Tuesday, August 27, 2013

CERPEN : Yang Ketiga

Muzik berdentum kuat hingga membingitkan telinga dalam kelab malam itu. Kesemua manusia dalam kelab itu bagai telah hilang kewarasan akal. Setiap dari mereka berayun mengikut rentak. Mereka bagai tidak menyedari perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Dosa dan pahala tidak mereka peduli. Air kencing syaitan diteguk seenaknya. Di suatu sudut, dalam keadaan yang hingar dalam kelab itu, kelihatan seorang gadis yang merenung kosong pelbagai gelagat setiap pelanggan kelab itu. Matanya tiada sinar. Wajahnya seperti manusia tidak berperasaan. 
   Seorang lelaki mendekati gadis berbaju merah pasar lutut tadi sambil tersenyum-senyum. Sedikitpun lelaki itu tidak menarik minatnya. Melihatkan gadis itu yang langsung tidak berpaling melihatnya, lelaki tadi mengambil tindakan berani melabuhkan punggungnya disebelah gadis itu hingga tubuh sasanya sedikit menghimpit tubuh langsing gadis itu. Gadis itu masih sama. Seperti patung, dia sedikitpun tidak memberi reaksi. Namun, sebaik tangan lelaki tadi mula mendarat di bahunya, gadis itu mendadak berdiri. Beg tangan yang diletakkan di atas meja dihadapannya dicapai. Dengan wajah beku, gadis itu melangkah selamba meninggalkan lelaki tadi yang jelas dibalut rasa berang dengan reaksinya.

~~~~~

   Dia mencampakkan beg tangannya ke atas katil. Dia menyembamkan wajahnya ke atas bantal. Hatinya serba tidak kena. Dia sepi. Puas dia ke kelab malam, keluar bersama kawan, melepak di sana sini, namun hatinya masih sama. Tiada apa yang dapat memberinya kepuasan. Di sebalik keadaan yang hingar-bingar di sekelilingnya, hatinya tetap dicengkam sepi yang teramat. Jiwanya kosong. Sejak ayahnya berkahwin semula selepas lima tahun pemergian ibunya, dia merasa bagai ada sesuatu yang menusuk-nusuk perasaannya. Dia tidak tahu apa... Yang dia tahu, dia benci rasa ini. Dia mahu keluar! Dia mahu bebas dari rasa sepi dalam hatinya ini. Rohnya bagaikan terperangkap dalam jasadnya sendiri.
   Tangannya merayap dipipinya. Dia benci dunia ini. Dia benci ayahnya. Dia benci ibu tirinya. Dia benci dirinya sendiri. Mengapa dia tidak boleh rasakan ketenangan seperti yang dia harapkan. Kenapa? Dalam melayan rasa, meski perit, mengapa tiada air mata yang mengalir? Semuanya hanya.... Kosong....


~~~~~

   "Apa abah cakap ni? Kenapa pula abah nak kahwinkan Han dengan Julia?" Farhan cuba mengawal nada suaranya. Dia tidak mahu terlalu cepat melenting dengan perkhabaran mendadak Dato' Farid itu. Ibunya, Datin Mazriah hanya mendiamkan diri enggan masuk campur dalam perbualan bapa dan anak.
   "Ini untuk kebaikan Han dan keluarga kita." Mendatar nada suara Dato' Farid.
   Farhan menggelengkan kepala. Sungguh dia tidak sangka, setamak ini sikap bapanya hingga dia pun sanggup digadaikan demi perniagaan. "Untuk kebaikan Han atau untuk bussiness abah? Ini soal hidup Han, biarlah Han yang tentukan. Han dah ada pilihan hati han sendiri."
    "Siapa? Humairah? Sudahlah Han... Asal-usul dia pun kita tak tahu. setakat office girl macam dia tu, buat main-main bolehlah. Julia tu jauh lebih layak untuk Han."
    Han mengetap bibirnya. Sakit hatinya bila Dato' Farid melemparkan penghinaan sehingga begitu sekali terhadap kekasih hatinya. "Abah! Han tak pernah ada niat untuk main-main dengan Humairah. Han serius untuk memperisterikan dia walau macam mana pun. Apa bezanya Humairah dengan kita? Dia manusia, Han manusia. Bukannya darah kita putih, darah dia merah. Kalau terluka, sama sahaja warna darah kita. Apa nak dibanggakan dengan harta dunia sedang hati budi Humairah jauh lebih bernilai!" Farhan bertegas. Tanpa menghiraukan renungan tajam Dato' Farid, dia mencapai briefcase miliknya dan terus berlalu dari ruang makan itu.
     Dato' Farid merengus. "Tengoklah anak awak tu." Datin Mazriah tersenyum senget mendengar komen Dato' Farid.
      "Anak saya, anak awak juga. Degil dia, ikut degil awak tu." Sempat Datin Mazriah membalas dengan kata-kata pedas sebelum dia juga turut berlalu dari situ.

~~~~~

     "Han... Awak tak boleh lawan kata-kata abah awak." Humairah cuba memujuk Farhan.
     "Habis? Awak nak saya lepaskan awak? Saya tak sanggup. Saya sayangkan awak, Maira." Farhan bersuara sayu.
      Humairah mengeluh. "Jadi awak nak lawan cakap abah awak? Saya tak nak awak jadi anak derhaka sebab saya. Saya tak nak."
      "Saya akan cuba pujuk abah. Kalau dia masih tak setuju, saya akan jumpa dengan Julia sendiri." Farhan nekad. Walaubagaimanapun, dia tetap tidak akan melepaskan Humairah.
      "Julia tu... Awak kenal dia?" Farhan diam tidak menjawab. "Han... Saya hairan. Takkan dia pun dipaksa macam awak? Kalau betul, mungkin awak boleh bincang dengan dia untuk sama-sama pujuk parents awak, tapi macam mana kalau dia memang ada hati dengan awak. Susahlah kalau awak seorang je yang menolak perkahwinan ni." Humairah sempat menangkap perubahan riak wajah Farhan. Dia seperti dapat menangkap apa yang sedang bermain di fikiran Farhan saat ini. "Dia memang sukakan awak? Awak? Jawab dengan jujur." Gesa Humairah.
      Teragak-agak Farhan mengangguk. Ya! Dia dan Julia memang pernah ada sejarah. Dahulu, ketika mereka masih di sekolah menengah, mereka berkawan baik. Namun, dia menolak mentah-mentah saat gadis itu meluahkan perasaan padanya. Sungguh dia tidak sangka begitu pengakhiran persahabatan antara dia dan Julia. Beberapa hari selepas penolakannya, Julia bagai menjauhkan diri darinya hinggalah suatu hari, berita kematian ibu Julia sampai ke telinganya. Dia cuba mencari Julia. Dia sekurang-kurangnya mahu mengurangkan luka di hati rakan baiknya itu, tapi dia selangkah terlewat apabila Julia telah membawa diri ke luar negara. Setelah itu, dia tidak pernah lagi berhubung dengan Julia. Selepas bertahun-tahun, mendadak bapanya mahu menjodohkannya dengan Julia. Dia tidak pasti samada gadis itu masih menyimpan perasaan padanya. Kalau benar, bermakna lebih susah baginya untuk menghentikan perkahwinan itu.

~~~~~

    Julia diam memeluk tubuh di sofa. Tan Sri Halim bertukar pandang dengan Puan Sri Badriah. Isterinya itu menganggukkan kepala seolah memberi kebenaran bagi Tan Sri Halim untuk meneruskan. "Lia..." Panggil Tan Sri Halim dengan lembut. Namun Julia langsung tidak memberi reaksi. Matanya merenung jauh ke hadapan. Sedikitpun dia tidak berpaling untuk melihat wajah ayahnya yang sedang berbicara di sebelahnya. "Papa ingat nak jodohkan Lia dengan Farhan. Papa dah bincang dengan abah Farhan. Kami dah sama-sama setuju. Lia... Dahulu kan Lia dengan Farhan rapat. Mesti Julia tak ada masalah kan?" Julia masih diam. Tan Sri Halim berdehem beberapa kali. "Macam nilah, apa kata Lia jumpa dulu dengan Farhan. Bincang dengan dia. Papa yakin, farhan boleh bahagiakan Lia. Papa dengan Uncle Farid dah aturkan perjumpaan Lia dengan Farhan.
      Julia masih berdiam diri. Tan Sri Halim jadi sebak melihat keadaan anaknya yang masih tiada peningkatan. Renungan anak tunggalnya masih kosong dan wajahnya ayunya diselubungi suram. Hingga kini, dia masih tertanya-tanya, apa yang telah merubah anaknya yang ceria dahulu hingga sebegini sekali. "Julia..." Kali ini, Puan Sri Badiah pula bersuara. Nyata, kali ini Julia memberi reaksi. Dia bangkit dari duduknya.
       "Apa pun keputusan saya takkan merubah keputusan papa." Julia bersuara sebelum melangkah keluar melalui pintu utama tanpa mempedulikan suara papanya yang memanggilnya berkali-kali.

~~~~~

    Indah sekali permandangan di sebalik dinding kaca Pine Resort itu. Padang yang menghijau dengan pokok Pine yang tersusun dihiasi pokok-pokok bunga pelbagai jenis dan warna menambah seri kawasan tasik buatan yang kelihatan tenang. Julia memeluk lututnya. Hood baju panasnya ditarik menutup kepalanya.
    "Julia?" Julia berpaling saat mendengar namanya di seru. Kelihatan Farhan yang segak berpakaian pejabat dengan kot Hitam lengkap sudah berdiri tegak di sebelahnya. Berbeza dengannya yang lebih kasual dengan T-shirt hitam berlengan pendek di sebalik sweater  kelabu dipadankan dengan seluar jeans panjang berwarna biru lusuh. Wajahnya langsung tidak dicalit dengan sebarang alat solek.
     Farhan menarik kerusi di hadapan Julia. Hairan melihat Julia yang beku wajahnya. Segaris senyuman pun tidak dihadiahkan padanya. "Let's just get straight to the point. Saya... Err... Aku nak bincang pasal perkahwinan kita." Farhan meneliti wajah Julia untuk melihat reaksinya, namun hampa. Wajah itu tetap beku.
     Julia menyedut air tembikai di hadapannya. Sungguh, dia tidak berminat dengan topik yang dibangkitkan lelaki di hadapannya ini. Rasanya, dah tiada apa yang mampu menarik minatnya.
     "Err... Julia, turunkanlah kaki tu... Tak sopanlah." Tegur Farhan. Kali ini, kata-katanya berjaya membuatkan Julia menjatuhkan pandangan ke arahnya. Namun sekejap sahaja sebelum gadis itu kembali ke dalam dunianya sendiri. Teguran Farhan seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
    Farhan mengurut tengkuknya. Dia pula yang jadi kekok berhadapan dengan Julia yang diam membeku ini. Dia memerhati wajah Julia. Nyata, gadis itu kelihatan semakin cantik meski tiada walau secalit solekan di wajah. Namun, ada sesuatu yang mengganggu Farhan. Dari segi fizikal, mungkin Julia tidak banyak berubah, tapi dia tetap merasakan Julia di hadapannya ini bukan lagi Julia yang dahulu. Tiada lagi usikan manja, gelak tawa, senyuman manis yang sentiasa menghiasi bibir mugil itu malah, mata gadis itu yang dahulu galak bersinar kelihatan kosong tidak punya sinar lagi.
      Farhan menggelengkan kepalanya. Sudah jauh dia berfikir. Tujuan asalnya perlu dia sampaikan. "Aku tak setuju dengan perkahwinan ni. Kau pun... Kan?" Soalnya tidak pasti. Julia tidak menjawab. "Aku harap kau boleh pujuk papa kau. Aku tahu papa kau takkan tolak permintaan aku. Lainlah macam abah aku tu."
      Julia bagaikan tidak mendengar bicara Farhan, sebaliknya dia sibuk bermain dengan Galaxy Note two  di tangannya. Farhan jadi berang dengan sikap julia. Dia merampas telefon bimbit Julia.
       Julia menghela nafas. "Why would I? How is that my concern?" Dia bersuara mendatar.
      Farhan mendengus. "How is that my concern?" Ajuknya. "Kau sedar tak, aku kena paksa kahwin dengan siapa? Aku kena paksa kahwin dengan kau, tahu? So, of course it should be your concern."
      Julia tersenyum sinis. "Aku tak pernah ada bangkangan. Yang tak setuju sekarang ni, kau je. Bukan masalah aku." Julia sudah berdiri, berkira-kira mahu berlalu, namun Farhan bersuara terlebih dahulu.
       "Aku dah ada pilihan. Aku cintakan dia, bukan kau." Suara Farhan kembali kendur.
      "Macam yang aku cakap tadi, bukan masalah aku." Julia bersuara dingin sebelum berlalu.
   
~~~~~

     Farhan mengelap rambutnya yang masih basah. Dia merenung telefon bimbit milik Julia yang dia terambil tadi terbaring di atas katil. Tangannya mencapai telefon itu lalu bermulalah proses menggodam telefon bimbit itu. Keningnya terangkat melihat aplikasi diari mini di telefon itu lalu segera dibuka. Berkerut-kerut wajahnya membaca diari milik Julia itu.
   
26 December 2012

Sekali lagi aku menjejakkan kaki di negara Malaysia ini. Sekali lagi juga aku menjejakkan kaki di rumah ini. Rumah yang banya memberi kenangan pahit pada aku. Aku tak pernah menyangka mahupun merancang untuk pulang semula kalau bukan atas desakan papa. Mungkin dia risau aku akan membuat perkara bodoh lagi jika aku bersendirian di Cape Town.

     "Perkara bodoh?" Farhan Menggaru kepalanya. Dia meneruskan bacaan.

13 Oktober 2008

Kosong... Itu sahaja yang aku rasa. Masih ramai orang disekeliling aku, tapi aku tetap merasa sepi. Aku benci perasaan ini. Kata doktor, aku mengalami kemurungan. Apa yang dia faham? Tiada siapa yang Faham. Rasa sakit dalam dada aku ni, buat aku nekad. Aku capai pisau pemotong buah. Belum sempat aku kelar nadi aku, papa tampar aku. Dia tengking aku. Dia terus marah aku. Tapi, kenapa aku tak rasa tamparan dia sakit? Mungkin sebab hati aku lebih pedih. Mak tiri aku cuba pujuk aku, tapi kenapa aku tak rasa terpujuk? Kenapa mereka tak bagi aku bebas dari terus terpenjara dalm tubuh ni?

    Mulut Farhan separuh melopong. Julia cuba bunuh diri? Kenapa? Kenapa sampai begitu sekali? Baru dia mahu menyambung bacaannya, telefon itu berbunyi tanda panggilan masuk. Farhan segera menjawab.
    "Hello?" Suara Julia jelas di hujung talian.
    "Hello." Jawab Farhan.
    "Kau rupanya. Esok aku datang ambil phone aku. Kalau kau tak nak mati, jangan kau selongkar hak aku." Ugut Julia. Belum sempat Farhan menjawab, Julia terlebih dahulu mematikan talian. Terus mati niatnya mahu meneruskan pembacaannya meski keinginannya untuk tahu bergelojak dalam dada.

~~~~~

    Julia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sesekali rambut hitam lurus paras pinggangnya dibuai angin. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket sweater bercorak askar yang dipakainya. Sesuai dengan Seluar panjang renjer yang dikenakannya. Dia memicingkan matanya mencari kelibat Farhan di restoran itu sambil kakinya tidak berhenti melangkah.
    Farhan betul-betul menyusahkannya. Dia sudah berpesan yang dia akan mengambil semula telefonnya hari ini, tapi sebaik dia tiba di rumah banglo mewah milik keluarga Farhan, bibik di situ terlebih dahulu mengatakan bahawa Farhan telah ke tempat kerja. Bila dia tiba di pejabat, setiausaha Farhan pula mengatakan Farhan masih belum masuk ke pejabat. Mujur sahaja setiausaha Farhan itu ada mengatakan kebiasaan Farhan bersarapan di gerai berhadapan pejabat kalau tidak sempat bersarapan di rumah sebelum masuk pejabat.
    Belum apa-apa, tubuh julia dirempuh seseorang. Julia menjeling gadis bertubuh kecil yang sudah jatuh terduduk itu. Tanpa niat mahu membantu, dia meneruskan langkahnya. Namun baru beberapa tapak, dia mendengar suara jeritan. Dia berpaling. Berkerut dahinya melihat gadis yang melanggarnya tadi sedang menghalang beg tangannya dari diragut seorang lelaki kurus kering. Semuanya berlaku terlalu pantas.
    Farhan yang baru keluar dari tandas restoran tersentak melihat Humairah yang sedang diragut. Baru dia ingin berlari menyelamatkan kekasih hatinya itu, ada seseorang yang sangat dia kenali terlebih dahulu mengambil tindakan.
     Julia menendang kuat kaki peragut tadi hingga pegangannya pada beg itu terlerai. Humairah berundur dengan wajah takut sebaik melihat kilauan pisar di tangan lelaki itu. Lelaki itu tertawa sambil mengacah Julia dengan pisau di tangannya, namun Julia sedikit pun tidak gentar. Saat lelaki kurus itu mahu menusuknya, Julia mencapai kerusi plasti merah disebelahnya lalu dihayun mengenai tangan lelaki tersebut. Terpelanting pisau itu dibuatnya, namun Julia masih tidak berpuas hati. Kerusi itu diangkat tinggi sebelum dihentakkan di kepala lelaki itu. Terus terbaring lelaki itu. Julia merauk rambutnya ke belakang sambil memerhati orang ramai mula menangkap lelaki tadi.
     Dia berpaling melihat Farhan yang sudah berdiri di sebelah Humairah yang ketakutan. Farhan menelan liur melihat tindakan spontan Julia tadi. Julia yang dahulu lemah-lembut... Ah! Apa yang dia fikirkan? Julia sekarang benar-benar sudah berubah.
    Julia melangkah ke arah dua insan itu. Dia menadah tangannya di hadapan wajah Farhan. "Phone." Ucapnya sepatah. Farhan segera menyeluk poketnya bagi mengeluarkan telefon milik Julia lalu diletakkan di atas telapak tangan Julia.
     Julia berpaling, namun belum sempat dia melangkah, lengannya dipaut seseorang. "Julia?" Humairah bersuara teragak-agak.

~~~~~

     "Stop that innocent act." Julia menikam wajah Humairah dengan renungannya. Humairah terus tertunduk, kecut perutnya mahu melawan renungan Julia.
         "Julia!" Suara Farhan sedikit meninggi. Julia mengalihkan pandangan ke wajah tegang Farhan.
        "Macam yang aku cakap, ini bukan masalah aku. Korang punya masalah, selesaikan sendiri."
        "Kau je jalan keluar kami. Kalau kau rendahkan sedikit ego kau, dan cakap dengan papa kau, masalah ni mesti selesai."
        "Aku tak ego. Aku cuma tak peduli..." Ujar Julia dingin.
        Tanpa pamitan, gadis itu meninggalkan Farhan dan Humairah.
      "She loves you." Gumam Humairah perlahan.
       "Apa?" Soal Farhan yang kurang mendengar. Humairah mengangkat muka menentang wajah kacak Farhan.
       "Dia cintakan awak." Ulangnya kebih keras.
       "Tak!" Nafi Farhan tegas. "Kalau pun, dia cintakan saya, saya tak cintakan dia." Farhan cuba meyakinkan Humairah.

~~~~~

    Julia merenung botol ubat tidur di atas meja solek dari katil. Dia bingkas lalu melangkah perlahan ke arah meja solek. Botol ubat itu di capainya lalu dibuka. Dituang hingga penuh ubat di atas tangannya sebelum dilepaskan botol kosong itu terbaring di atas lantai bersama beberapa biji ubat tidur. Tangannya yang penuh dengan pil itu direnung lama.
    Baru dia mendekatkan tangannya dengan bibirnya, pergerakannya terhenti. Dia mendengar suara merdu mengalunkan kalam Allah. Serta-merta tangannya jatuh ke sisi. Ubat di tangannya semua bertaburan di atas lantai. Bagai dipukau, dia melangkah gontai mengikut arah datangnya suara itu.
    Dia menolak perlahan pintu bilik ayahnya. Matanya terpaku pada ibu tirinya yang lengkap bertelekung membelakanginya. Kakinya bagai terbawa-bawa mendekati wanita itu. Dia bersimpuh di belakang ibu tirinya tanpa ibu tirinya sedari. Halwa telinganya terus-terusan menikmat bacaan al-Quran itu.

~~~~~

    Tan Sri Halim menggeliat bagi meregangkan urat-uratnya yang tegang. Pintu bilik bacaannya ditutup. Dia melangkah ke bilik anaknya. Niatnya mahu menjenguk anaknya yang belum-belum pernah lagi lekat di rumah waktu-waktu macam ini. Hairan juga dibuatnya.
    Dia menolak pintu bilik yang sedikit terkuak. Kedut di wajahnya bertambah melihat bilik itu yang kosong. Dia melangkah masuk namun langkahnya terhenti apabila dia merasakan dia seperti memijak sesuatu. Dia menunduk melihat butiran-butiran putih bertaburan di atas lantai. Dibeleknya sebiji ubat itu di tangannya sebelum matanya menangkap bekas ubat yang telah kosong isinya.
    Berderau darahnya sebaik dia menyedari ubat-ubatan itu adalah ubat tidur. "Lia!" Jeritnya. Dia berlari ke arah bilik air di dalam bilik anaknya itu. Julia tiada di situ. "Yah!" Jeritnya memanggil nama isterinya. Hatinya dipagut risau. Dia berlari ke arah biliknya, namun sebaik pintu itu ditolak, matanya terpaku ke arah Julia yang sedang terlena berbantalkan paha Puan Sri Badriah. Puan Sri Badriah mengelus pipi Julia yang lena. Dia mengangkat wajah lalu tersenyum manis ke arah Tan Sri Halim.
    Tan Sri Halim duduk berhadapan dengan isterinya. Ubun-ubun anaknya dibelai. "Kenapa?" Soal Tan Sri Halim.
    Puan Sri Badriah mengangkat bahu. "Yah siap mengaji, tadi, Julia dah ada dekat belakang Yah. Bila Yah pusing je, Julia pandang Yah semacam. Dia panggil Yah mama dan terus peluk Yah." Terang Tan Sri Halim.
    Julia terjaga. Dia bingkas bangun. Dia memandang kelihatan cemas sebelum matanya kembali terpaku di wajah Puan Sri Badriah. Air matanya mengalir. Dia tahu di hadapannya adalah ibu tirinya, bukan mamanya. Tapi, mengapa dia bagai ternampak-nampak bayang ibunya yang tersenyum lembut ke arahnya pada wajah Puan Sri Badriah? "Mama..." Panggilnya sayu.
    Puan Sri Badriah sempat bertukar pandang dengan tan Sri Halim. "Ya, sayang." Dia bersuara lembut. Julia terus memeluk tubuh itu.
    "Mama..." Panggilnya lagi dalam esakannya yang hebat. Tan Sri Halim memerhati dengan rasa syukur yang tidak terkira. Doanya dan isteri telah Allah jawab...

~~~~~

    "Maira! Maira, keluarlah... Jangan buat saya macam ni." Rayu Farhan. Tangannya menggoncang-goncang pagar rumah yang berkunci itu.
    Farhan memerhati Rozana, teman serumah Humairah muncul di muka pintu lalu berjalan ke arahnya. "Han... Baliklah. Jangan buat kecoh malam-malam macam ni." Marah Rozana.
     Farhan buat tidak peduli. "Ana... Maira mana? Jangan buat macam ni, Ana. Aku tak faham. Kenapa Mairah minta berpisah? Ana... Tolonglah aku." Rayunya lagi. Berkecai entah ke mana egonya sebagai lelaki.
     Rozana kelihatan serba-salah. "Baliklah Han. Maira tak nak jumpa kau."
    "Ana... Aku cintakan dia. Kau pun tahu dia cintakan aku juga. Aku tak sanggup berpisah dengan dia."
    "Aku pun serba-salah ni. Maira tu kawan aku. Kalau kau sayangkan dia, lepaskan dia." Farhan menggeleng laju seperti anak kecil. "Aku kesian tengok Maira kena hina macam tu sekali. Berbalo ke maruah dia diinjak-injak demi cinta kau? Aku kesian dengan dia. Dah lah Han, baliklah." Terang Rozana sebelum menghilang di sebalik pintu rumah.
     Farhan jadi keliru. Siapa yang berani menghina wanita kesayangannya? Hatinya tiba-tiba dicurah api kemarahan yang marak. Saat ini, ada satu nama yang terlintas bagi menjawab soalannya. Julia!

~~~~~

    Julia memperbetulkan tudung yang dipakainya. Kini, hatinya terisi. Tidak lagi kosong seperti dahulu. Sedikit demi sedikit, dia cuba merangkak keluar dari dunia gelap yang dia cipta sendiri ke arah cahaya. Dia masih belajar untuk kembali tersenyum. Kini tiada lagi rahsia akan sejarah silamnya. Kedua-dua ibu bapanya telah mengetahui rahsia yang dia simpan hingga hampir memusnahkan dirinya sendiri.
     Julia menguis-nguis pasir di kakinya. Dia nekad menjejakkan kakinya ke pantai semula. Tempat yang pernah menyebabkan hatinya kering dari sebarang rasa. Dia memeluk tubuhnya yang sedikit menggigil. Matanya terpaku pada longgokan batu pantai yang besar tidak jauh dari tempatnya berdiri. Hood baju panasnya ditarik menutupi kepalanya yang dibalut tubuh. Dia menghela nafasnya. Ini semua atas nasihat doktor peribadinya. Untuk menghapuskan masalahnya, dia harus kembali ke tempat yang menyimpan punca pada kemurungannya. Dia harus melawan rada takut itu.
     Julia melangkah perlahan mendekati batu-batu besar itu. Semakin dia dekat, perutnya semakin sakit. Peluh merecik di dahinya. Tubuhnya sekejap panas sekejap sejuk. Getaran di hatinya semakin kuat. Wajahnya semakin pucat. Dia melangkah di celahan batu itu. Dengan tangan yang jelas menggeletar, dia cuba menyentuh batu dihadapannya.
     Tiba-tiba, tangannya ditarik kasar sebelum dia sempat menyentuh batu itu hingga tubuh langsingnya terpusing. Belum sempat dia berbuat apa-apa, tubuhnya ditolak kasar hingga terhentak agak kuat di batu. Julia menyeringai kesakitan menahan rasa pedih yang menjalar di belakangnya. Matanya yang awalnya terpejam dibuka. Jelas wajah Farhan yang menyinga di hadapannya.
    Farhan mengepung Julia dengan kedua-dua belah tangannya. Rahang lelaki itu bergerak-gerak menahan amarah yang membuak-buak. "Kau dah buat apa pada Humairah?" Soalnya dalam nada tertahan-tahan. Dada bidangnya kelihatan bergelora kerana amarah yang berapi.
    Kening Julia hampir bercantum. "Apa kau cakap ni?" Soalnya mendatar. Sehabis daya dia mengawal rasa takutnya.
    Farhan tersenyum sinis. Tangan kirinya menumbuk kuat batu itu hingga berdarah. Bahu Julia terhinjut sedikit. Dia bagai ternampak-nampak apa yang dahulunya telah merampas warna hidupnya.
     Farhan masih tidak menyedari perubahan Julia. Dia terlalu asyik melayan amarahnya. Tangannya mencengkam kedua-dua belah pipi Julia dengan kuat. Mata Julia bulat memerhati darah yang sudah menitis keluar dari luka di tangan itu. Kakinya benar-benar terasa lemah.
      "Kau jangan nak buat bodoh depan aku!" Kasar sekali suara Farhan. Dia benar-benar dilanda amuk bila Humairah menuntut perpisahan darinya. "Apa ni?" Farhan menarik Hood yang menutupi kepala Julia. Dia tersenyum sinis melihat tudung yang menutupi rambut Julia. "Kau pakai tudung? Hei! Jangan buat lawak, boleh?" Ujar Farhan kasar. Serentak itu, tangannya menarik kuat tudung yang dipakai Julia hingga mencalarkan leher gadis itu.
      "Mama..." Gumam Julia perlahan. Kini, di hadapan matanya bukan lagi Farhan yang menyinga. Di hadapan matanya kini adalah ulang tayang malam yang melakar sejarah hitam dalam hidupnya. Nafasnya mula tak teratur.
        "Apa kau cakap ni, hah?" Jerkah Farhan sambil mendekatkan telinganya di bibir Julia yang bergerak-gerak tanpa suara dari tadi. Dia jadi hairan bila telinganya dapat menangkap butir bicara Julia. "Mama?" Ulangnya lagi.
       Julia pula bagai berada di dunia lain. Matanya masih bulat merenung beberapa titis darah di atas pasir itu. Farhan baru menyedari perubahan aneh julia. Dia melepaskan tangannya yang mencengkam pipi Julia. Dia menjadi resah pula melihat Julia yang lain dari biasa. Bertambah terkejut dia saat Julia tiba-tiba memekik nyaring, dan gadis itu seperti bergelut untuk bernafas sebelum tubuh itu longlai di atas pasir.
     Farhan menerpa tubuh longlai itu. Pipi Julia ditepuk lembut. "Hei, Julia!" Panggilnya. Dia bertambah cemas melihat bibir Julia yang semakin membiru. Telinganya didekatkan dengan wajah Julia. Terasa bagai mahu pecah pembuluh darahnya apabila ternyata, Julia tidak lagi bernafas. Tanpa membuang masa, dia melakukan bantuan pernafasan pada Julia sambil menjerit meminta tolong. "Come on, Julia. Breath! Just breath!"


~~~~~

    "Han minta maaf, uncle. Julia tiba-tiba pengsan tak bernafas. Han tak tahu kenapa. Han yang bersalah. Han tengking dia. Han..." Farhan tidak dapat meneruskan kata-katanya, dia jadi sebak mengenangkan Julia yang masih bertarung dengan maut. Bagaimana dia boleh sampai hati menyakiti julia sedang julia pernah menjadi sahabat terbaik di hatinya.
    Tan Sri Halim menepuk bahu anak muda di hadapannya. "Han tak salah... Kalau uncle tahu, Julia nak pergi tempat tu hari ni, uncle mesti ikut. Uncle yang salah." Tan Sri Halim meraup wajahnya. Sungguh! Kalau dia tahu, dia tidak akan membiarkan Julia mengalami ketakutan yang sama buat kali kedua tanpa dia di sisi bagi menenangkan Julia.
     "Abang... Dah lah tu... Julia pergi sebab dia nak cuba. Dia nak cuba hilangkan sejarah hitam itu. Dia nak lawan ketakutan itu." Pujuk Puan Sri Badriah.
    Farhan yang mendengar mula terfikirkan diari milik Julia yang dia pernah baca. "Sejarah hitam?" Soalnya.
    Tan Sri Halim dan Puan Sri Badriah bertukar pandang. Berat untuk mereka menceritakan. Tapi, jika Farhan tahu, mungkin Farhan dapat membantu. Walau macam mana pun, Farhan pernah rapat dengan Julia. Farhan suatu masa dahulu pernah menjadi penyeri hidup Julia.
    "Han... Beberapa tahun dahulu, sebelum arwah aunty Jamra meninggal, ada masa Julia macam bersedih. Dia banyak berdiam. Makan pun tak seberapa. Bila kami minta dia cerita, dia tak mahu. Masa tu, uncle sibuk dengan bisnes, langsung tak peduli dengan rumah tangga uncle. Sekali tu, arwah aunty minta kebenaran uncle untuk bawa Julia pergi bercuti. Mungkin untuk kurangkan sedikit apa-apa sahaja masalah yang Julia hadapi. Julia ada cerita dengan uncle, malam kedua diorang dekat resort, Julia keluar senyap-senyap untuk ambil angin dekat tepi pantai. Masa tu, dia kena kacau dengan sekumpulan bangsat! Aunty sempat jumpa Julia. Dia cuba tolong Julia. Julia pun melawan. Salah seorang samseng tu, cuba nak hentak kepala Julia dengan batu, tapi aunty terlebih dahulu halang. Dia sendiri kata dengan uncle, sampai kini dia masih dapat rasa darah hangat arwah mamanya yang memercik ke pipinya. Tapi, bangsat tu tak berhenti setakat itu. Dia hentak kepala aunty berkali-kali sampai aunty dah tak bergerak lagi dan Julia... Julia..." Tan Sri Halim menekup mukanya. Tak sanggup rasanya mahu meneruskan ceritanya.
    Farhan dapat menebak apa yang terjadi pada Julia meski Tan Sri Halim tidak menceritakan. Air matanya mengalir laju. Sedasyat itu sekali apa yang Julia hadapi? Dan dia yakin punca kesedihan awal Julia adalah atas penolakannya terhadap cinta yang Julia hulur. Dia seolah-olah salah satu punca kejadian hitam itu. Kalaulah dia tidak menolak cinta julia, pasti dua wanita itu tidak ke pantai itu dan pasti mereka tidak menghadapi  kejadian hitam itu.
    "Julia terus-terusan hidup dalam dunianya. Hari-hari yang dia lalui tak pernah sekalipun dia tidak menyalahkan dirinya atas kematian arwah aunty. Dia seksa diri dia. Masa tu, uncle ada di luar negara. Bila uncle balik, uncle hanya dapat tahu yang mereka dirompak dan aunty terkorban dalam kejadian itu. Uncle tak pernah tahu. Julia pula hanya mendiamkan diri. Dia menyaksikan sendiri kematian mamanya depan matanya dalam keadaan kejam tanpa dapat berbuat apa-apa." Tan Sri Halim menyambung. Ketiga-tiga mereka hanyut dalam esakan. Berat mana pun yang mereka rasakan mendengar kisah Julia, pasti lebih berat Julia yang menanggungnya sendirian.

~~~~~

    "Julia..." Tegur Puan Sri Badriah. Julia memandang kosong. "Farhan datang, sayang." Sambungnya lagi. Julia kembali melemparkan pandangannya ke arah kolam renang rumahnya. Puan Sri Badriah menahan sebak melihat Julia jatuh lebih dalam ke dalam dunia hitamnya. Julia sekarang bagai jasad tidah benyawa. Dia bagai bekas kosong tanpa jiwa.
     Meski Julia hanya anak tirinya, namun kasih ibunya sudah lama tertumpah buat Julia. Dan... Hati ibu mana tidak hancur melihat anaknya hari demi hari semakin jauh dari gapaian meski dekat di mata. Puan Sri Badriah meninggalkan Farhan bersama Julia.
     Farhan melabuhkan punggungnya di sebelah Julia. Dia merenung wajah tidak bermaya Julia. "Julia, aku ada bawa hadiah untuk kau." Farhan meletakkan goody bag ungu itu di antaranya dan Julia. "Kau tak nak tengok ke?" Soalnya. Julia masih tiada reaksi. Hanya sesekali matanya berkelip. Farhan menghela nafas. Sebolehnya dia tidak mahu menangis di hadapan gadis itu.
     Farhan menarik kedua-dua belah bahu Julia yang dari tadi hanya diam memeluk lutut hingga gadis itu berhadapan dengannya. Farhan sedaya upaya mengukir senyuman meski hatinya disayat-sayat melihat renungan kosong gadis itu.
     Dia mengeluarkan sehelai tudung syria berwarna ungu dari beg hadiah tadi lalu dibentang di hadapan Julia. "Aku tak pandai pilih tudung. Tapi, bila aku tunjuk je gambar kau dekat saleswoman tu, terus dia cadangkan tudung ni. Cantik, kan?" Farhan menyarungkan tudung itu. "Cantik..." Pujinya. Farhan menyeluk lagi tangannya ke dalam beg itu. Kali ini, sebuah kotak baldu kecil berwarna biru yang dikeluarkan. "Aku nak bertanggungjawab atas kau. Aku akan jaga kau sampai akhir hayat." Janjinya. Kotak itu dibuka. Tangan Julia dicapai. Cincin bertatahkan berlian itu dipegang erat. "Aku nak jadikan kau yang halal bagi kau. Aku sayangkan kau. Kita kahwin..." Sebaik selesai berkata-kata, Farhan cuba menyarungkan cincin itu di jari manis Julia, namun pergerakannya terhenti saat Julia membengkokkan jarinya. Dia memandang sekilas ke arah Julia yang masih juga dengan wajah beku. Dia kembali menjatuhkan pandangannya pada tangan putih Julia. Dia mencuba lagi untuk menyarungkan cincin itu, namun kali ini masih sama. Julia menggenggam tangan Farhan lebih kuat. "Julia?" Panggilnya. Anak mata Julia sedikit bergerak ke kiri dan kanan. Terus tangannya di tarik dari genggaman Farhan lalu dia menekan kuat kepalanya.
     Farhan menjerit memanggil Puan Sri Badriah. Puan Sri Badriah berlari-lari anak mendapatkan Julia. Tubuh anaknya itu dipeluk erat. Ubun-ubun gadis itu dibelai. "Mama ada, sayang. Mama ada. Mama sayang Julia." Pujuk Puan Sri Badriah. Tan Sri Halim yang kebetulan baru pulang dari pejabat turut meluru mendapatkan Julia.
     "Ma... Ma?" Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Julia membuatkan ketiga-tiga mereka tersentak. Puan Sri Badriah merenung wajah Julia yang basah dengan air mata. "Ma.. Ma?" Panggilnya lagi seperti anak kecil yang baru pertama kali memanggil ibunya.

~~~~~

    Spaghetti di hadapannya diputar-putar dengan garfu sebelum dibawa ke bibirnya. Gadis di hadapannya  yang kelihatan gelisah tidak dia peduli. Namun suapannya terhenti apabila gadis itu mula bersuara. "Kenapa awak nak jumpa saya?" Soalnya. Wajahnya jelas dibalut prasangka.
     "Maira?" Suara itu membuat kedua-dua gadis di meja makan itu berpaling. Julia tersenyum sebelum mengisyaratkan Farhan duduk di sebelah Humairah yang duduk berhadapan dengannya.
     Farhan bertukar pandang dengan Humairah. "Kau tahu kan yang aku dengan Farhan akan bertunang minggu depan?" Soal Julia mendatar. Nyata Farhan dan Humairah tidak selesa dengan soalan Julia itu.
     "Julia..." Farhan bersuara, namun Julia buat pekak sahaja.
    "Kau tahu kenapa dia pilih aku dan bukan kau?" Soalnya lagi. Dia tersenyum sinis melihat mata Humairah yang sudah berkaca itu.
     Farhan memandang simpati pada Humairah. Tapi apa yang boleh dia lakukan, dia sudah berjanji dengan dirinya untuk tidak lagi melukakan hati Julia. 'Maafkan aku, Maira...' Bisik hatinya sayu. Sukar untuk dia melepaskan Humairah, namun itulah keputusan yang paling tepat.
     "Julia, kalau awak nak bangkitkan perkara ni, hentikanlah. Hal ini tak ada kena-mengena dengan saya." Humairah cuba mengawal nada suaranya. Dia tidak boleh lemah. Tidak!
     "Again... Stop the innocent act." Julia menyindir. Humairah bingkas bangun, namun Julia pantas menarik Humairah hingga terduduk semula. "Kalau kau cintakan dia, kenapa kau mudah-mudah lepaskan dia. Berhentilah berlakon. Kalau betul kau cinta dia, jerit dekat satu dunia. Kalau perlu, kau tengking aku. Suruh aku jauhkan diri dari kekasih kau. Paksa aku undur diri." Julia menghela nafas. Dia buat tidak peduli pada pandangan hairan Farhan dan Humairah yang terhala padanya. Julia menggaru keningnya. "Aduss... Don't make me say this. I'm not the old julia that knew her way with word." Melihat wajah kebingungan pasangan di hadapannya ini, Julia mengeluh. "Okay, kisah cinta ni, hero dia, kau, Farhan dan heroin dia, kau, Humairah. As for me, aku cuma watak ketiga. Jadi tolonglah jangan buat aku jadi watak ketiga yang kejam sampai akhir cerita."
    "Julia..." Farhan cuba mencapai tangan Julia, namun Julia pantas mengelak. Dia menaikkan telunjuknya sebagai amaran.
    "Jangan sentuh! Aku dah bertaubat. Nampak ni." Julia menunjuk ke arah tudung bawal yang dipakainya. "Kita bukan muhrim, aku tak suka." Dia memberi amaran. Farhan terpinga-pinga sebentar sebelum dia menarik senyum. "So, sambung semula. Kejap. Kau ni faham ke tak? Blur je aku tengok." Julia memandang tepat ke wajah Humairah.
     "Julia. Saya dah buat keputusan. Tak payahlah awak bawa bergurau benda-benda macam ni." Tegas suara Humairah.
     Julia merengus. "Cik adik... Muka aku ada sengih ke? Ada muka macam orang main-main ke? Ada muka orang buat lawak?" Humairah masih diam. "Okay, macam ni... Aku tak nak kau salah buat pilihan. Aku pernah salah buat keputusan. Disebabkan keputusan aku tu, bertahun-tahun aku tercampak dalam dunia aku sendiri. Dunia yang dingin dan gelap. Dinding yang tinggi hingga orang disekeliling tak dapat capai aku. Macam aku dalam perigi buta." Mata Julia merenung jauh. Suaranya pula semakin lembut nadanya. "Tiba-tiba, ada satu tangan yang tarik aku ke cahaya. Tangan mak tiri aku. Aku rasa macam hidup kembali, tapi sekali lagi aku buat keputusan yang salah. Aku biar air mata mama mengalir tanpa tergerak untuk mengesatnya. Sampailah, Allah tunjuk pada aku apa yang selama ni aku lupa. Aku ingat semula sebelum aku tidak sedarkan diri. Waktu tu, bangsat-bangsat tu dah lari. Aku terbaring tepi dia. Aku nampak wajahnya yang penuh dengan darah. Dan aku perasan dia masih bernafas. Aku dengar dia bercakap dengan aku meski payah. Dia cakap, mama ada Julia. Mama ada, sayang. Sayang kuat. Sayang mesti kuat ya? Yang penting Allah ada. Allah... Aku dapat rasa dia pegang tangan aku dengan tangan sejuk dia sebelum aku pengsan. Tangan dia...." Julia mengusap tangannya. Kenapa sebelum ini dia boleh lupakan saat akhir itu, dia tidak tahu. Tapi, bila dia ingat, baru dia sedar. Dunia belum berakhir. Dia masih ada Allah.
    Julia bagaikan tersedar. Dia menghadiahkan senyuman kepada Humairah. "Jadi, janganlah buat silap macam aku. Aku silap bila aku pilih untuk salahkan diri aku sedang dia berkorban demi aku. Hidup kedua yang dia hadiahkan buat aku, aku sia-siakan. Mujur aku belum terlambat. So, kesimpulannya, kau ambillah Farhan. Aku tak nak dia ni. Aku ada benda lagi penting nak buat. Tapi, apa-apa masalah yang kau perlu aku tolong tak kiralah pasal abah Farhan atau apa je, kau cakap je dengan aku."
      Farhan merenung lembut wajah Julia. Kenapa hatinya tidak jatuh sayang pada gadis seistimewa ini? Tapi, iyalah.... Soal hati bukan boleh dipaksa. "Benda penting?" Humairah menyoal.
     "Yup! Aku nak tangkap bangsat-bangsat tu. Selama bertahun lepas kejadian tu, sekali pun aku tak pernah lupa muka-muka tu." Kata Julia. Jelas tekad yang telah dia pegang. "Tak nak ucap terima kasih ke sebab aku dah pulang Farhan dekat kau?" Sempat pula gadis ini bercanda.
     Humairah berbalas senyuman dengan Farhan. "Terima kasih, Julia. Terima kasih sebab selamatkan aku buat kali kedua." Julia turut membalas senyuman Humairah. Dia tahu Humairah maksudkan kejadian ragut di mana dia dengan brutalnya telah membelasah peragut itu dengan kerusi plastik.
    "Alhamdulillah. Aku dah kenyang ni. Aku balik dulu. Err... Bayarkan ah?" Julia menjongketkan keningnya pada Farhan sebelum berlalu. Farhan dan Humairah sama-sama tertawa.

~~~~~

    "Julia! Nak ke mana? Saya tumpangkan." Julia menghalakan pandangannya pada lelaki yang berada di dalam kereta mewah di hadapannya. Dia tersenyum melihat lelaki itu. Lelaki itulah doktor yang telah banyak membantunya.
     Tanpa banyak soal, Julia menerima perlawaan doktor tadi. "Kebetulan pula, ya, Doktor?" Ujar Julia berbasa-basi.
      Doktor lelaki itu tersenyum. Lesung pipi di kedua-dua belah pipinya kelihatan. "Apa panggil saya doktornya? Awak bukan pesakit saya dah. Panggil saya Iki je. Kalau nak lagi sedap, abang Iki. Yelah, saya pun jauh tua dari awak. You look good."
      Julia tersenyum mendengar komen lelaki yang tua tujuh tahun darinya ini. "I feel good." Dia berbalas pandang dengan Iki. "Saya ingat, saya nak failkan kes lepas saya. Saya nak tuntut bela." Julia membuat muka serius.
      "Okay. Saya tolong awak." Ujar Iki, juga serius.
      "Buat apa? Susahkan awak pula." Julia cuba memberi alasan.
      "Tak adalah... Tak susah pun. Orang kata kalau tolong orang yang kita sayang, kita tak rasa susah, tapi bahagia je." Iki mengenyitkan mata ke arah Julia.
     Gulp! Julia telan liur. Dah nak mula 'Love Story' balik ke? Tapi, nampak gayanya, kali ini dia bukan watak ketiga lagi dah, kali ini dialah heroinnya. "Fuyyoh..." Ucapnya tanpa sedar.
        "Hah?" Doktor itu kebingungan dengan reaksi Julia. Julia tarik sengih.
       
~~~~~

    "Nampak macam susah kes ni. Sebenarnya kes ni, masih berjalan memandangkan belum lima belas tahun lagi. Maknanya kes ni, masih sah. Kalau cik Julia nak tahu, kes ni memang Tan Sri Halim ada rujuk pada kami lama dahulu dan kes ni masih di bawah tanggungjawab seorang dari detektif kami. Sekejap saya panggilkan." Ujar pegawai polis wanita itu. Julia hanya mengangguk.
    Julia mulalah memanjangjan lehernya untuk mengintai di sebelik pintu kaunter itu. Namun dia kembali tegak saat mendengar deheman Iki di sebelahnya. Tegurlah tu...
    "Cik..." Panggil pegawai wanita tadi. Pegawai itu menggaru tengkuknya. "Detektif Wafi tak ada di meja dialah..." Katanya serba-salah.
    "Hah? Mana dia pergi?" Soal Julia. Pegawai wanita itu angkat bahu."Hmm... Tak apalah. Terima kasih." Ujarnya sebelum berpaling. Dia sempat menjeling seorang lelaki berseluar jeans lusuh dengan jaket berwarna hijau lumut sedang duduk di kerusi berdekatan pintu. Wajah lelaki itu ditutup dengan surat khabar yang sedang dibacanya. Julia kembali memandang Iki. "Jomlah balik... Esok kita datang cari detektif Wafi." Ujar Julia sambil melangkah laju.
     Baru sampai di pintu, Julia tersilap langkah. Kakinya memijah hujung skirt labuhnya. Aduhai... Baru first time nak nampak ayu sikit pakai kain, dah terpeleot. Dia tidak dapat mengawal keseimbangannya hingga tubuhnya jatuh di atas riba lelaki yang sedang membaca surat khabar tadi. Habis pernyuk surat khabar itu. Terkebil-kebil Julia memandang wajah lelaki yang berambut agak panjang menutupi telinga itu. Segera dia bingkas dari duduknya.
     Lelaki itu turut bangun dari duduknya. "Sorry..." Ujar Julia perlahan. Malunya, tuhan sahajalah yang tahu. Lelaki itu tersenyum manis. Bulat matanya melihat lelaki itu yang agak tinggi. Mungkin tinggi satu kepala dari Iki. 'My style...' Bisik hati Julia nakal. Memang dia sukakan lelaki yang kelihatan sempoi dan kasual. Tapi, mana pula nak letak Iki.
    "You said sorry, I'll say thank you." Ujarnya pendek. Aduh! Julia sudah tidak tahu mahu menyorok wajahnya di mana. Lelaki itu menghulurkan tangan untuk berjabat. "Saya Wafi, Detektif Wafi." Julia memandang lama tangan lelaki itu.
    Iki pantas menyambut huluran tangan Wafi. Mata mereka merenung tepat ke arah anak mata masing-masing seolah-olah saling mencabar. "Saya Iki." Masing-masing menggenggam erat tangan itu seolah-olah sedang bertarung siapa lebih hebat. Julia di tengah-tengah terkebil-kebil sendirian. Ah, sudah! Ambik kau! Hilang seorang, dapat dua sekaligus.
     Julia menyentuh dagunya. "Maknanya, aku heroin. Agak-agaknya siapa hero dan siapa watak ketiga kali ini." Julia bermonolog sambil merenung dua jejaka di hadapannya silih berganti. Kisah cinta kedua....




















No comments:

Post a Comment