Monday, September 16, 2013

KISAH KEKASIH ALLAH

Suatu hari (setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW), Saiyidina Abu Bakar menemui isteri Rasulullah, Saiyiditina Aisyah. Lalu berkatalah dia, "Wahai Aisyah, aku telah menjalankan hampir semua perkara yang Rasulullah jalankan sewaktu hidup baginda. Ada lagikah perkara yang masih belum aku jalankan?"
   Lantas Saiyiditina Aisyah pun berkata. "Masih ada. Dahulu Rasulullah akan sering ke hujung pasar di mana dia akan menyuap makanan buat seorang yahudi yang fakir dan buta tanpa orang itu mengetahui siapa yang menyuapnya iaitu rasulullah." Maka mendengarkan itu, Saiyidina Abu Bakar pun berlalu untuk melakukan perkara yang sama terhadap yahudi itu.
    Rasulullah dahulu sering menyuap yahudi itu agar dia tidak kelaparan meski yahudi itu sering melemparkan kata-kata hinaan buat kekasih Allah yang mulia itu.
    Saat Saiyidina Abu Bakar menjumpai yahudi itu, maka beliau pun memulakan suapan untuk yahudi buta itu, namun segera yahudi itu berbicara.
   "Kamu siapa? Kamu bukanlah orang mulia yang selalu datang menyuapku. Orang itu tidak
Kasar sepertimu. Dia menghaluskan dahulu makanan bagi memudahkan aku mengunyah dan menelan. Dia menyuapku dengan penuh teliti dan lemah-lembut. Kamu bukan orang itu. Di mana dia."
   Serta-merta tangisan Saiyidina Abu Bakar pecah mendengar bicara yahudi buta itu. Betapa semakin menggunung rindunya pada kekasih Allah yang dia kasihi itu. "Ya... Aku bukan orang itu. Orang yang selama ini memenyuapmu dengan penuh kasih itu adalah Nabi Muhammad. Dan kini baginda telah wafat, maka aku menggantikan baginda untuk menyuapmu." Ujar Saiyidina Abu Bakar dalam esakan.
   Kini Yahudi buta itu pula mengalirkan air mata. Dia meraung dalam kesedihan. "Selama ini aku menghinanya. Tidak pernah kata-kata yang aku tujukan pada baginda kata-kata yang baik, hanya kata-kata kesat semata. Namun baginda tetap menghulurkan kebaikan yang penuh keikhlasan meski aku sering menjahatinya dan menghinanya." Rintih Yahudi buta itu. Dan sejak itu dia memeluk islam.

*ps: Subhanallah... mengalir air mata saya semasa membaca salah satu kisah nabi kesayangan kita ini. Sungguh, walau selepas kewafatannya, kelembutannya, keikhlasannya dan kebaikan yang Rasulullah hulurkan masih mampu menarik seorang yahudi untuk memeluk islam. Betapa indahnya cara Rasulullah berdakwah. Betapa rindunya umatmu ini padamu. Semoga rasa rindu dan ingatan serta rasa cinta padamu ini sentiasa Allah titipkan dalam hati yang mudah lupa ini.

No comments:

Post a Comment