangannya. Riak wajahnya tegang sekali.
    Farhan merengus kuat. Kau dengar tak?" Bentak Farhan dengan suara yang agak tinggi. Dalam tidak sedar Julia menganggukkan kepalanya.
    "Eh? Apa dia kau cakap tadi?" Soal Julia bodoh. Farhan menghempas pisau dan garfunya di atas meja. Geram pula dia dengan Julia yang langsung tidak pedulikannya. Julia memandang pula ke arah makanan yang dipesan Farhan. "Apasal pula Steak kau ni lumat macam ni?" Soalnya lagi.
     "Aku tengah bengang dekat sini, kau boleh buat tak tahu? Seriously?" Julia tersengih mendengar nada marah Farhan.
     "Alah! Kau pun... Nak emo sangat. Aku tak dengar pun, aku tahu masalah kau. Pasal abah kau dengan Maira kan? Sejak tiga bulan ni, itu ajalah yang telinga aku tadah tau." Ujar Julia selamba.
     Meja itu kembali sunyi buat beberapa minit. Farhan mencuri tilik kertas di tangan Julia. "Macam mana dengan kes tu?" Soal Farhan dengan suara yang lebih tenang berbanding tadi. Dah sejuklah tu.
    Julia meletakkan kertas di tangannya di atas meja. Satu keluhan dilepaskan. Berat sekali kedengarannya. "Macam itu lah juga." Dia merenung seketika wajah Farhan. "Aku.." Julia berdehem sekali. "Aku mula rasa macam tak nak teruskan..." Belum habis kata-katanya, Farhan terlebih dahulu memotong.
    "Hah? Kenapa tiba-tiba pula?" Latah Farhan.
    Julia memangku dahinya di atas meja. "Aku memang nak jahanam-jahanam tu dapat hukuman. Tapi, aku tak rasa aku boleh tanggung perasaan ni bila aku jumpa dengan diorang depan-depan. Benda ni terlalu berat." Keluh Julia.
     Farhan memandang simpati pada sahabatnya itu. Dia mengerti apa yang cuba Julia sampaikan. Membuka kes ini semula seperti menoreh semula parut dahulu hingga berdarah kembali.

=====

"Lia.. Kau cakap apa ni?" Wafi menyoal tidak percaya. Rambut panjang lurusnya diraup ke belakang. Iki juga terkebil-kebil memandang Julia.
    "Aku... Aku ada sebab sendiri." Ujar Julia takut-takut.
    "Takkan kau nak lepaskan diorang macam tu saja? Diorang dah bunuh mak kau, ro..." Belum sempat Wafi menghabiskan ayatnya, Iki bertindak pantas memegang bahu Wafi. Kepalanya digelengkan sebelum diarahkan pada Julia yang sudah tertunduk dengan linangan air mata. "Aku.. Aku minta maaf." Suara Wafi mengendur.
    Julia menggelengkan kepalanya sambil mengukir senyuman paksa. Kebenaran memang pahit.
    "Macam mana pun, kami tetap akan teruskan siasatan selagi tarikh kes ini difailkan masih valid." Tambah Wafi. Dia berlalu meninggalkan Julia dan Iki.
    Entahlah... Hatinya jadi panas apabila Julia mahu menarik diri dari siasatan ini. Kenapa?

=====

"Lia... Awak okay?" Soal Iki. Matanya sesekali mengerling ke arah Julia di sebelahnya sebelum kembali tertumpu pada jalan raya. Julia mengangguk lemah.
     "Betul ke keputusan saya ni?" Soal Julia pula.
     "Mungkin... Saya rasa awak patut buat apa yang awak rasa. Lagipun, awak percaya akan Allah, kan? Kalau pun diorang terlepas hukuman dunia, percayalah yang hukuman di akhirat nanti diorang tetap akan dapat." Julia tersenyum mendengar penerangan Iki meski hatinya masih berbelah bahagi.

=====

Wafi berbolak-balik dalam bilik tidurnya. Sesekali rambutnya yang mencecah bahu itu digosok kasar hingga berserabut. Julia sudah tarik diri. Bermakna, dia sudah tiada sebab untuk berjumpa dengan gadis itu.
    "Argh! Wafi! Apa yang kau nak pening sangat? Dia bukan mangsa. Dia gadis yang kau suka. Apa yang kau tunggu lagi?" Monolog Wafi seorang diri. "Okay!" Wafi mula memasang tekad. Esok penentunya.

=====

"Huh? Jadi pengapit? Aku? Biar betul? Korang nak kahwin dah? Macam mana... Aih, Pelik aku." Merapu Julia dibuatnya apabila disapa dengan berita persetujuan Dato' Farid dengan hubungan antara Farhan dan Humairah. Humairah tersenyum bahagia. farhan juga sama. Kedua-duanya sudah berser-seri wajah, lain dengan Julia yang masih dalam keadaan keliru.
     "Semua ni jasa ibu." Ringkas Farhan menerangkan. Tidak pernah-pernah dia melihat ibunya, Datin Mazriah mengeluarkan kata-kata yang mampu mendiamkan terus Dato' Farid. "Kalau Farhan dengan Maira tak boleh bersama sebab darjat, kita pun tak boleh bersama. Jangan lupa yang dahulu awak kerani sahaja. Tapi saya minta maaf sebab langsung tak teringatkan pasal darjat lepas saya jatuh cinta dengan awak. Silap saya. Patutnya saya tahu yang awak ni jenis yang pentingkan darjat." Itulah kata-kata Datin Mazria yang dituturkan dengan nada yang begitu lembut, tapi hadir bagai tamparan di wajah Dato' Farid.
     "Err... Julia, awak kenal ke siapa dia?" Soal Humairah tiba-tiba. Julia yang terpandangkan arah pandangan Humairah segera berpaling. Tersentak Julia melihatkan Wafi sudah berdiri tegak di belakangnya. Mujur dia tidak melatah, kalau tidak, hancur imej ayu yang di bawa hari ini dengan kurung moden merah lembut dan selendang putih yang dililit rapi.
     "Wafi?" Panggil Julia bila lelaki itu hanya menunduk menekur lantai.
     "Saya suka awak." Gumam Wafi perlahan.
     "Apa?" Soal Julia yang kurang mendengar suara halus lelaki itu.
     "Saya suka awak!" Jerit Wafi tiba-tiba. Matanya menikam tepat anak mata Julia. Julia pula tertegun mendengar bicara lelaki itu. Matanya bulat, lidahnya kelu, kakinya terasa menggeletar. "Saya cintakan awak." Aku Wafi dengan suara yang tenang.
    Farhan dan Humairah bertukar pandang sambil tersenyum-senyum. "Ada peluang nak naik pelamin sama dengan kita ni. Kena cari pengapit lain lah pula." Usik Humairah disambut tawa Farhan.
 
=====

Julia menelan liurnya yang terasa kelat. Matanya terkebil-kebil memandang insan yang sedang melutut di hadapannya ini. Berpinar-pinar matanya melihat cincin yang di tayang di hadapannya. "Iki... Bangun." Ujar Julia setelah terkelu buat beberapa ketika. Tangannya menepuk-nepuk bangku di sebelahnya. Iki hanya mengikut permintaan gadis itu.
    Bibir Julia bergerak-gerak. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang perlu diucapkan saat berhadapan dengan kejutan yang kedua ini. Baru semalam Wafi melamarnya, hari ini Iki pula? Tak sangka pula sahamnya begitu tinggi.
    "Saya rasa saya kena panggil seseorang." Ujar Julia sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.
    "Siapa?" Soal Iki sambil memerhati Julia yang sudah melekapkan telefon itu di telinganya. Julia tidak pantas menjawab.
    "Hello? Wafi? Saya nak jumpa awak."

=====

Wafi dan Iki berlawan renungan. Julia berdehem beberapa kali bagi menarik perhatian dua lelaki yang sedang berperang secara batin itu. "Kenapa korang berdua... Bukan... Apa yang kamu suka pada saya?" Soal Julia memecah kesunyian.
    "Perlu ke ada sebab?" Wafi menjawab soalan Julia dengan soalan.
    "Saya cintakan awak walaupun saya tak tahu apa sebabnya." Jawab Iki pula.
   "Korang dah fikir masak-masak ke?" Soal Julia lagi. Wafi dan Iki mengangguk serentak. Julia melepaskan keluhan halus. Dua jejaka di hadapannya itu dipandang silih berganti. Kedua-duanya mengetahui kisah silamnya. Seorang detektif bagi kes miliknya, seorang lagi doktor yang merawatnya. "Kau orang tahu apa yang pernah jadi pada saya, kan?" Soal Julia perlahan.
    "Saya tak kisah. Yang saya tahu saya cintakan awak." Ujar Iki ikhlas. Wafi menjeling Iki di sebelahnya. MAtanya di arahkan pula pada Julia yang tertunduk.
    "Apa yang jadi dulu?" Soal Wafi selamba. Julia dan Iki memandang Wafi dengan wajah terkejut. "Awak ada buat salah ke? Tak ada kan? Awak suci. Sekurang-kurangnya, itu saya fikir." Ujar Wafi masih tenang.
    Nyata kata-katanya mampu menarik senyuman di wajah Julia. Julia menghela nafas dalam-dalam. "Iki..." Panggilnya. Dia mahu berterus-terang.
    Iki yang pada awalnya memandang wajah Wafi dengan wajah terkejut mengalih perhatian pada Julia. Melihatkan reaksi Julia pada kata-kata Wafi tadi membuatkan dia jadi takut sendiri. Segera dia berpura-pura menilik jam tangannya sebelum sempat Julia membuka mulut. "Ah! LUpa pula saya ada kerja. Saya kena pergi." Terkocoh-kocoh Iki melarikan diri tanpa sempat Julia menghalangnya. Julia dan Wafi bertukar pandang dengan riak hairan.

=====

"Tahniah..." Ucap Humairah pada Julia. Mereka berpelukan. NYata Julia nampak anggun sekali dengan gaun labuh berwarna hijau dan tudung putih. Sampai juga jodoh Julia.
    "Tahniah juga." Ucap Julia sambil memegang perut Humairah yang sedikit membuncit. Dah berisi rakannya ini. Humairah tersenyum manis. Berseri sungguh wajah Humairah. Mungkin seri ibu mengandung.
    "Rezeki." Ucap Farhan di sebelah Humairah. Bahu isterinya dipaut erat. "Mana suami kau?" Soal Farhan. Julia berpaling ke kiri dan kananya. Matanya merayap ke kawasan rumah yang dipenuhi tamu itu. Seketika matanya tertancap pada wajah seseorang yang amat dia kenali.
    Wafi mendekati tiga insan itu dengan wajah tersenyum. "Awak datang?" Soal Julia ceria. Sebelum ini, risau juga dia dengan penerimaan Wafi terhadap keputusan yang dia buat. Ya! Dia menolak Wafi dan menerima Iki. Dia tahu Wafi keccewa, namun kehadiran Wafi di majlis bahagia ini menunjukkan bahawa lelaki itu tidak sedikit pun berdendam. Sekurang-kurangnya tidak pada dia.
    "Sayang!" Iki mendekat. Pinggang isterinya dipeluk erat. Wafi mencebik melihat aksi Iki. MEmang hatinya kecewa, tapi sudah ini keputusan Julia. APalah yang dia dapat lakukan.

=====

Iki memerhati Julia yang sedang termenung di balkoni. Dia mendekati isterinya lalu tubuh itu dipeluk. "Fikir apa?" Bisiknya lembut di telinga Julia. Julia tertawa kegelian.
    "Fikir Wafi." Ujar Julia mengusik. Iki menarik hidung mancung Julia kuat hingga gadis itu mengaduh.
    "Amboi!" Marah Iki namun pelukannya masih belum dileraikan. Dagunya dilabuhkan di bahu isterinya. Dia memejamkan mata saat Julia mengusap pipinya.
    "Awak tak pernah tanya kenapa saya pilih awak." Ujar Julia.
    "Well, saya tak terfikir nak tanya. Awak dah pilih saya pun, saya dah bersyukur sangat." Ujar Iki lembut. Dia masih menikmati belaian isterinya.
    "Yeke? Saya ingat awak yang tak nak. Puas saya kejar awak sana-sini. Tak pasal-pasal saya jerit dekat wad depan pesakit-pesakit awak yang saya nak kahwin dengan awak." PAngkah Julia manja. Iki tertawa mendengarkan itu. Dia memang asyik mengelak dari Julia kerana dia takut untuk mendengar jawapan gadis itu. Dia takut gadis itu menolak. Alih-alih, Julia muncul di wad Mawar lalu melaungkan penerimaannya. Masa itu, habis gamat wad itu dengan tepukan dan usikan para pesakit dan staf yang ada. Sungguh dia tidak sangka.
    "Yelah... Saya ingat awak akan pilih Wafi." Bibir Iki singgah di pipi isterinya. "Kalau saya tahu awak nak terima, tak adalah saya susah-susah cabut lari. Sampai ada sekali tu, saya menyorok dalam longkang dekat parking sebab saya nampak awak." Kedua-dua pasangan itu tertawa. "Kenapa ya? Kenapa awak pilih saya?" Soal Iki.
    Julia meleraikan pelukan Iki. Dia berpusing menghadap suaminya. Pinggang suaminya dirangkul. "Sebabnya.... Saya pun tak tahu." Iki mengerutkan dahinya. Tapi, sepanjang perbualan kita, saya hanya ingat masa-masa awak dengan saya waktu saya sakit. Kata-kata semangat awak. KElembutan awak. Keramahan awak."
    "Itu ke sebab awak senyum masa tu? Bukan sebab kata-kata Wafi?"
    "Kata-kata Wafi? Saya tak dengar pun apa dia cakap sebab saya sibuk berangankan awak." Ujar Julia manja.
    Terus tersenyum lebar Iki dibuatnya. Tubuh isterinya dibawa ke dalam pelukan. "Sedikit pun sejarah hitam awak tak dapat mencalit bersihnya hati awak." Julia bersuara. "Itu yang awak cakap masa kita jumpa pertama kali dahulu. Saya rasa saya dah pun mula beri hati pada awak waktu tu." Tambah Julia. "Jangan awak biar pesakit lain jatuh cinta dengan awak." Ugut Julia.
    Iki tertawa. "Jangan risau. Dengan orang lain saya pro. Dengan awak je saya langgar etika kedoktoran." Aku Iki. Kedua-dua mereka tersenyum bahagia. Kalaupun ada yang ketiga nanti, pasti mereka takkan berpisah. Antara mereka kini, yang ketiga yang mampu memisahkan mereka hanya Allah SWT. 

6 comments: